04/04/2026
2 April 2026 (Khamis) –
Telah berlangsung dengan jayanya program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu iaitu Bicara Solehah yang mengetengahkan tajuk “Islam Mekar di Malaysia”, bertempat di Dewan Kolek 1, The Payang Scout Hotel, Terengganu. Program ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah Rosli, dengan pengendalian sesi oleh moderator berwibawa, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin selaku Pengarah YADIM Negeri Terengganu.
Program ini menghimpunkan seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada para ilmuan profesional, pendakwah, aktivis masyarakat serta kepimpinan majlis perwakilan pelajar.
Program ini menampilkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah Rosli sebagai panel utama, manakala Pengarah YADIM Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin bertindak sebagai moderator. Turut hadir Pegawai Takmir JAKIM Negeri Terengganu, Ustaz Abdul Al Hakim Razali.
Dalam sesi bicara tersebut, YB Senator Puan Marhamah Rosli menekankan bahawa para pendakwah perlu berperanan sebagai ejen kepada Islam dengan membawa pemikiran yang selari, prinsip yang jelas serta mengamalkan mekanisme tabayyun dalam menyampaikan maklumat. Selain itu, para pendakwah juga digesa untuk menjadi pemimpin dalam perbincangan masyarakat agar dakwah dapat disampaikan secara berkesan dan berhikmah.
Beliau turut menyatakan harapan agar kelompok pendakwah dapat dibina sebagai kumpulan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Para peserta juga digalakkan untuk melangkah ke hadapan dalam membentuk ekosistem kepimpinan yang mengangkat pendekatan wasatiyyah demi kesejahteraan ummah.
Program ini telah dihadiri oleh Ts. Dr. Noor Zaitun Yahaya, Pesuruhjaya Majlis Dakwah Negeri Terengganu (MDN) 2026-2028 yang juga merangkap Timbalan Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Jaringan Wanita (AJWA). Turut hadir ialah Datin Norhana Ng Abdullah selaku Pengerusi MACMA Terengganu dan Persatuan Darul Fitrah Terengganu merangkap Bendahari AJWA serta Puan Zaidah Ibrahim sebagai Ahli Dewan Wanita, MDN Terengganu.
Program ilmiah yang sarat dengan pengisian bermanfaat ini berjaya menghimpunkan para peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, NGO dan institusi khususnya golongan wanita, dalam usaha memperkukuh kefahaman serta penghayatan terhadap perkembangan Islam di Malaysia.
Secara keseluruhannya, program Bicara Solehah ini telah berlangsung dalam suasana yang harmoni dan penuh barakah. Diharapkan agar program seumpama ini dapat terus menjadi platform penting dalam menyebarkan ilmu, memperkukuh ukhuwah, serta menyemai nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.