10/10/2026
UCAPAN TAHNIAH DAN PENGHARGAAN KEPADA UKHWAH PAHANG FC
Kuantan, 10 Oktober 2026
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh barisan pemain Ukhwah Pahang FC yang telah bertungkus-lumus, berjuang dengan penuh semangat dan memberikan komitmen yang terbaik sehingga berjaya membawa pasukan ke pentas final serta meraih kedudukan naib juara Perlawanan Bola Sepak 7 Sebelah Terbuka Pahang.
Pencapaian ini amat membanggakan, lebih-lebih lagi apabila Ukhwah Pahang FC berjaya melangkah ke pentas final sebanyak dua kali berturut-turut, bermula daripada penyertaan dalam perlawanan 9 sebelah sebelum ini dan diteruskan dengan kejayaan dalam perlawanan 7 sebelah pada hari ini. Lebih membanggakan, kedua-dua penyertaan tersebut menyaksikan Ukhwah Pahang FC berjaya meraih tempat kedua.
Bagi pihak pengurusan Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturrahim Pahang, kami amat berbangga dengan semangat juang, kesungguhan, disiplin dan kerjasama yang ditunjukkan oleh setiap pemain serta seluruh barisan pengurusan pasukan. Walaupun belum berjaya membawa pulang gelaran juara, pencapaian ini tetap merupakan satu kejayaan besar yang wajar diraikan dan dijadikan pembakar semangat untuk menghadapi kejohanan akan datang.
Dalam kesempatan ini, kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penaja utama Ukhwah Pahang FC, Saudara Japri atau lebih dikenali sebagai Long Jeff, pemilik J*P MAJU ENTERPRISE, atas segala sokongan, bantuan kewangan, tenaga dan komitmen yang telah diberikan kepada Ukhwah Pahang FC serta Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturrahim Pahang.
Segala sumbangan dan sokongan yang diberikan amat bermakna dalam membantu kami menggerakkan aktiviti persatuan serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan ahli.
Sesungguhnya, walaupun Ukhwah Pahang dikenali sebagai sebuah NGO yang bergerak dalam bidang kebajikan, matlamat kami bukan sekadar membantu masyarakat melalui aktiviti kebajikan semata-mata. Kami turut berusaha mengeratkan silaturrahim, memupuk perpaduan dan membina hubungan yang lebih kukuh melalui pelbagai platform, termasuk sukan, kemasyarakatan dan aktiviti bersama.
Bagi kami, sukan bukan sekadar pertandingan untuk mencari kemenangan, tetapi juga wadah untuk menyatukan hati, membina persahabatan dan mengukuhkan silaturrahim.
Akhir kata, sekali lagi tahniah dan syabas kepada seluruh keluarga besar Ukhwah Pahang FC. Teruskan perjuangan, kekalkan semangat berpasukan dan jadikan pencapaian ini sebagai motivasi untuk melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Terima kasih juga kepada semua pihak yang sentiasa menyokong perjuangan Ukhwah Pahang.
Ukhwah Diperkukuh, Silaturrahim Dipelihara, Kebajikan Terus Diperjuangkan.
Sekian, terima kasih.
PENGURUSAN PERSATUAN KEBAJIKAN UKHWAH DAN SILATURRAHIM PAHANG