10/11/2024
Kera @ Macaca Fascicularis di Taman Paya Bakau Bandar Lumut tengah mengonyeh anak benih bakau minyak (Rhizophora Apiculata) sebagai snek tengah hari.
Kera atau nama orang putihnya, Crab-eating macaque atau Long-tailed macaque mempunyai makanan yang mencukupi dalam habitat asli mereka di hutan paya bakau. Nama pun “crab-eating”, mestilah makan ketam, ketam di hutan paya bakau ada banyak. Selain tu, mereka juga makan buah-buahan, anak benih pokok bakau yang juga masih banyak bekalannya di habitat asli mereka.
Jadi, sangkaan bahawa geng monyet iaitu kera & beruk di hutan tak cukup makan sehingga memerlukan bantuan makanan daripada manusia ni tak betul sebenarnya.
“Kalau cukup, kenapa monyet-monyet ni s**a datang rampas makanan daripada kita?”
Haa, sebab ada golongan manusia yang mulakan amalan memberi makan makanan manusia kepada monyet-monyet ni. Amalan tak bagus ni dah bertahun lamanya berlaku dan telah menyebabkan perubahan tingkahlaku asal mereka sekaligus membuatkan mereka beranggapan bahawa beg plastik yang mereka nampak mempunyai makanan untuk mereka.
Sebab itulah kalau awak bawa beg plastik, mesti monyet akan rampas. Bila mereka rampas, awak akan terkejut & panik, hal ini akan menyebab risiko kecederaan kepada awak dan orang lain.
Bukan itu sahaja, makanan-makanan yang selalu diberikan kepada monyet-monyet ini ialah makanan untuk manusia. Sistem penghadaman manusia & monyet tak sama tau. Monyet tak boleh proses makanan yang manusia makan seperti roti, biskut dan sebagainya. Jadinya, mereka berisiko untuk pelbagai jenis penyakit yang disebabkan oleh kegagalan sistem penghadaman ini.
Oleh itu, sila jangan memberikan makanan kepada monyet-monyet yang anda jumpa. Jangan risau, mereka ada makanan yang mencukupi. Tindakan kita yang memberikan makan makanan manusia kepada mereka sebenarnya membawa kemudaratan berbanding kebaikan yang kita sangkakan.
📷 Hawa Wahid