Ikatan Muslimin Malaysia - ISMA Cawangan Kuantan

Call Directions Website

Ikatan Muslimin Malaysia - ISMA Cawangan Kuantan ISMA adalah sebuah gerakan Islam yang komited dengan agenda dan perjuangan Islam dalam segenap aspek bidang dan masyarakat.

12/10/2026
29/09/2026

KENYATAAN TAKZIAH
WANITA IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (WANITA ISMA)

PERGINYA SEORANG TOKOH WANITA NEGARA

Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Wanita ISMA) merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya atas pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, seorang tokoh wanita yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara dan masyarakat.

Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat Malaysia. Sepanjang hayatnya, Tun Dr. Siti Hasmah telah menabur bakti dalam bidang perubatan, kebajikan masyarakat serta pembangunan wanita dan keluarga. Ketokohan, kesederhanaan, keprihatinan dan dedikasi beliau menjadi sebahagian daripada sejarah perjalanan negara yang akan terus dikenang.

Wanita ISMA khususnya ingin merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, serta seluruh ahli keluarga atas kehilangan insan yang amat dikasihi. Semoga Tun Dr. Mahathir dan seisi keluarga dikurniakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian serta saat dukacita ini.

Sesungguhnya segala jasa dan bakti Tun Dr. Siti Hasmah kepada masyarakat dan negara merupakan warisan yang akan terus dikenang oleh generasi mendatang.

Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa dan kesilapan beliau, menerima segala amal soleh dan kebajikan, melimpahkan rahmat serta kasih sayang-Nya, dan menempatkan beliau dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di Jannatul Firdaus.

Amin Ya Rabb.

Shazamawati Zam Hashari
Ketua Wanita
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Seminar khas buat Wanita Sekitar Kuantan 31 Oktober ini, daftar segera!Seminar Wanita Islam (Serwanis) dengan tema Wanit...
27/09/2026

Seminar khas buat Wanita Sekitar Kuantan 31 Oktober ini, daftar segera!

Seminar Wanita Islam (Serwanis) dengan tema Wanita Jiwa Sejahtera, Komuniti Bahagia

🌸 SERUAN BUAT PARA WANITA

Wanita Jiwa Sejahtera,
Komuniti Bahagia 💗

Bila kali terakhir kita benar-benar berhenti seketika dan bertanya pada diri sendiri…

“Aku okay ka sebenarnya?”

Buat julung kalinya, ISMA Indera Mahkota, Kuantan, Temerloh & Pekan bergabung menjayakan program khas untuk wanita!

Antara pengisian menarik:

🧠 Ucapan Utama:
Wanita Jiwa Sejahtera, Komuniti Bahagia
💬 Forum Interaktif
🌿 Bengkel Praktikal Pengurusan Emosi

🌸 Persembahan menarik
🌸 Saringan kesihatan PERCUMA
🌸 Cabutan bertuah turut menanti anda!

📅 31 Oktober 2026 (Sabtu)
⏰ 8.00 pagi – 1.00 tengah hari
📍 Dewan BCIC, Indera Mahkota, Kuantan
💰 Yuran penyertaan: RM20

Jom hadir bersama sahabat, ibu, kakak, dan komuniti wanita di sekeliling kita. Mungkin pagi ini menjadi ruang untuk kita berhenti seketika, memahami diri dan kembali melangkah dengan jiwa yang lebih kuat.

👉 DAFTAR DI SINI:
https://tinyurl.com/mye5ceks

27/09/2026
SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA 2026Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuantan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia ...
16/09/2026

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA 2026

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuantan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia 2026 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa membina sebuah negara bukan sekadar tentang kemajuan, tetapi juga tentang sejarah, identiti dan nilai yang menjadi asasnya.

Kemerdekaan yang sebenar ialah keberanian membina masa depan Malaysia berlandaskan acuan, sejarah dan cita-cita kita sendiri.

