30/04/2026
PERSINGGAHAN LAKSAMANA CHENG HO DI TERENGGANU
Oleh : Wan Mohd Rosli Wan Ngah
Laksamana Cheng Ho atau Zheng He atau juga dikenali sebagai Sam Poh Kong ialah seorang laksamana dan penjelajah termasyhur dari Dinasti Ming, China kerana mengetuai pelayaran epik maritim terbesar pada abad ke-15. Beliau dilahirkan pada tahun 1371 dengan nama Ma Sanbao kemudiannya dikenali sebagai Ma He. Nama “Ma” adalah singkatan Cina bagi “Muhammad”. Beliau merupakan seorang Muslim yang berasal daripada keturunan Hui salah satu bangsa minoriti di China dari daerah Kunyang dalam wilayah Yunnan.
Semasa memegang jawatan sebagai laksamana, beliau berkhidmat di bawah tiga orang Maharaja Ming iaitu Maharaja Yung Lo (1402-1424), Maharaja Hung-Hsi (1424- 1426) dan Maharaja Hsuan Te (1426-1433). Beliau diberi gelaran Cheng Ho (Zheng He) sebagai penghargaan atas kesetiaan dan kejayaan memimpin misi diplomatik di luar negara.
Laksamana Cheng Ho memainkan peranan penting semasa era Distinasi Ming dalam membentuk persahabatan, perdamaian dan perdagangan dengan negara-negara luar. Dalam tempoh antara tahun 1405 hingga 1433, Cheng Ho melakukan tujuh pelayaran berjumlah antara 41 hingga 317 kapal, dan antara 27,550 hingga 30,000 pelayar. China pada masa itu memiliki pelbagai sumber dan aset yang lengkap seperti ketenteraan, senjata dan armada untuk menjajah negara-negara lain seperti dilakukan oleh penjajah Barat tetapi memilih untuk menjalinkan persahabatan dengan Cheng Ho sebagai diplomatnya ditugaskan menjalankan misi diplomasi yang memberi kesan signifikan terutama kepada perdagangan, kebudayaan, penyebaran Islam dan hubungan antarabangsa. Secara jelas, pelayaran Cheng Ho ialah misi diplomatik dan perdagangan, berbanding misi Barat yang berakhir dengan peperangan, pertumpahan darah, kekejaman dan penjajahan.
Beliau telah mengunjungi 37 buah negara dan banyak pelabuhan yang disinggahi termasuklah Samudera, Hindia, Sri Langka, Quiloh, Kocin, Kalikut, Ormuz, Jeddah, Mugadisco dan Malindi. Sepanjang perjalanan dan ekspedisi yang dilakukan ini, mereka akan membawa p**ang segala maklumat berharga berkaitan dengan keadaan laut, perjalanan sepanjang pelayaran, keadaan pelabuhan dan budaya asing dari tempat yang dikunjungi. Catatan yang ditulis oleh para pembantu yang turut bersamanya sepanjang pelayaran itu juga begitu lengkap dan teratur.
Dalam peta pelayaran itu dicatatkan nama-nama tempat yang dikunjungi seperti Melaka, Pulau Pinang, Pulau Langkawi, Terengganu, Pahang, Kedah, Kelantan, Kelang, Gunung Sembilan (di luar Sungai Perak), Pulau Tenggol (Dungun), Gunung Banang, Pulau Jarak, Pulau Aur dan bahagian utara Pulau Kalimantan iaitu lokasi Sabah dan Sarawak. Menurut catatan China terjemahan W.P. Groeneveldt, Cheng Ho juga pernah mengunjungi Champa, Jawa, Kemboja, Kukang, Siam, Calcutta, Melaka, Brunei, Sumatera, Aru, Cochin, Great Coilan, Little Coilan, Soli, Western Soli, Cail, A-po-pa-tan, Co,ari, Ceylon, Lambri, Pahang, Kalantan, Hormus, Pi-la, The Maldive Island, Sun-la, Magadoxu, Ma-lin-la-sah, Dsaffar, Sa-li-wa-ni, Bengal, Arabia, Li-tai dan Nakur.
