25/05/2026
Memperkasa Tatakelola Organisasi: DPMP Beroleh Input Berharga di Program JPPM Negeri Pahang
KUANTAN, 16 Mei 2026 – Dalam usaha memantapkan sistem pentadbiran dan pengurusan, kepimpinan Dewan Persuratan Melayu Pahang - DPMP telah mengambil langkah proaktif menyertai program pencerahan tatakelola persatuan anjuran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Negeri Pahang. Program yang berlangsung di Swiss-Grand Beach Resort, Balok ini menghimpunkan pelbagai pertubuhan untuk memperkasa kefahaman mengenai integriti, undang-undang, dan pencegahan jenayah kewangan.
Delegasi DPMP diketuai oleh Presidennya, Prof. Emeritus Dato' Dr. Hj. Mohd Mansor Abdullah, dan diiringi oleh Bendahari DPMP Pusat, Tuan Haji Abd Rahman Hj Yusof, serta Setiausaha Agung DPMP, Alifah binti Che Mat. Kehadiran barisan kepimpinan utama ini membuktikan komitmen serius DPMP dalam memastikan urus tadbir persatuan kekal cemerlang, bersih, dan telus.
Program kali ini menampilkan pengisian yang sangat realistik dan membuka mata para peserta. Sesi taklimat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah disampaikan oleh ASP Yuvandran A/L Balik Krishnal, Pegawai Pengesanan Aset & Analisa merangkap Pegawai Penyiasat Kanan dari Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman.
Kehadiran beliau mendapat pujian apabila Ketua Pengarah JPPM sempat berseloroh bahawa pegawai kanan polis tersebut amat berdedikasi tinggi sehinggakan sudah bersedia di lokasi seawal waktu subuh lagi setelah menempuh perjalanan jauh dari Bukit Aman. Sahsiah, perilaku, dan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau menjadi cerminan sebenar seorang penjawat awam yang komited terhadap tugasnya.
Dalam pembentangannya mengenai "Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Berkaitan Pertubuhan," ASP Yuvandran menegaskan bahawa pendedahan sebenar mengenai impak buruk jenayah kewangan amat kritikal pada zaman moden. Beliau membidas sikap segelintir masyarakat hari ini yang terlalu materialistik—mahurkan keuntungan dan angan-angan tinggi bersandarkan wang ringgit, namun hanya meletakkan sedikit usaha.
Beliau turut memberi amaran keras bahawa setiap individu yang terpalit dengan kerja kotor ini, termasuk mereka yang membenarkan nama atau akaun bank digunakan sebagai keldai akaun (mule account), akan disenaraihitamkan seumur hidup. Bersekongkol dengan aktiviti haram sebegini, sama ada secara sedar mahupun tidak, hanya akan mengundang kecelakaan berpanjangan yang merosakkan masa depan.
Seterusnya, program diperhangat dengan sesi penerangan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disampaikan oleh Puan Nor Hasni Maria bt Ab Rahim. Cara penyampaian beliau yang sangat bersahaja namun sarat dengan ketegasan berjaya mencuri tumpuan audiens. Puan Nor Hasni Maria menekankan prinsip tiada kompromi terhadap mana-mana pesalah laku, apatah lagi sekiranya pesalah tersebut merupakan seorang Muslim yang sepatutnya berpaksikan nilai murni agama.
Beliau turut berkongsi realiti insaf di sebalik tirai besi dengan menceritakan pengalaman di mana para tahanan sering kali bertukar menjadi sangat warak sebaik sahaja ditahan. Pada saat itulah mereka paling rajin membaca Al-Quran berserta terjemahannya, malah kain telekung yang dipakai p**a tidak pernah tercabut dari kepala. Sehubungan itu, beliau mengingatkan para peserta agar tidak sesekali meletakkan diri dalam situasi untuk menjadi "tetamu SPRM" kerana pengalaman melalui penahanan tersebut adalah sesuatu yang teramat perit untuk ditanggung.
Bagi pihak DPMP, kombinasi pencerahan yang tegas dan realistik daripada pihak PDRM serta SPRM ini merupakan satu titik ukur (benchmark) yang amat kritikal. Segala input ini memberikan kesedaran mendalam bahawasanya tataurus persatuan yang sedang ditadbir pada masa kini bukan sahaja perlu sistematik, malah wajib dilindungi daripada sebarang anasir salah laku kewangan dan pelanggaran integriti.
Menyedari impak positif dan pengajaran besar daripada program seumpama ini, DPMP peringkat negeri mengesyorkan agar setiap cawangan DPMP di peringkat daerah bersedia untuk turut sama hadir ke program pengukuhan tatakelola pada masa akan datang. Langkah ini penting bagi memastikan seluruh rantaian kepimpinan persatuan bergerak seiring dengan piawaian pengurusan yang seragam, telus, dan berintegriti tinggi demi kelangsungan masa depan persuratan di Pahang.