Semoga Malaysia terus maju tanpa kehilangan jati diri, serta menjadi sebuah negara yang membina masyarakat berteraskan nilai, perpaduan dan peradaban.



15/09/2026

‘SAKAN’ YANG KEHILANGAN ‘SAKINAH’: BAGAIMANA PEMBANDARAN MODEN MEMPENGARUHI INSTITUSI KELUARGA

Lebih tiga suku rakyat Malaysia kini tinggal di bandar. Dalam tempoh dua generasi, kita berpindah daripada aturan kampung yang berkelompok kepada susunan bandar yang menegak, berpagar dan bergantung sepenuhnya kepada kenderaan. Perpindahan ini lazimnya diukur dengan istilah seperti KDNK, harga rumah, nisbah plot dan sebagainya. Namun, kita jarang mengukur kesannya kepada unit paling asas dalam masyarakat iaitu keluarga.

Terikat kepada Tempat, Atau Terikat kepada Masa?

Perbahasan dalam perancangan bandar dewasa ini sibuk dengan isu bandar menua, perubahan iklim, bandar mesra OKU dan sebagainya. Semua agenda ini perlu dan wajar diperkukuh. Tetapi ia merupakan syarat yang perlu, bukan syarat yang memadai. Selagi kerangka falsafah yang mendasari pembinaan bandar tidak diperiksa semula, setiap penambahbaikan fizikal hanya beroperasi di dalam acuan yang sama. Krisis yang lebih dalam bukanlah krisis keboleh capaian fizikal, sebaliknya ia adalah krisis pemikiran.

Dr. Abdel-Wahed El-Wakil, seorang arkitek terkenal dari Mesir yang dianggap sebagai tokoh penting dan ikon seni bina Islam kontemporari, menegaskan bahawa bandar moden tersesat kerana dibina di atas falsafah yang semata-mata komersial.

Beliau juga menyatakan terdapat hubungan linguistik dan falsafah antara dua perkataan Arab: sakan (tempat tinggal, kediaman) dan sakinah (ketenangan, kedamaian yang mendalam). Kedua-duanya berkongsi kata akar yang sama. Hubungan ini bukan sekadar kebetulan bahasa, sebaliknya terpancar jelas dalam al-Quran. Dalam Surah al-Nahl ayat 80, Allah menyebut bahawa rumah-rumah dijadikan bagi manusia sebagai sakan — tempat menemukan ketenangan. Dalam Surah al-Rum ayat 21 p**a, tujuan pasangan hidup dinyatakan dengan kata kerja daripada akar yang sama, iaitu litaskunu ilayha, agar seseorang memperoleh ketenteraman padanya. Dalam kerangka ini, kediaman bukan sekadar aset kewangan atau unit konkrit tempat melelapkan mata selepas perjalanan p**ang kerja yang memenatkan, tetapi ia adalah ruang kedamaian.

Menurut El-Wakil, kediaman sepatutnya menumbuhkan ketenangan dan ketundukan kepada aturan alam. Pembinaan moden yang bergantung kepada keluli dan grid konkrit memisahkan manusia daripada alam, bahkan menjejaskan kesihatan manusia. Pembandaran masyarakat dahulu berpaksikan tempat (*bound to place*), tunduk kepada hukum alam yang merupakan sebahagian daripada Sunnatullah — memanfaatkan arah angin, pencahayaan semula jadi, serta mengukur skala mengikut keupayaan fizikal manusia.

Falsafah ini resonans dengan sejarah Alam Melayu, dan buktinya terpancar paling nyata pada bentuk binaan itu sendiri. Rumah Melayu bertiang mengangkat lantai daripada lembapan dan banjir sambil membenarkan aliran udara di bawahnya. Bumbung curam melepaskan hujan lebat tropika. Dinding berkisi, tingkap panjang dan bukaan bersilang menyalurkan angin tanpa memerlukan janaan tenaga. Serambi berfungsi sebagai ruang peralihan yang mengawal darjah keterbukaan antara orang luar, jiran dan ahli keluarga. Susun atur kampung p**a tersusun di bawah kepimpinan penghulu, dengan masjid atau surau, telaga dan ruang komuniti menjadi nadi kejiranan. Semua ini merupakan seni bina yang tunduk kepada iklim dan hukum alam, bukan yang cuba melawannya.

