20/02/2026
RAMADAN ADALAH TAMAN-TAMAN SYURGA ORANG BERIMAN
Sempena menyambut bulan Ramadan, marilah kita melakukan penambahbaikan kepada amal ibadah kita, seterusnya membetulkan kompas kehidupan kita di dunia sebagai bekalan menuju hari akhirat.
Ramadan yang datang dengan seribu bentuk ketaatan dan rahmat dari-Nya, hakikatnya sedang menyuntik jiwa-jiwa umat Muhammad SAW dengan suntikan ketahanan hati dan kesuburan jiwa.
Kekuatan itu datang dengan bentuk kesempurnaan ubudiyah, lalu menatijahkan sebuah keyakinan terhadap satu hakikat kewujudan yang tidak boleh dicapai semata-mata pancaindera dan riadah akli berpaksikan logik akal semata-mata.
Ia akan menghasilkan jiwa mukmin yang berserah dan bergantung semata-mata kepada Allah SWT dalam perihal kehidupannya, walau apa jua halangan dan cabaran duniawi yang dihadapi.
Ia pernah diungkapkan oleh Imam Ibnu Taimiyah RHM ketika ia berkata :
"Apa yang boleh dilakukan musuhku kepadaku? Sesungguhnya syurgaku dan tamanku ada pada jiwaku.
Jika mereka memenjarakanku, maka ia adalah khulwah (beruzlah).
Jika mereka menghalauku, maka ia adalah siyahah (permusafiran).
Jika mereka membunuhku, maka ia adalah syahadah (mati syahid kerana pertahan agama Allah)"
Beliau juga pernah berkata:
"Sesungguhnya di dunia ada satu syurga, siapa yang tidak memasukinya di dunia, tidak akan memasukinya di akhirat"
Mungkin ada yang tertanya, apakah ia syurga dunia?
Walaupun ada hadis-hadis sahih yang menjelaskan ia berbentuk halaqah zikir, majlis ilmu dan seumpamanya, saya s**a naqalkan penjelasan Ibnu Barrajan RHM mengenai perkara ini.
Ibnu Barrajan RHM menjelaskan bahawa setiap amalan-amalan soleh berupa ibadah hati seperti keimanan, keyakinan, tawakkal, atau ibadah jasad seperti solat, puasa, sedekah dan seumpamanya, adalah syurga batin di dunia, dan zahir di akhirat.
Sepertinya jua, dosa adalah neraka batin di dunia, dan ia menjadi zahir di akhirat. Yakni ahli neraka hanya akan diazab dengan amalannya sendiri yang dizahirkan.
Bagi orang beriman, mereka sudah pun memasukinya dan merasainya di dunia lagi, iaitu perasaan syurga batin itu, sebelum mereka memasukinya secara zahir di akhirat nanti.
Ini jua adalah satu peringkat dalam ubudiyah, apabila seseorang mula melihat amalan-amalan ibadah sebagai satu perkara yang 'real' dan 'wujud', bukan semata-mata ritual ibadat yang dicatat para malaikat, yang bermula dengan rukun takbiratul ihram dan berakhir dengan rukun beri salam.
Semoga Ramadan kali ini dapat menemukan kita kepada 'merasai' syurga-syurga batin di dunia, sebelum dapat memasukinya secara zahir di akhirat kelak.
Allahumma ballighna Ramadan!
Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Setiausaha Agung Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)