02/10/2026
KELAKABELIA BAWA ISU PEMERKASAAN WANITA KE RUANG BELIA
Isu pemerkasaan wanita menjadi fokus Episod 20 podcast KelakaBelia menerusi perbualan bersama Ahli Parlimen P200 Batang Sadong, YB Puan Rodiah Sapiee, yang berkongsi pengalaman serta perspektif beliau sebagai seorang pemimpin wanita.
Menerusi tajuk “Boss Lady: Wanita Perlu Tunggu Peluang atau Cipta Peluang?”, perbincangan menyentuh realiti wanita dalam kepimpinan dan kerjaya, membina keyakinan diri, berdepan persepsi masyarakat serta keberanian untuk mengambil dan mencipta peluang.
Pengalaman YB Puan Rodiah sebagai seorang wanita dalam bidang profesional, khidmat masyarakat dan kepimpinan turut memberi perspektif kepada perbincangan mengenai pemerkasaan wanita, termasuk realiti yang dihadapi wanita muda serta wanita di kawasan luar bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili, berkata KelakaBelia mahu membawa isu seperti pemerkasaan wanita lebih dekat kepada generasi muda melalui perbualan yang santai, terbuka dan relevan.
“Pemerkasaan bukan hanya mengenai peluang yang diberikan, tetapi juga keyakinan untuk mengambil peluang dan keberanian mencipta ruang untuk maju. Kita mahu perbincangan seperti ini memberi perspektif yang lebih dekat dengan realiti golongan muda,” katanya.
KelakaBelia merupakan podcast anjuran AZAM Sarawak dengan kerjasama Ibrandium. Episod 20 akan disiarkan menerusi platform media sosial rasmi KelakaBelia dan Spotify bermula sabtu depan.