Sebaliknya, pembandaran moden berakar daripada idea bound to time — doktrin kemajuan linear (progressivism) yang mengandaikan bahawa sejarah bergerak lurus daripada bentuk yang 'primitif' kepada bentuk yang 'lebih maju' mengikut peredaran masa. Gagasan ini telah lama tertanam dalam pemikiran Barat menerusi tokoh seperti Condorcet, Comte dan Hegel, jauh sebelum ia diserap ke dalam bidang seni bina. Apabila falsafah ini memasuki perancangan bandar, lahirlah iktikad bahawa yang baharu sentiasa lebih baik daripada yang lama.

Kemuncaknya, terserlah dalam gerakan fungsionalis Le Corbusier dan Kongres CIAM pada awal abad ke-20, Ketika itu, industri kilang sedang mengubah cara dunia bekerja. Setiap gerakan pekerja diukur dan diselaraskan supaya paling cekap, satu kaedah pengurusan yang dikenali sebagai Taylorisme. Le Corbusier dan rakan-rakannya membawa masuk cara berfikir yang sama ke dalam reka bentuk rumah dan bandar. Sejak itu, pembandaran moden merasa berkewajipan untuk sentiasa kelihatan futuristik dan membuang tradisi silam, kerana reka bentuk lama dianggap sekadar tinggalan zaman yang telah berlalu.

Dalam gagasan ini juga, manusia dinilai dari sudut fizikal dan biologi semata-mata, bukannya entiti yang memiliki roh yang dahagakan ketenteraman jiwa (sakinah). Le Corbusier sendiri merumuskan rumah sebagai 'mesin untuk didiami' (machine à habiter). Hasilnya, bandar moden direka mengikut logik mesin: mengutamakan kecekapan fungsi, pemadatan ruang, dan produktiviti ekonomi, bukannya keperluan fitrah emosi dan spiritual keluarga.

Kesannya dapat kita lihat secara nyata menerusi gelombang sosial yang merombak pasak paling asas dalam peradaban manusia, iaitu institusi kekeluargaan.

Keluarga yang Mengecil

Penyusutan struktur keluarga ini dibuktikan apabila purata saiz isi rumah di Malaysia merosot daripada 5.5 orang pada tahun 1970 kepada kira-kira 3.8 orang pada 2020, mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan purata terendah di negara ini iaitu 3.3 orang, manakala negeri yang kurang terbandar seperti Kelantan (4.9) dan Sabah (4.7) merekodkan angka yang lebih tinggi. Perbezaan ini sudah tentu tidak boleh dijelaskan oleh pembandaran semata-mata — kadar kesuburan, struktur umur dan tahap pendapatan turut berperanan — namun coraknya adalah konsisten dan tidak boleh diabaikan.

Saiz keluarga yang terhakis ini antara lainnya berpunca daripada tekanan fizikal dan ekonomi hidup di bandar. Harga hartanah yang melambung tinggi memaksa keluarga memilih unit kecil seperti rumah pangsa atau pangsapuri dua bilik yang tidak mempunyai ruang mencukupi untuk nenek atau datuk tinggal bersama. Malah di kawasan perumahan awam (PA/PPR), unit dua bilik yang sempit itu terpaksa memuatkan sehingga tiga generasi — dengan sesetengah isi rumah dihuni melebihi sepuluh orang dalam keadaan yang amat sesak.

