31/07/2026
“PROGRAM LINDUNG 24 JAM PERKESO BERSAMA PUAM PERKASA KESEDARAN PERLINDUNGAN SOSIAL PEKERJA”
MELAKA, 30 Julai 2026 – Persatuan Usahawan Automotif Negeri Melaka (PUAM) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah berjaya menganjurkan Program Lindung 24 Jam yang berlangsung pada Khamis, 30 Julai 2026, bertempat di Arie Auto Service, IKS Duyong, Melaka, milik Tn. Haizahry Nordin, selaku Pengerusi PUAM.
Program yang bermula pada jam 9.30 pagi dan berakhir pada 12.00 tengah hari ini bertujuan memberi pendedahan kepada para usahawan, majikan dan pekerja mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial melalui Skim Lindung 24 Jam PERKESO.
Majlis telah diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah PERKESO Negeri Melaka, Tuan Ridzuan, manakala sesi taklimat telah disampaikan oleh Pn. Michelle Yeo, Pegawai Eksekutif PERKESO Melaka.
Turut hadir ialah barisan Ahli Majlis Tertinggi PUAM serta para pekerja daripada pelbagai sektor pekerjaan di sekitar Negeri Melaka.
Dalam sesi taklimat tersebut, para peserta diberi penerangan mengenai manfaat caruman Lindung 24 Jam, iaitu perlindungan yang meliputi pekerja sepanjang masa, sama ada ketika bekerja, di rumah mahupun semasa menjalankan aktiviti harian yang dilindungi di bawah skim berkaitan.
Antara kelebihan Skim Lindung 24 Jam PERKESO:
Perlindungan sekiranya berlaku kemalangan sepanjang tempoh perlindungan.
📌Faedah Hilang Upaya Sementara.
📌Faedah Hilang Upaya Kekal.
📌Faedah Orang Tanggungan kepada waris sekiranya berlaku kematian akibat bencana kerja yang dilindungi.
📌Faedah Perubatan di hospital atau klinik panel PERKESO.
📌Elaun Layanan Sentiasa bagi kes yang layak.
Kemudahan Pemulihan Jasmani, RTW (Return To Work) dan Latihan vokasional.
📌Faedah Pengurusan Mayat serta
📌Faedah Pendidikan kepada tanggungan yang layak mengikut syarat skim.
Program ini turut memberi panduan kepada para peserta mengenai cara membuat permohonan, iaitu dengan:
Mendaftar sebagai majikan dan pekerja melalui portal atau pejabat PERKESO.
Memastikan caruman dibuat mengikut kadar yang ditetapkan.
Mendapatkan khidmat nasihat terus daripada pegawai PERKESO atau menghubungi talian 1-300-22-8000 untuk maklumat lanjut.
Pihak PUAM menyambut baik inisiatif PERKESO dalam memperluaskan kesedaran mengenai perlindungan sosial kepada komuniti usahawan automotif. Program seperti ini diharap dapat meningkatkan kefahaman majikan tentang tanggungjawab mencarum demi kebajikan pekerja serta mewujudkan persekitaran pekerjaan yang lebih selamat dan terjamin.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata daripada PUAM kepada PERKESO Negeri Melaka sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan perkongsian ilmu yang bermanfaat kepada semua peserta.
PUAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PERKESO Negeri Melaka, khususnya kepada Tuan Ridzuan dan Pn. Michelle Yeo, atas komitmen dalam menjayakan program ini serta berharap kerjasama strategik antara kedua-dua pihak akan terus diperkukuhkan demi manfaat komuniti usahawan automotif dan para pekerja di Negeri Melaka.