29/08/2025
CATATAN RINGKAS KUNJUNGAN HORMAT TOKOH AGAMA
PUTRAJAYA │ 27 Ogos 2025 (Rabu) ─ Persatuan Ilmuan Prihatin Nasional (PIMPIN) yang diketuai oleh Pengerusi PIMPIN, Dr. Haji Mohammad bin Seman telah mengadakan satu ziarah mahabbah ke atas Tokoh Agama merangkap Musyrif Am Majlis Hukama’ Muslimin Malaysia, YBhg. Datuk Mohd Nakhaie Ahmad di pejabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Ziarah ini turut disertai oleh Timbalan Pengerusi PIMPIN, Dr. Mahadi Masoud; Setiausaha PIMPIN, Ustaz Afifi bin Abdullah; serta Ahli Jawatankuasa PIMPIN, Dr. Abdul Halim Mohamad juga selaku penyelaras susun atur pertemuan.
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Pengerusi PIMPIN yang menjelaskan objektif ziarah mahabbah tersebut. Beliau turut memperkenalkan PIMPIN sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan menyebarluaskan pemahaman Islam kepada masyarakat melalui program lapangan, aktiviti kebajikan, serta pendekatan dakwah yang berteraskan pandangan ilmiah.
Selepas mengalukan ketibaan rombongan, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad menekankan beberapa perkara penting dalam sesi perbincangannya, antaranya:
1. Ramai yang mempunyai minat mendalam terhadap Islam, namun mereka tidak mengetahui dari mana hendak bermula.
2. Pentingnya tindakan dan pelaksanaan mengatasi kata-kata dan teori semata-mata. Misi dan visi dakwah tidak harus dilihat ketinggalan zaman. Keadaan telah berubah jauh berbanding era 70an dan 80an. Dakwah perlu sesuai dengan perkembangan ilmu dan teknologi semasa.
3. Keperluan membina sistem kefahaman Islam secara bersepadu yang mampu menjawab dan menjadi rujukan untuk banyak persoalan semasa. Aspek teori sudah banyak dan sudah lama diperkatakan yang harus dilakukan dengan lebih intensif sekarang ini ialah pelaksanaan.
4. Golongan intelektual perlu lebih prihatin dan responsif terhadap keperluan semasa masyarakat. Mereka juga perlu diberi ruang yang lebih luas untuk menyumbang kepada masyarakat.
5. Prasangka yang terlarang hanya sebahagian seperti ayat Surah al-Hujurat (49:12). Maka sebahagian lain adalah sangkaan baik yang dibenarkan. Justeru yang dilarang sebenarnya adalah untuk kewaspadaan sendiri dan bukan terus menghukum atas sebab sangkaan tanpa bukti.
6. Keyakinan dan harapan beliau terhadap ketokohan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar kerana sentiasa konsisten dengan perjuangan dakwah dan mempunyai minat lebih mendalam terhadap pelaksanaan Islam berbanding Perdana Menteri terdahulu. Segala usaha baik beliau perlu disokong.
7. Rasa kesal terhadap pembaziran sumber kepakaran orang Islam dalam pelbagai bidang di Malaysia, khususnya golongan profesional (profesor) yang pencen yang tidak dimanfaatkan. Contohnya kumpulan pesara pakar dan ahli kimia tinggal di jalan Kimia Bangi. Mereka hanya ke masjid untuk ibadat ritual tanpa diberi peluang dan peranan.
8. Keperluan ada garis panduan khusus untuk mendisiplinkan penggunaan nama Islam agar tidak disalah tafsir oleh masyarakat dan ditunggang oleh pihak tertentu.
Selain itu, beliau turut berkongsi beberapa gagasan dan perancangan yang akan dilaksanakan, antaranya:
1. Menerapkan budaya dakwah dalam politik yang menekankan nilai-nilai Islam sebagai garis panduan bersepadu.
2. Penganjuran Kongres Kenegaraan oleh Majlis Hukama’. (November 2025)
3. Pembentukan model pengurusan masjid yang boleh dicontohi, bermula daripada aspek pentadbiran terbaik demi menyelesaikan keperluan kariah, termasuk aspek keselamatan masyarakat setempat dan negara. Jawatan imam berperanan besar dalam entiti kariah maka ia perlu di amanah kepada yang benar-benar layak.
4. Menekankan kepentingan pendidikan Islam sejak seawal usia sehingga ke peringkat menengah, khususnya dalam memberi penekanan terhadap tanggungjawab bermula dari usia 6-15 tahun. Falsafah taklif perlu dijadikan ukuran betapa besar peranan tarbiyah agar setiap mukallaf benar-benar mampu memikul amanah sejak usia remaja.
Ziarah mahabbah rasmi kali pertama ini telah berlangsung dengan penuh ceria dan berhasil. Sesi perbincangan diisi dengan pertukaran pandangan yang berkisar tentang dakwah dan isu semasa, soal jawab dua hala serta perkongsian pengalaman berharga antara kedua-dua pihak.
PIMPIN berharap agar turut diberi peluang kerjasama dalam melaksanakan perancangan serta gagasan seperti yang telah disarankan oleh Datuk Mohd Nakhaie Ahmad demi kepentingan dakwah Islamiah dan pembangunan umat.