Secara tidak langsung, reka bentuk bandar moden turut menyumbang kepada tersingkirnya peranan keluarga kembangan. Keadaan ini memudarkan fungsi keluarga sebagai wadah mewariskan nilai daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Pegangan agama, warisan, bahasa halus, adab, dan cerita keturunan hanya dapat dipindahkan melalui kehadiran fizikal, sukar sekali diwariskan menerusi panggilan video atau mesej di aplikasi WhatsApp.

Warga Emas dan Iktibar Negara Jepun

Datuk dan nenek yang sepatutnya menjadi sumber nasihat kini ditinggalkan bersendirian di kampung kerana anak-anak berhijrah ke bandar atas faktor pekerjaan, manakala kediaman bandar p**a tidak mampu menampung kehadiran selain keluarga nukleus.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 oleh Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan bahawa 18.8 peratus warga emas di Malaysia kini tinggal bersendirian — meningkat hampir tiga kali ganda berbanding 6.3 peratus pada 2018. Dengan pop**asi warga emas yang kini mencecah 4.1 juta orang, hampir satu perlima daripada mereka menjalani hari tua tanpa kehadiran harian sesiapa pun, manakala mereka yang tidak boleh memandu seolah-olah terpenjara di dalam rumah sendiri akibat reka bentuk bandar yang tidak mesra pejalan kaki.

Krisis pengasingan warga emas ini bukanlah fenomena tempatan semata-mata, sebaliknya menjadi iktibar seperti yang berlaku di Jepun. Sebagai perintis bandar mesra warga emas, Jepun mengubah pusat membeli-belah menjadi hab jagaan warga emas, menyediakan ruang permainan kanak-kanak di ruang hadapan, dan memasukkan modul empati dalam kurikulum sekolah. Semua usaha itu sebenarnya merupakan tindak balas kepada satu krisis yang lebih awal, iaitu fenomena *kodokushi* atau "kematian sunyi" — di mana warga emas meninggal dunia bersendirian tanpa disedari selama berhari-hari, malah bertahun-tahun. Ia menjadi bukti bahawa apabila fabrik sosial telah terlebih dahulu terhakis, pembaikan fizikal dan program sokongan datang sebagai ubat, bukan sebagai pencegahan.

Keadaan ini amat berbeza dengan realiti masyarakat dahulu. Kita sering merasa kagum bagaimana generasi terdahulu bebas membiarkan anak-anak meneroka alam di luar rumah dan diasuh secara bersama oleh saudara-mara di dalam kampung yang sama. Kehidupan silam dibina atas ikatan persaudaraan dan kepercayaan yang kukuh, di mana pengawal keselamatan tidak diperlukan kerana kejiranan saling menjaga antara satu sama lain.

Ironinya, pembandaran moden turut mengubah cara kita berhubung dengan alam dan menjaga kesihatan. Hari ini, kita terpaksa melaburkan wang yang banyak demi membeli semula kesihatan dan ketenangan alam, contohnya membeli kelengkapan sukan dan mendaki untuk masuk ke hutan, membayar kos tiket masuk melihat ladang haiwan ternakan, atau menyertai keahlian gimnasium untuk mengangkat beban. Sedangkan bagi masyarakat dahulu, perkara tersebut adalah sebahagian daripada rutin harian percuma. Aktiviti fizikal berlaku secara organik menerusi aktiviti bercakap-cakap sambil berjalan kaki ke kedai, berkebun, memanjat pokok, serta memikul barang harian. Dalam bandar moden, gaya hidup sedentari akibat reka bentuk bandar terpaksa diubati dengan perkhidmatan berbayar.

Beban Pengasuhan dan Keretakan Rumah Tangga

Seiring pudarnya ikatan kejiranan dan jaringan keluarga kembangan di bandar, beban pengasuhan kini digalas sepenuhnya oleh keluarga nukleus secara bersendirian. Ibu bapa yang seharian menongkah arus kesesakan jalan raya p**ang ke rumah dalam keadaan kelesuan fizikal dan emosi, sehingga tidak lagi mampu memantau pendidikan anak-anak. Lantas, anak-anak dibiarkan membesar sendirian dan diasuh oleh gajet.

