20/06/2026
KENYATAAN MEDIA NINJA MALAYSIA
PERTUBUHAN NINJA MALAYSIA MENGECAM KENYATAAN SENATOR DAP RA LINGESHWARAN BERHUBUNG POSTER PROGRAM MUALAF DI UPSI
Pertubuhan NINJA Malaysia memandang serius kenyataan Senator Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam berhubung poster “Pendaftaran Saudara Baharu (Mualaf)” yang dikaitkan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pihak Pertubuhan NINJA Malaysia berpendapat bahawa kenyataan tersebut berpotensi menimbulkan persepsi yang salah seolah-olah usaha dakwah Islam dan kebajikan saudara baharu merupakan suatu aktiviti yang mencurigakan atau bertentangan dengan undang-undang.
Persepsi sedemikian amat berbahaya dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia kerana ia boleh mencetuskan syak wasangka antara penganut agama, menggalakkan prejudis terhadap institusi Islam serta menimbulkan polemik yang tidak perlu sehingga mengancam keharmonian negara.
Hakikatnya, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan telah diiktiraf secara jelas melalui Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Sejak sekian lama, universiti-universiti awam di Malaysia menubuhkan pusat Islam, masjid, unit dakwah dan program bimbingan saudara baharu yang beroperasi secara terbuka selaras dengan undang-undang.
Program kebajikan dan bimbingan mualaf juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan keagamaan yang diiktiraf dalam kerangka Perlembagaan.
Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap individu untuk menganut, mengamalkan dan mengembangkan agamanya. Walaupun Perkara 11(4) membenarkan sekatan terhadap penyebaran agama lain kepada orang Islam, tiada peruntukan yang melarang penyebaran Islam kepada bukan Islam yang secara sukarela ingin mengetahui atau memeluk agama Islam.
Prinsip ini turut disokong oleh
perkembangan undang-undang negara. Dalam kes Meor Atiqurahman bin Ishak lwn Fatimah bte Sihi & Ors, Hakim Mahkamah Tinggi, YA Mohamed Noor Ahmad menegaskan kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan seperti berikut:
“Islam bukan setaraf dengan ugama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati – tinggi, teguh dan terampil.”
Malah dalam kes Menteri Dalam Negeri & Ors v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur (Kes Kalimah Allah), Hakim Mahkamah Rayuan Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahim telah memutuskan seperti berikut:
“I would add however that the position of Islam as the religion of the Federation, to my mind imposes certain obligation on the power that be to promote and defend Islam as well to protect its sanctity…”
Terjemahan:
“Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, pada hemat saya, meletakkan kewajipan ke atas pihak yang berkuasa untuk mendakwah (promosi) dan mempertahankan Islam serta memelihara kesuciannya.”
Oleh yang demikian, Pertubuhan NINJA Malaysia menegaskan bahawa kenyataan Senator Dr. Lingeshwaran berkenaan bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan keharmonian antara agama dan mencabar kedudukan Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan dengan itu, Pertubuhan NINJA Malaysia mendesak agar perkhidmatan Senator Dr. Lingeshwaran sebagai Ahli Dewan Negara ditamatkan jika beliau didapati telah bertindak secara tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan keresahan awam, mengganggu keharmonian masyarakat berbilang agama serta mempertikaikan aktiviti dakwah Islam yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang negara.
Demi mendapat pengadilan yang adil dan saksama, Pertubuhan NINJA Malaysia menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap kenyataan Senator Dr. Lingeshwaran bagi menentukan sama ada wujud unsur-unsur kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, atau mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa kerana kenyataan tersebut didapati mempunyai kecenderungan menghasut atau dengan sengaja menimbulkan provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Sekian, terima kasih.
YM NIK MUHAMMAD HAZIM BIN NIK MOHAMED HAZMI
PRESIDEN
PERTUBUHAN NINJA MALAYSIA
20 JUN 2026