Dalam catatan China itu, kebanyakan nama-nama negeri ini ditulis dalam bahasa Cina dan sebutannya agak menyimpang daripada bunyinya yang asal. Negeri Du Yuan kemudiannya disebut Qu Du Kun atau Qu Du Quan adalah Dungun atau Kuala Dungun di Terengganu. Bagaimanapun catatan-catatan mengenai pelayaran itu merupakan keterangan bertulis lengkap yang amat berguna kepada para sejarawan untuk mengetahui dan mengkaji dengan lebih lanjut lagi mengenai persinggahan dan sumbangan tokoh termasyhur itu di rantau ini.
Dalam tempoh pelayaran tersebut, rombongan ini dipercayai singgah di pesisir pantai Terengganu sebelum Laksamana Cheng Ho memerintahkan sebahagian anak kapal mengunakan kapal-kapal kecil (tongkang) masuk ke dalam Sungai Terengganu menuju ke Foloan (Kuala Berang) yang sebelum itu cukup terkenal sebagai pelabuhan antarabangsa.
Berdasarkan buku sejarah Cina bertajuk “Ling Wai-Tai Ta” karangan Cau Cu Fei yang ditulis pada tahun 1178, Foloan merupakan bandar pelabuhan terkenal yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari segenap pelusuk alam Melayu, Timur Tengah dan China yang menjalankan kegiatan ekonomi. Bahan dagangan yang terdapat di sini termasuklah “su” dan “can” (jenis-jenis kayu gaharu), kayu laka, gading dan lain-lain. Hasil-hasil itu kemudiannya diperniagakan dengan emas, perak, porselin, besi, beras, gula dan gandum.
Setelah menyusuri Sungai Terengganu untuk menuju ke Foloan, tongkang yang dinaiki Laksamana Cheng Ho dikatakan tersilap arah melencong masuk ke arah Sungai Nerus. Dalam perjalanan itu, tongkang-tongkang mereka terhalang oleh batu-batu besar yang berada di Jeram. Tongkang yang dinaiki oleh Cheng Ho p**a dikatakan terkandas di tepi sungai tersebut. Kemudiannya Cheng Ho dan anak-anak kapal turun mengambil air untuk dijadikan bekalan, menunaikan ibadah dan berehat seketika di kawasan Kampung Jeram sebelum kembali keluar menuju ke China. Lama-kelamaan tongkang Cheng Ho yang tersangkut itu dikatakan tenggelam lalu ditimbus lumpur dan pasir sehingga membentuk sebuah p**au kecil di tengah-tengah Sungai Nerus.
Dalam versi lain, menurut Ma Hua seorang penterjemah bahasa yang menyertai pelayaran Laksamana Cheng Ho antara tahun 1413 hingga 1433, dalam catatan hariannya bertajuk “Ying-yai Sheng-Lan” merakamkan situasi pelayaran-pelayaran itu, Laksamana Cheng Ho pernah ke 'Ting Chia Hsia Lu' atau 'Teng Ka Ha Lo' yang bermaksud Terengganu.
Menurut sumber-sumber China yang lain, Laksamana Cheng Ho ke Terengganu kerana suatu misi rahsia. Profesor Wang Gung Wu, dalam ceramahnya bertajuk, Hubungan Awal Ming dengan Asia Tenggara: Sebuah Esei Latar di Universiti Harvard pada 1965, berkata Laksamana Cheng Ho telah ditugaskan oleh Maharaja Yung Lo untuk memburu anak saudaranya, Zhu Yunwen (Jianwen) yang amat berpengaruh dikatakan menyembunyikan diri sama ada Champa atau Kuala Berang (Terengganu) kerana dibimbangi akan merampas kembali takhta daripada Yung Lo.
