01/09/2026
PROGRAM CERAMAH MAULIDURRASUL 1448H/2026 HIKMAH
28 Ogos 2026 - Dewan HIKMAH, Petra Jaya
Alhamdulillah, Program Ceramah Maulidurrasul 1448H/2026 HIKMAH telah berlangsung dengan penuh penghayatan dan dalam suasana yang cukup bermakna.
Lebih daripada sekadar memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sambutan ini menjadi ruang untuk menyemarakkan kecintaan kepada Baginda serta menghayati akhlak, perjuangan, kepimpinan dan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan kehidupan.
Program turut dihadiri YBhg. Datu Haji Abang Mohd. Shibli bin Haji Abang Mohd. Nailie, Timbalan Yang Dipertua HIKMAH, YABhg. Toh Puan Hajjah Hayati bt. Haji Ahmat, Naib Yang Dipertua HIKMAH, Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH, warga HIKMAH serta para pelajar Sekolah Rendah Agama Tahfiz HIKMAH dan Sekolah Menengah Tahfiz HIKMAH.
“Muhammad SAW, Idola Sepanjang Zaman” menjadi tema ceramah yang dipengerusikan oleh YBhg. Ustaz Wan Lukmanhakim bin Wan Sajalai dan disampaikan oleh YBhg. Ustaz Tamri bin Arrim, Pegawai Dakwah HIKMAH Cawangan Samarahan.
Pengisian ceramah mengajak seluruh warga HIKMAH untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai uswatun hasanah — bukan sahaja dalam kehidupan peribadi, malah dalam kepimpinan, pekerjaan dan khidmat kepada masyarakat.
Kecintaan kepada Rasulullah SAW hendaklah diterjemahkan melalui akhlak yang mulia, amanah dalam melaksanakan tanggungjawab dan ikhlas dalam berkhidmat. Setiap amanah yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bukan sekadar tugas, bahkan menjadi ruang untuk beribadah dan memberi manfaat kepada orang lain.
Turut diadakan Kuiz Sirah Rasulullah SAW yang berlangsung secara interaktif dan menceriakan suasana, khususnya dalam kalangan para peserta dan pelajar. Aktiviti ini menjadi medium santai untuk menyemai minat serta memperkukuh pengetahuan mengenai sirah dan perjuangan Baginda.
Semoga Maulidurrasul 1448H ini terus menjadi sumber inspirasi untuk kita memperbaiki diri, memperkukuh ukhuwah dan menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
Kerana meneladani Rasulullah SAW bukan hanya dengan mengingati Baginda, tetapi dengan menghidupkan akhlak dan ajaran Baginda dalam setiap amanah yang kita laksanakan. “Bekerja dengan Amanah, Berkhidmat dengan Ikhlas”
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu terdapat contoh teladan yang terbaik.”
(Surah al-Ahzab, 33:21)
“IBADAHKU, HIDUP DAN MATIKU KERANA ALLAH”