Tekanan persekitaran bandar yang berterusan ini turut membebani tiang rumah tangga. Malaysia merekodkan 60,457 kes perceraian pada tahun 2024, meningkat 4.1 peratus berbanding 58,095 kes pada 2023 (DOSM). Kes tertinggi berlaku dalam kump**an umur 30–34 tahun — golongan yang paling terhimpit antara kerjaya bandar, hutang perumahan, dan membesarkan anak kecil.

Pada masa yang sama, kos sara hidup yang tinggi menjadikan bapa sebagai model tunggal pencari nafkah hampir mustahil, lalu fungsi asuhan yang dahulunya berlaku secara organik di rumah bertukar menjadi perkhidmatan komersial berbayar. Situasi ini merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kadar kesuburan negara yang kini berada pada paras 1.6 anak bagi seorang wanita, jauh di bawah paras penggantian pop**asi 2.1 — di samping faktor lain seperti peningkatan pendidikan dan penyertaan wanita dalam pasaran kerja serta penangguhan usia perkahwinan.

Implikasi daripada fabrik keluarga yang rapuh dan persekitaran kota yang mengasingkan, akhirnya melimpah kepada generasi muda. Laporan NHMS 2022: Adolescent Health Survey oleh Institut Kesihatan Umum, KKM mendapati 26.9 peratus remaja sekolah menengah dilaporkan mengalami simptom kemurungan — kira-kira satu daripada empat orang. Kadar remaja yang melaporkan berasa kesunyian p**a meningkat dua kali ganda dalam tempoh sepuluh tahun yang sama.

Penutup: Bandar yang Memelihara Jiwa

Jika akar masalahnya berpunca daripada falsafah pembandaran yang tersasar, maka sekadar meminda dasar perancangan bandar (town planning) atau menambah kemudahan fizikal tidak akan memadai. Perancangan yang boleh mengurangkan sedikit kepedihan harian, tetapi tidak merawat punca penyakit.

Oleh itu, yang diperlukan ialah anjakan cara fikir berasaskan kerangka pemikiran sendiri berdasarkan nilai tempatan. Kita perlu mengkaji semula ‘lost knowledge’, ilmu dan kebijaksanaan silam yang hilang, untuk mengembalikan reka bentuk bandar yang berpaksikan tempat dan hukum alam. Hanya dengan tunduk kepada Sunnatullah, sesebuah kediaman dan persekitaran bandar dapat memancarkan kembali nilai sakinah yang hakiki.

Bagi menampung hakisan struktur keluarga akibat penghijrahan, pembangunan komuniti dan ikatan persaudaraan setempat wajib dihidupkan semula untuk menggantikan fungsi keluarga kembangan yang kini dipisahkan oleh jarak. Gagasan ini bukannya konsep asing, sebaliknya berakar daripada iktibar teragung dalam Sirah Nabawiyyah menerusi persaudaraan antara golongan Muhajirin dan Ansar. Sejarah telah membuktikan bahawa Ukhuwah Islamiyah ialah pasak pertama kekuatan ummah. Jalinan sosial inilah yang berupaya menyokong, melindungi, dan melengkapi unit keluarga yang terasing di tempat baharu.

Jika keluarga ialah unit asas kepada pembinaan sesebuah tamadun, maka pembangunan bandar tidak lagi boleh dipandu oleh acuan modeniti yang rakus. Sudah tiba masanya bandar dibina untuk memelihara jiwa manusia, mengukuhkan persaudaraan, dan meletakkan agenda pembangunan keluarga di tempat yang tertinggi.

Dr. Siti Sarah binti Amran
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat (BKM) ISMA

14/09/2026

KEMERDEKAAN: MEMBEBASKAN KOMUNITI DARI INDIVIDUALISME

Bila kali terakhir kita berbual dengan jiran sebelah rumah lebih daripada sekadar bagi salam, "hai" dan angguk kepala. Kalau sukar untuk jawab, kita tidak keseorangan. Ramai antara kita hari ini tinggal bersebelahan dengan orang yang kita sendiri tak tahu namanya.

