28/12/2025
KUAH NEON RUN LANGKAWI VOL. 2 2025 MERIAH DENGAN PENYERTAAN PELBAGAI LAPISAN MASYARAKAT
LANGKAWI, 26 Disember 2025 β Program Kuah Neon Run Langkawi Vol. 2 Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Dataran Pantai Chenang, Langkawi, sekali gus menceriakan suasana malam dengan penganjuran acara sukan berkonsepkan neon yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dan pengunjung.
Majlis pelepasan peserta serta perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Encik Amar Pared. Pelepasan larian bermula pada jam 8.45 malam, dimulakan dengan kategori kanak-kanak lelaki dan perempuan, diikuti kategori lelaki dan wanita, yang memperlihatkan penyertaan daripada pelbagai peringkat usia.
Turut hadir pada program berkenaan ialah YBhg. Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, Pegawai Daerah Langkawi, serta wakil-wakil agensi dan komuniti tempatan yang bersama-sama menyokong penganjuran acara tersebut.
Program ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan, malah berperanan mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti setempat di samping menyemarakkan sektor pelancongan di Langkawi.
Acara kemuncak program diserikan dengan persembahan bunga api sebagai simbol penutup rasmi Kuah Neon Run Langkawi Vol. 2 Tahun 2025, sekali gus meninggalkan kenangan bermakna kepada para peserta dan pengunjung.
Pihak penganjur, Pertubuhan Komuniti Langkawi, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan penganjuran program ini.