09/05/2026
TRAVELOG PSMCT BATAM-NATUNA: MENGGALI IDENTITI TERENGGANU
Hamdan Aziz, Timbalan Pengerusi PSMCT, Pensyarah Kanan UMT & Ketua Pegawai Eksekutif R-TIHiLS
Pada 13 September hingga 18 September 2024, seramai lapan orang penyelidik Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu [PSMCT] yang diketuai Dato’ Haji Mohd Yusof Abdullah ke Pulau Batam dan Natuna bagi menjalankan penyelidikan pensejarahan khususnya yang melibatkan hubungan Terengganu dengan Kep**auan Riau (KEPRI), Indonesia.
Turut hadir menjalankan penyelidikan ialah Dr. Hamdan Aziz selaku Timbalan Pengerusi serta ketua penyelidik. Turut hadir Setiausaha Kehormat, Encik Mohd Zamri Mohd Din, Penolong Setiausaha iaitu Ustaz Saari Husin serta ahli jawatankuasa persatuan, Cikgu Haji Mohd Zainuddin Mahmood sekalipun beliau sedikit keuzuran namun begitu bersemangat untuk turut serta. Turut hadir Cikgu Siti Fatimah Mohd Noor, Cikgu Zarina Mahmud dan Cikgu Faridah Mat Yaacob. Haji Wan Supian Dato Wan Ishak, wakil Host Travel Sdn Bhd mengiringi penyelidik.
Ahli PSMCT yang hadir sepenuhnya menggunakan perbelanjaan sendiri bagi menampung tiket perjalanan, penginapan, makan dan bayaran-bayaran lain. Justeru pada 13 September 2024, penyelidik berkumpul di Stesen Bas Kuala Terengganu untuk meneruskan perjalanan ke Johor Bharu. Setibanya di Stesen Bas Larkin, pada subuh 14 September, penyelidik dibawa ke Jeti Puteri Harbour untuk ke Pulau Batam [Indonesia] dengan menaiki feri.
Perjalanan ke Batam mengambil masa sekitar dua jam menyebabkan penulis sempat bermonolog masa silam jauh sebelum Perjanjian Inggeris Belanda 1824. Perjanjian yang meranapkan impian sebuah negara bangsa Melayu yang hebat. Yang memisahkan orang Melayu di Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Di laut inilah orang Melayu Terengganu dahulunya bebas ke mana sahaja tanpa sekatan. Mereka boleh ke Tanjung Pinang, ke Daik Lingga, ke Pulau Natuna, Anambas, Sambas atau ke Betawi. Dalam konteks Kesultanan Terengganu dari Sultan Zainal Abidin I sehingga Sultan Zainal Abidin III, adalah tidak asing dengan dunia Melayu di KEPRI, terutama melibatkan Kesultanan Johor, Riau-Lingga.
Di Pulau Batam setelah makan tengahari, penyelidik mengunjungi Muzium Raja Ali Haji. Muzium dinamakan dengan nama Raja Ali Haji, seorang tokoh dunia Melayu yang hebat. Beliau adalah Yam Tuan Muda Kerajaan Johor Riau serta tokoh terkenal dalam dunia persuratan Melayu yang masyhur dengan Gurindam 12. Makam beliau di Pulau Penyengat manakala anakanda beliau, Raja Hamidah [Engku Puteri] adalah pemegang regalia Kerajaan Johor Riau Lingga.
Selain Raja Ali Haji, terdapat dua nama terkenal yang hampir sama iaitu Raja Haji Fi Sabilillah dan Raja Ali Kelana. Raja Haji Fi Sabilillah adalah datuk kepada Raja Ali Haji yang terkenal dengan keberanian. Nama lain bagi Raja Ali Haji ialah Marhum Teluk Ketapang. Beliau terkorban sewaktu menentang Belanda di Selangor. Ketiga ialah Raja Ali Kelana. Beliau adalah anak saudara kepada Raja Ali Haji dan cicit kepada Raja Haji Fi Sabilillah. Raja Ali Kelana juga terlibat aktif dalam dunia persuratan dan menubuhkan Kelab Rusydiah. Syed Sheikh Al-Hadi, yang memimpin Majalah Al-Imam adalah anak angkat kepada Raji Ali Kelana.
Muzium Raja Ali Haji banyak memaparkan peristiwa yang berkaitan dengan Kesultanan Johor Riau Lingga yang secara tidak langsung turut mengaitkan Terengganu. Raja Ali Haji, pengarang kitab Tuhfat al-Nafis memaparkan tatacara pelantikan Sultan Zainal Abidin I [SZA1] iaitu pengasas kepada Kesultanan Terengganu moden.
Menurut catatan ini, SZA1 ditabalkan oleh Daeng Menampuk [Raja Tua] atas perintah Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah sekitar 1725.