Setiap tahun kita menyambut Hari Kemerdekaan setiap 31 Ogos dengan bendera dan lagu kebangsaan. Malangnya, salah satu penjajahan yang tak pernah kita sedar sedang berlaku adalah cara hidup yang senyap-senyap menukar kefahaman kita terhadap hidup "berjiran" dan "berkomuniti".

Nilai Yang Sebenarnya Kita Rindukan

Situasi hari ini, pagar rumah semakin tinggi, anak-anak lebih leka bermain tablet di dalam bilik, berbanding bermain bersama-sama dengan anak jiran tetangga di di halaman rumah. Kita keluar rumah ke pejabat sebelum subuh, balik lepas maghrib. Jiran sebelah cuma nampak muka sekali dua. Ada jiran yang kita kenal lebih rapat dalam grup WhatsApp berbanding orang yang tinggal di sebelah dinding rumah sendiri. Dulu, benda ini pelik. Sekarang, sudah jadi biasa dan sebab itulah bahaya. Kita sudah mula anggap ia normal.

Ini bukan salah sesiapa. Tetapi, hasil daripada satu falsafah yang kita terima bulat-bulat atas nama "kemodenan". Falsafah yang meletakkan hak peribadi mengatasi tanggungjawab kepada orang sekeliling. Bila kita fikir "apa yang aku dapat" jadi lebih kuat daripada "apa yang aku boleh bagi", jiran pun jadi orang asing. Maka terjadilah insiden, jiran boleh bergaduh hanya disebabkan isu haiwan peliharaan, sampah sarap dan isu parking kereta.

Sedangkan nilai yang kita warisi dari akidah dan budaya, mengajar kita yang sebaliknya. Amar makruf nahi munkar bukan sekadar tegur kesalahan kecil di depan mata, tapi bertanggung jawab ambil berat nasib anak jiran sama macam anak sendiri. Bergotong-royong, ziarah-menziarahi dan saling bertukar juadah, semua ini bukan adat basi, tapi cara kita "berlatih" hidup untuk orang lain, bukan untuk diri sendiri sahaja.

Bayangkan kalau setiap kali azan Maghrib, bukan sekadar rumah sendiri yang bergegas ke masjid, tapi kita biarkan anak jiran terus leka bermain. Jika anak sendiri hafal Al Quran 30 juzuk, jangan biarkan anak-anak jiran merangkak membawa Iqra’.

Selain itu, peranan AJK masjid atau ajk persatuan penduduk perlu diperluas, bukan sekadar memelihara infrastruktur taman perumahan semata-mata. Manfaatkanlah peranan ini sebagai pendakwah komuniti yang memastikan seruan dakwah sampai ke setiap pelosok lorong dan rumah dalam komuniti.

Contohnya, tabung kariah atau tabung masjid menjadi tabung ‘takaful’ bila jiran ditimpa kesusahan. Tabung masjid juga boleh dimanfaatkan untuk aktiviti mengajak orang muda dan remaja imarahkan masjid dan surau. Bayangkan kalau keputusan besar dalam kejiranan, dari isu keselamatan sehinggalah isu remaja, kesemuanya dibincang bersama, bukan diputuskan seorang dua sahaja

Itulah rupa sebenar "komuniti" yang kita rindukan. Bukan nostalgia rumah kayu dan sawah bendang, tapi semangat saling menjaga yang kita boleh hidupkan semula walaupun tinggal di kondominium 30 tingkat.

Bukan Isu Kemajuan, tetapi Pilihan.

