03/10/2025
3 OKTOBER 2025
KENYATAAN PERTUBUHAN PERIKEMANUSIAAN THIRAVIDAR KAZHAGAM MALAYSIA
Pihak kami dengan penuh rasa tanggungjawab politik, solidariti kemanusiaan, dan keprihatinan terhadap maruah negara ingin menyampaikan kecaman keras terhadap dua peristiwa mutakhir: pertama, penahanan haram aktivis Malaysia dalam Misi Global Sumud Flotilla oleh Angkatan Pendudukan Israel (IOF); kedua, laporan mengenai penahanan paksa serta layanan kasar terhadap seorang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan pejuang solidariti Palestin, iaitu Saudara Kamal.
Misi Global Sumud Flotilla merupakan misi kemanusiaan sah di sisi undang-undang antarabangsa yang bertujuan membawa bantuan kepada rakyat Gaza dan memecahkan kepungan zalim. Tindakan IOF yang menceroboh perairan antarabangsa, merampas kapal, menahan aktivis dan menyita barangan bantuan adalah jenayah lanun bernegara serta pelanggaran jelas terhadap undang-undang maritim antarabangsa. Antara yang kini menjadi tahanan haram adalah rakyat Malaysia yang telah bertindak atas dasar moral, keberanian dan solidariti. Penahanan ini adalah satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang mesti ditentang tanpa kompromi.
Dalam pada itu, kami turut menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap laporan bahawa Saudara Kamal, seorang aktivis tempatan, telah ditahan secara kasar oleh pihak polis. Peristiwa ini, sekiranya disahkan, menunjukkan pola penyalahgunaan kuasa dan budaya kekerasan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi serta kebebasan bersuara. Malaysia tidak boleh berdiri sebagai suara keadilan antarabangsa, tetapi dalam masa yang sama menindas aktivis rakyatnya sendiri. Penindasan politik sebegini adalah pengkhianatan terhadap cita-cita rakyat, serta mengundang ingatan kepada era gelap sejarah negara yang sarat dengan penyalahgunaan aparatus keselamatan.
Sehubungan itu, kami menuntut supaya Kerajaan MADANI:
1. Mengambil langkah segera bagi menuntut pembebasan serta pemulangan semua rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis.
2. Mengadakan siasatan bebas, telus dan menyeluruh terhadap laporan keganasan polis terhadap Saudara Kamal, serta mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
3. Menubuhkan mekanisme pengawasan bebas ke atas institusi kepolisian bagi mencegah penyalahgunaan kuasa pada masa hadapan.
4. Menggunakan segala saluran diplomatik termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, OIC, ASEAN dan Komanwel untuk menuntut pertanggungjawaban rejim Zionis.
5. Menolak kehadiran Donald Trump atau mana-mana tokoh reaksioner yang membawa politik perkauman, autoritarian dan pro-apartheid daripada menjejakkan kaki ke Malaysia, demi menjaga maruah negara dan solidariti dengan rakyat tertindas di dunia.
Adalah ditegaskan bahawa kegagalan pihak kerajaan bertindak dengan segera akan memberi isyarat salah kepada kuasa penindas, meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara, serta menjejaskan kredibiliti Malaysia sebagai negara yang kononnya menjunjung hak asasi dan keadilan.
Maka dengan ini, kami menggesa tindakan segera diambil demi maruah negara, keselamatan rakyat Malaysia yang kini ditahan, serta bagi memastikan aktivis rakyat tidak lagi menjadi mangsa penindasan politik.
Sekian, terima kasih.
Hidup Palestin.! Hidup Solidariti.! Hidup Perjuangan Rakyat.!