Sedangkan menurut versi Salsilah Terengganu, SZA1 ditabalkan oleh Nang Chayam [Mas Jayam] Raja Perempuan Patani. Berdasarkan keterangan pada pitis [dinar emas] Terengganu, tercatat keterangan berkaitan SZA1 bertarikh 1708. Keterangan pada matawang ini di ambil kira sebagai tahun pengasasan Kesultanan Terengganu moden hari ini.
Pada 15 September, penyelidik bertolak ke Natuna. Untuk sampai ke sana, terdapat dua cara. Pertama dengan kapal laut [bot] dari Batam atau Tanjung Pinang yang mengambil masa sekitar 32 hingga 33 jam. Cara kedua adalah dengan menaiki pesawat dari Bandara Hang Nadim di Batam. Jarak antara Batam dan Natuna sekitar 590km manakala perjalanan pesawat Wings Air mengambil masa sekitar 1 jam 15 minit.
Sepanjang penerbangan dapat dilihat p**au-p**au yang indah berdekatan antara satu sama lain. Pada abad ke-19, kebanyakan penjelajah Barat menyebut kawasan ini sebagai Pulau Tujuh.
Setelah mendarat di Ranai, pusat pentadbiran di Pulau Natuna, penyelidik dibawa ke penginapan yang selesa dan mengkagumkan iaitu Natuna Dive Resort. Bersebelahan Resort terdapat beberapa bongkah batu yang menjadi ikon Natuna.
Sepanjang di Natuna terasa seperti berada di negeri sendiri iaitu tidak jauh perbezaan dari aspek budaya, agama dan masyarakat. Rata-rata penduduk Natuna sekalipun bertuankan Indonesia namun masih kekal beridentiti Melayu. Laut Natuna jika direnangi sejauh 622 km, boleh sampai ke pesisir pantai Terengganu. Bahasa pertuturan di Natuna p**a mudah difahami kerana rata-rata mereka menggunakan bahasa Melayu loghat Natuna.
Nama Natuna dalam bahasa Cina disebut Nan-Tao yang bermaksud Pulau Besar. Dalam kalangan penduduk tempatan, nama lama Natuna ialah Pulau Serindit dan Pulau B**guran.
Hubungan Terengganu dengan Patani dapat dilihat melalui keris panjang Nang Chayang yang digunakan untuk pertabalan Sultan. Di Natuna, senario sama iaitu wujud hubungan antara Patani dengan Natuna. Berdasarkan catatan, antara pembesar Patani di Natuna ialah Wan Muhamad Al-Fathani.
Pada abad ke-20, ketika mana garis sempadan antarabangsa belum dikuatkuasakan, ramai penduduk Terengganu berulang alik ke Natuna. Antaranya Haji Abdul Rahman Limbong yang dilaporkan pernah sampai ke Natuna, cuma tidak dapat dipastikan ke tempat mana beliau singgah untuk aktiviti perniagaan dan dakwah. Haji Abdul Rahman ke Natuna menggunakan bot buatan orang Terengganu.
Sewaktu makan tengahari di sebuah kedai makan di Natuna, penyelidik dihidangkan budu sebagai pencicah yang disebut sebagai pedek. Namun sedikit perbezaan dari segi penggunaan ikan iaitu mereka menggunakan isi ikan aya [tongkol] yang dilumur garam diperam dengan bekas plastik. Di Terengganu, budu diproses dari ikan bilis yang diperam dalam tempoh agak lama.
Pada sebelah petang bertempat di auditorium Muzium Natuna, pertemuan penyelidik dengan 4 orang keturunan Terengganu yang menetap di Natuna. Mereka dibawa dari Pulau Seluan ke Natuna yang mana perjalanan mengambil masa sekitar dua jam lebih serta dari jeti ke Ranai sekitar satu jam.
Salah seorang yang ditemu bual berasal dari Kemaman yang berkahwin dengan orang Pulau Seluan dan menetap di sana. Menurutnya terdapat banyak persamaan budaya, agama dan adat resam antara Terengganu dan Pulau Seluan serta tidak menjadi masalah besar baginya untuk menetap di sana. Namun kekurangan kemudahan infrastruktur serta kemajuan ekonomi sangat terhad yang hanya bergantung kepada hasil laut menyebabkan kehidupan mereka agak sukar.
Seusai pertemuan, penyelidik melawat galeri di Muzium Natuna yang diberi taklimat oleh Pak Hardiansyah selaku Kepala Dinas Muzium. Muzium sifatnya adalah hidup, dapat memberikan gambaran masa lalu Natuna melalui tafsiran terhadap produk sebenar yang dipamerkan. Pensejarahan Natuna sinonim dengan kelautan yang tidak jauh beza dengan Terengganu. Muzium ini memiliki koleksi yang beragam, termasuk artifak peninggalan zaman dinasti di China, seni tradisional dan dokumentasi kehidupan masyarakat lokal.