Zhu Yunwen (1377–1402) ialah Maharaja kedua Dinasti Ming, lebih dikenali sebagai Maharaja Jianwen yang memerintah negara China selama empat tahun (1398–1402). Maharaja Yung Lo menaiki takhta pada 17 Julai 1402 selepas memenangi perang saudara yang dikenali sebagai Pemberontakan Jingnan. Beliau merampas kuasa daripada anak saudaranya itu dan mengisytiharkan diri sebagai Maharaja ketiga Dinasti Ming (memerintah 1402-1424). Bagi mengelakkan ditawan, Jianwen melarikan diri ke sebelah Asia Tenggara menyebabkan Maharaja Yung Lo menghantar tenteranya untuk mengesan keberadaan beliau. Menurut Haji Ibrahim Ma dalam buku “Muslims in China”, Jianwen adalah seorang Islam yang sudah tentu berlindung di sebuah negara Islam sama ada Champa atau berkemungkinan besar Kuala Berang. Berdasarkan Batu Bersurat Terengganu (tahun 1303) menunjukkan Kuala Berang sudah diperintah oleh Raja Mandalika yang beragama Islam.
Ketika berusaha mengesan Jianwen, Laksamana Cheng Ho dan pasukannya dipercayai menyusuri Sungai Nerus dengan menggunakan tongkang-tongkang kecil untuk memburu Jianwen tetapi terkandas di Kampung Jeram akibat tersekat oleh batu-batu besar di dalam sungai itu. Kenyataan berkaitan ini turut disentuh William Willets dalam sebuah rencana bertajuk “More About Cheng Ho and Malacca Sultanate” mengatakan Laksamana Cheng Ho juga berperanan sebagai seorang 'polis'. Menurut Willets, dalam pelayaran p**ang dari Samudera ke China pada tahun 1415, Laksamana Cheng diperintahkan oleh Maharaja China untuk menangkap Jianwen dan membawa p**ang ke China untuk dijatuhkan hukuman bunuh.
Semasa persinggahan rombongan Laksamana Cheng Ho di Kampung Jeram pada tahun 1415, terdapat komuniti Cina yang sudah pun menetap di negeri ini dan mendiami di beberapa kawasan terutama di sepanjang persisir Sungai Terengganu bermula dari Kuala Terengganu hingga ke Kuala Berang. Fakta ini diperkukuhkan oleh catatan Wang-Ta Yun, yang melawat Temasek (Singapura) dalam 1349 sebelum berhijrah ke Terengganu. Menurut Wang-Ta Yun dalam karyanya berjudul “Tao Chin Leo” negeri ini sudah pun ada orang-orang Cina. Justeru, bagi mengenang kembali peristiwa persinggahan Laksamana Cheng Ho bersama ratusan pengikut itulah, masyarakat Cina telah membina sebuah tugu peringatan kecil di tepi sebatang pokok besar menggunakan kayu dan ringkas strukturnya berhampiran sungai di Kampung Jeram.
Dalam usaha menaik taraf binaan itu, seorang guru besar bernama Tee Choon Guan membeli sebidang tanah di situ pada tahun 1940-an lalu membina sebuah tugu peringatan Cheng Ho berbentuk tokong dikenali sebagai “Sampohkong Keramat Cheng Ho”. Dahulunya di dalam tokong itu tersimpan barang-barang tembikar yang berasal daripada dinasti Ming dan dipercayai peninggalan Cheng Ho. Bagaimanapun, bukti sejarah penting itu hilang pada tahun 1980 apabila pencuri memecah masuk dan melarikan barang-barang berkenaan.
Suatu ketika dahulu di tepi sungai itu terdapat sebuah nisan “toshi” yang bermaksud "Cina Islam", berkemungkinan jenazah pengikut Laksamana Cheng Ho yang disemadikan di sini. Walau bagaimanapun, nisan itu tenggelam kerana paras air sungai semakin tinggi sehingga tidak dapat dilihat lagi. Keadaan diburukkan lagi apabila British meletupkan batu-batu besar yang pernah menghalang pasukan Laksamana Cheng Ho di dalam sungai itu pada tahun 1950-an untuk memudahkan laluan kapal penjajah itu keluar masuk.