Kita jujur dan akui bahawa masalah sosial seperti gejala sosial remaja, keretakan institusi keluarga, warga emas dibiarkan keseorangan, bukan datang secara tiba-tiba. Tetapi wujud apabila komuniti berhenti ambil peduli. Kita sibuk buat kem motivasi dan hotline kaunseling, tapi jarang tanya soalan asas, kenapa keluarga dan jiran yang sepatutnya jadi barisan pertama, sudah saling tidak berfungsi apatah lagi saling mengenali?

Tidak perlu tunggu majlis besar atau program rasmi. Esok, bila jumpa jiran, sapa dengan nama, bertanya khabar. Kalau nampak jiran nampak susah, kita tegur dan bantu. Jadikan jiran umpama keluarga terdekat.

Sebab kemerdekaan sebenar adalah memastikan masyarakat kita hidup berkomuniti dengan kehendak bersama bertunjangkan akidah Islam dan budaya kemasyarakatan Melayu, bukan tinggal di Malaysia dengan cara hidup masyarakat Barat. Negara boleh unggul, kalau komuniti kejiranan kita kuat terlebih dahulu.

Mohd Nasrul Muhaimin bin Mohd Taib
Naib Presiden ISMA

13/09/2026

KEPELBAGAIAN WARISAN, JANGAN SAMPAI IDENTITI NEGARA CAIR

Hungry Ghost Festival atau Teong Guan Phor Thor telah diwartakan sebagai warisan negeri Pulau Pinang. Pengiktirafan itu menimbulkan satu persoalan yang lebih besar daripada soal budaya. Apakah sebenarnya identiti sebuah negeri Pulau Pinang dan negara Malaysia?

Kerajaan negeri menyatakan bahawa pengiktirafan ini adalah sebahagian daripada usaha memelihara warisan dan menjadikan kepelbagaian perayaan masyarakat majmuk sebagai sebahagian daripada identiti Pulau Pinang.

Di sinilah kita perlu berhenti sejenak.

Masyarakat bukan Islam memiliki budaya, tradisi dan amalan mereka dan kita tidak menolak usaha memelihara sejarah mereka sendiri. Tetapi, mengiktiraf kewujudan sesuatu budaya tidak semestinya menjadikannya sebahagian daripada teras identiti negara.

Ini perbezaan yang sangat penting.

Malaysia bukan negara yang lahir tanpa akar sejarah. Tetapi, dibentuk melalui sejarah yang panjang, termasuk kedudukan Melayu dan Islam yang mempunyai tempat khusus dalam kerangka Perlembagaan.

Maka, kepelbagaian tidak boleh ditafsirkan sebagai semua identiti mesti diletakkan pada kedudukan yang sama sehingga identiti teras negara akhirnya hilang.

Kita boleh menghormati budaya orang lain tanpa kehilangan budaya sendiri dan melindungi hak masyarakat bukan Islam tanpa mengatakan semua nilai, tradisi dan kepercayaan mempunyai kedudukan yang sama dalam pembentukan identiti negara.

Inilah yang menjadi salah faham.

Apabila Melayu dan Islam dipertahankan, ia segera dilabel sebagai paksaan. Sedangkan mempertahankan asas negara tidak sama dengan memaksa orang lain meninggalkan agama atau budaya mereka.

Sebaliknya, yang kita pertahankan ialah jati diri dan asas yang telah membentuk negara ini.

Prinsip komuniti yang kita inginkan juga jelas: masyarakat boleh hidup bersama dalam kepelbagaian, bekerjasama dan saling menghormati, tetapi tetap mempunyai kompas nilai dan identiti yang jelas. Kepelbagaian bukan alasan untuk mencairkan prinsip.

Warisan boleh diraikan, sejarah boleh dipelihara dan budaya masyarakat lain boleh dihormati.

Tetapi apabila kita mula mendefinisikan identiti semata-mata sebagai himpunan semua budaya yang wujud, kita sedang mengubah makna identiti itu sendiri.

Sebuah negara yang matang bukan negara yang malu dengan akarnya. Kita tidak menolak kepelbagaian budaya, tetapi menolak pencairan identiti.