Pada sebelah petang, penyelidik dibawa menikmati panorama alam di Bukit Bintan sambil menikmati buah durian. Sewaktu di atas bukit, penulis teringat pengalaman sewaktu mendaki Bukit Maras, Batu Rakit. Cuma yang bezanya Bukit Maras masih kekal dengan tidak beraspal manakala Bukit Merah diturap dengan baik.
Pada malamnya, penyelidik dijemput ke Masjid Agung Natuna untuk menyertai majlis Maulidur rasul. Sama seperti sambutan Maulid di Terengganu, aktiviti diadakan antara Maghrib dan Isyak dengan pengisian ceramah. Selesai majlis, tetamu dihidangkan dengan pelbagai jenis kuih muih. Hal ini mengingatkan penulis kebersamaan dengan Terengganu.
Pada pagi 16 September, penyelidik dijemput bersarapan pagi di rumah Wakil Bupati Natuna iaitu Bapak Rodhial Huda atau dikenali sebagai Wak Yai. Dalam sesi pertemuan, banyak maklumat diperoleh terutama berkaitan antara Natuna dan Terengganu. Menurutnya dalam tahun 1970an dan 1980an, sering diadakan perlawanan persahabatan bola sepak antara Natuna dan Terengganu khususnya di Dungun dan Kemaman. Perjalanan ketika itu adalah melalui jalur laut yang mengambil masa hampir dua hari.
Di rumah Wak Yai, penyelidik dihidangkan dengan bubur lambuk. Bubur ini hampir menyerupai bubur lambuk Terengganu cuma mereka memasukkan beberapa tambahan bahan dalam masakan. Selain bubur lambuk, kuih-muih tradisional yang mempunyai banyak persamaan dengan Terengganu turut dihidangkan.
Sebagai seorang yang mahir dalam ilmu maritim, Bapak Rodhial Huda menyatakan hasratnya supaya hubungan kedua pihak hendaklah dikekal dan dipertingkatkan. Sekalipun bukan lagi dalam aspek politik dan pemerintahan, namun banyak aspek kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan sukan boleh ditingkatkan kerjasama.
Selesai pertemuan di rumah Wakil Bupati, rombongan ke acara kemuncak di Sekolah Tinggi Agama Islam [STAI], Natuna. Sebaik sahaja sampai, rombongan disambut dengan acara tarian tradisional Melayu yang sangat menghiburkan oleh mahasiswi STAI. Dalam pertemuan itu, Dr, Hamdan Aziz mewakili PSMCT dijemput sebagai ahli panel perbincangan dua hala.
Sekalipun STAI masih menggunakan nama Sekolah Tinggi, namun institusi ini turut memperkenalkan bidang pengajian serta program pengajian tahap Sarjana Muda. Lepasan STAI kemudian berpeluang dilantik mengisi kekosongan jawatan. Umumnya institusi ini sangat memerlukan sokongan dan dokongan pelbagai pihak terutama kewangan kerana sumber kewangan utama adalah terhad iaitu dari hasil wakaf. STAI juga memerlukan kerjasama [MoU] dari intitusi pendidikan tinggi lain di Malaysia dalam usaha mendapat penarafan rangking universiti.
Selesai perbincangan dan pembentangan di STAI, penyelidik dibawa bergambar di kota Ranai selain membeli cenderahati sebagai kenangan. Penyelidik juga dibawa ke Pasar Besar Natuna yang mana tidak jauh beza dengan mana pasar-pasar lain di Terengganu. Menariknya hampir keseluruhan produk yang dijual seperti ikan, sayuran termasuk ulaman seperti petai jering ada dijual di pasar ini.
Pada 17 September, penyelidik berangkat p**ang dengan menaiki pesawat ke Batam. Kemudian, dari Batam ke Tanjung Puteri dan seterusnya ke Stesen Bas Larkin. Sekitar jam 9.00 malam, bas bertolak dan selamat sampai ke Kuala Terengganu pada jam 6.00 pagi.
Rujukan
Nuraini, Sejarah Terbentuknya Kabupaten Natuna, Tanjung Pinang, Dinas Kebudayaan, 2008.
Temu bual dengan Bapak Rodhial Huda, Penolong Bupati Natuna pada 16/9/2024
Temu bual dengan Pak Hardianshah, Kepala Dinas Muzium serta orang Kemaman, Terengganu berkahwin dengan penduduk Natuna pada 15-17/9/2024
Temu bual dengan Bapak H. Umar Natuna, Ketua Sekolah Tinggi Agama Islam [STAI] Natuna pada 15-17/9/2024
Sesi Perbincangan dua hala bersama Pensyarah/Dosen di Sekolah Tinggi Agama Islam Natuna pada 16/9/2024