31/08/2025
Assalamualaikum dan Salam Malaysia Madani.
Tanggal 31 Ogos setiap tahun, seluruh rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh rasa syukur, semangat patriotisme dan kesedaran terhadap pengorbanan para pejuang tanah air. Hari ini bukan sekadar meraikan detik bersejarah kemerdekaan negara, malah ia menjadi simbol penyatuan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di bawah panji Malaysia tercinta.
Bagi MASTI, semangat kemerdekaan ini diterjemahkan melalui usaha berterusan dalam memperkukuh ekosistem pentadbiran, teknologi dan inovasi di institusi pendidikan tinggi. Kami percaya bahawa Pentadbir dan warga universiti yang lain merupakan pemangkin reformasi, penggerak digitalisasi serta penjulang nilai integriti dalam menjayakan agenda Malaysia Madani.
Tema Hari Kebangsaan tahun ini menjadi peringatan bahawa kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan tetapi juga tanggungjawab untuk terus membina negara yang maju, berdaya tahan, berdaya saing dan sejahtera.
Marilah kita bersama-sama menyemarakkan semangat cintakan tanah air dengan bekerja secara ikhlas, penuh dedikasi serta mengutamakan kepentingan bersama melebihi kepentingan peribadi. Dengan perpaduan yang kukuh dan iltizam yang tinggi, kita mampu membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2025.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
SEPAKAT MEMBAWA BERKAT