Malaysia mesti terus menghormati semua rakyatnya, tetapi pada masa yang sama berani mengakui akar sejarah dan teras negaranya: Melayu dan Islam.

Mohd Nasrul Muhaimin bin Mohd Taib
Naib Presiden ISMA

06/09/2026

KETIKA FILEM DAN DRAMA MULA MEMPENGARUHI ANAK-ANAK

Kita sering bercakap tentang tugas ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Tetapi bagaimana p**a dengan peranan masyarakat sekeliling yang turut menyumbang pengaruh kepada anak-anak. Misalnya pihak sekolah, masjid, jiran, dan pihak media yang bertanggungjawab menayangkan drama dan filem kepada anak-anak tanpa sebarang kawalan.

Hari ini, semakin banyak karya hiburan seperti drama dan filem yang mengangkat tema hubungan sejenis, pengkhianatan rumah tangga, hubungan seksual dan kehidupan penuh maksiat sebagai bahan tontonan.

Contohnya, baru-baru ini sebuah drama atas talian semakin berani memaparkan adegan Le***an Gay Biseksual Transgender (LGBT) secara terang-terangan, seolah-olah sedang mengajar penonton melakukan perbuatan songsang yang terkutuk dan dilaknat oleh Allah SWT.

Ditambah lagi dengan isu aurat yang terdedah dan batas pergaulan antara berlainan jantina dan sesama jantina yang tidak dijaga.

Persoalan buat pembikin drama dan filem di Malaysia, adakah semua perkara dalam bilik tidur perlu ditayangkan untuk menghasilkan cerita yang menarik? Adakah adegan intim dan perlakuan yang melanggar batas agama perlu dipaparkan secara terbuka dengan alasan untuk mendidik masyarakat?

Apa yang lebih penting, apa sebenarnya mesej yang ingin disampaikan kepada anak-anak dengan adegan tersebut?

Sebagai ibu bapa dan masyarakat, kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan hukum Allah SWT dilanggar sesuka hati. Lalu, membiarkan sesuatu maksiat itu tanpa sebarang teguran. Hal ini, dikhuatiri memberi kesan kepada anak-anak yang sedang membesar.

Ya, sebuah karya mungkin tamat selepas satu jam ianya ditayangkan. Tetapi mesej yang tertanam akan meninggalkan kesan dalam jiwa seorang anak selama bertahun-tahun bahkan mungkin selamanya.

Jelas di sini bahawa, kita sebenarnya bukan sekadar bercakap tentang pendidikan anak-anak. Sebaliknya, tentang pembentukan sebuah generasi.

Malaysia tidak mungkin mampu membina generasi yang hebat, jika jiwa mereka dibentuk oleh nilai yang bertentangan dengan agama.

Kalau kita mahu membina sebuah peradaban yang unggul, kita mesti menjaga persekitaran yang membentuk dan mengesankan pemikiran anak-anak.

Ketahuilah mendidik anak-anak hari ini, bukan tugas ibu dan ayah sahaja, tetapi menuntut kerjasama semua pihak. Maka setiap pihak yang mempunyai pengaruh, termasuklah pembikin filem dan drama, mempunyai amanah untuk memastikan apa yang disiarkan bukan untuk memenuhi nafsu manusia, tetapi untuk memberi nilai yang mampu memelihara maruah, agama Islam dan membentuk masa depan yang baik buat generasi hari ini.

Kembalilah kepada rasa malu terhadap dosa dan maksiat. Kembalilah kepada rasa pentingnya memelihara maruah diri, masyarakat dan agama. Kembalilah kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada sekalian manusia.

Mimi Azlina binti Razali
Setiausaha Biro Media ISMA

Address

B60, Tingkat Atas, Taman Belukar Maju, Batu 4, Jalan Gambang
Kuantan
25150

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Ikatan Muslimin Malaysia - ISMA Cawangan Kuantan posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share