Seorang pengunjung dari Wakaf Tapai, Marang dikenali Tan Chin Woo yang ditemui penulis di sekitar tugu peringatan itu pada 18 Februari 2026 lalu berkata, setiap kali sambutan Hari Chap Goh Mei lazimnya masyarakat Cina akan berkunjung ke tugu peringatan di Kampung Jeram sebagai simbolik bagi memperingati lokasi keramat yang pernah disinggahi Laksamana Cheng Ho. Mereka meneruskan budaya tradisi dan keagamaan di situ yang dianggap antara tempat keramat, mendatangkan tuah dan rezeki.
Komuniti Cina dan Cina Muslim di Terengganu pernah berhasrat untuk membina sebuah replika kapal atau Galeri Laksamana Cheng Ho berhampiran kawasan ini bagi mempamerkan segala informasi sejarah kegemilangan tokoh pelayar lagenda itu dan bahan-bahan sejarah yang berkaitan. Namun hasrat itu hanya tinggal impian sahaja kerana ketiadaan sumber kewangan dan masalah tapak untuk membina premis tersebut. Oleh itu, mereka mengharapkan supaya pihak berwajib dapat mengambil langkah segera membina replika kapal atau galeri bagi mengangkat kembali sejarah kehadiran pelayar termasyhur itu di sini sekaligus menjadikan antara lokasi tarikan utama pengunjung sama ada dalam dan luar negara seterusnya dapat meningkatkan sumber ekonomi masyarakat setempat.
Laksamana Cheng Ho merupakan seorang ahli pelayar lagenda dan penjelajah Muslim dengan personaliti penuh teladan. Antara sumbangannya termasuk mengeratkan hubungan antara kerajaan China dan kesultanan Melaka menerusi perkahwinan antara Sultan Mansur Syah dan Puteri Hang Li Po pada tahun 1459. Hubungan yang terjalin bukan berbentuk penaklukan tetapi lebih kepada persahabatan serta pertukaran budaya dan adat di antara kedua-dua negara.
Maharaja-maharaja China terus memberi kepercayaan kepada Cheng Ho untuk mengetuai ekpedisi menjadikan China cukup terkenal dan dihormati negara lain bahkan sentiasa mendapat tindak balas yang baik dalam apa jua bentuk urusan termasuklah perdagangan.
Misi pelayaran yang dilaksanakan bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan perdagangan, ekonomi dan diplomatik antara kerajaan Ming dan kerajaan lain, tetapi turut meninggalkan kesan sejarah di negeri ini seperti sebuah tugu peringatan keramat yang dinamakan “Sampohkong Keramat Cheng Ho” yang didirikan di Kampung Jeram Hulu sebagai memperingati kehadiran rombongan epik Laksamana Cheng Ho ke negeri ini.
Rujukan :-
Dato’ Haji Muhamad Salleh Haji Awang, 1992, Sejarah Darul Iman Hingga 1361H (1942M), Kuala Terengganu, PSMCT
Misteri Lawatan Laksamana Cheng Ho ke Terengganu, Berita Minggu, 27 Mac 1994
Kong Yuanzhi, 2000, Pelayaran Zheng He dan Alam Melayu, Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Prof. H.M. Hembing Wijayakusu, 2011, Cheng Ho Muslim Tionhoa: Misteri Perjalanan Muhibah di Nusantara, Jakarta, Yayasan Pustaka Obor Indonesia
Yusuf Liu Baojun, 2021, Laksamana Cheng Ho di Alam Melayu, Kuala Lumpur, CM Diverse
Temu bual dengan Encik Mohamad Abu Bakar (bekas guru), 71, penduduk Kampung Jeram
Temu bual dengan Encik Tan Chin Woo (peniaga), 60, pelawat Tugu Peringatan Laksamana Cheng Ho
Temu bual dengan Encik Norhafizi Jusoh (peniaga), 41, penduduk Kampung Jeram
(Penulis merupakan Ahli Jawatankuasa PSMCT dan Setiausaha Kehormat PSM Kawasan Dungun)