19/11/2025
Uggah Puas Hati Kemajuan Pengorekan Delta Batang Baram
MIRI, 14 Nov — Projek Pengorekan dan Kerja Berkaitan di Delta Batang Baram menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila kemajuannya kini mendahului jadual sebanyak 0.27 peratus, sekali gus mengukuhkan keyakinan kerajaan negeri terhadap penyelesaian projek itu menjelang Mac 2027.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata pencapaian awal itu membuktikan komitmen semua pihak terlibat dalam memastikan kerja-kerja pengorekan dan pengurusan alur pelayaran di delta berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi meningkatkan keselamatan serta kelancaran aktiviti maritim di Miri. Beliau menyatakan demikian selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek hari ini.
Lawatan itu turut disertai Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin; Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi; ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang; Setiausaha Tetap MIPD, Datu Chiew Chee Yau; Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Miri, Puan Serawa Budol; Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris; dan Penasihat Pelabuhan MIPD, Datuk Ian James.
Projek Pengorekan dan Kerja Berkaitan di Delta Batang Baram merupakan inisiatif penting kerajaan negeri untuk memperbaiki laluan pelayaran, menangani isu mendapan, serta meningkatkan kapasiti pergerakan kapal keluar masuk di kawasan pelabuhan Miri. Usaha ini dijangka memberi impak langsung terhadap pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan kecekapan logistik dan pengangkutan laut.
Menurut Uggah, kerja-kerja pengorekan di kawasan delta adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memastikan infrastruktur maritim Sarawak sentiasa pada tahap optimum, sejajar dengan pembangunan pesat sektor perdagangan, minyak dan gas, serta kegiatan komuniti di sepanjang Sungai Baram. Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memantau kemajuan projek dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaannya menepati keperluan keselamatan dan standard teknikal.
Projek yang dijadual siap pada Mac 2027 itu kini berada pada landasan kukuh, dengan kontraktor melaksanakan kerja mengikut keperluan teknikal dan keadaan pasang surut di delta berkenaan. Uggah menegaskan bahawa sokongan berterusan daripada agensi-agensi teknikal adalah penting bagi memastikan penyampaian projek berjalan lancar.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa kejayaan projek ini akan memperkukuh kedudukan ekonomi Miri sebagai hab perkapalan dan perdagangan penting di wilayah utara Sarawak.