10/05/2026
๐ ๐๐ฆ๐ฌ๐จ๐๐ฅ๐๐ง ๐๐๐จ๐ก๐ ๐ง๐๐๐จ๐ก๐๐ก ๐ฃ๐๐ฅ๐๐๐ ๐ช๐๐๐๐ฌ๐๐ ๐ฃ๐๐ฅ๐ฆ๐๐๐จ๐ง๐จ๐๐ก ๐๐๐๐ ๐๐-๐ฐ๐ต ๐๐๐ฅ๐๐๐ก๐๐ฆ๐จ๐ก๐ ๐๐๐ฌ๐๐ก๐ฌ๐
๐๐จ๐๐๐ ๐๐จ๐ ๐ฃ๐จ๐ฅ, ๐ต ๐ ๐๐ ๐ฎ๐ฌ๐ฎ๐ฒ โ ๐ฃ๐ฒ๐ป๐ด๐ฒ๐ฟ๐๐๐ถ ๐ฃ๐๐ฅ๐๐๐ ๐๐ฎ๐ต๐ฎ๐ด๐ถ๐ฎ๐ป ๐ช๐ถ๐น๐ฎ๐๐ฎ๐ต ๐ฃ๐ฒ๐ฟ๐๐ฒ๐ธ๐๐๐๐ฎ๐ป, ๐ฌ๐๐ต๐ด ๐๐ฎ๐๐๐ธ ๐๐ฎ๐ท๐ถ ๐ ๐ผ๐ต๐ฑ ๐ก๐ฎ๐ธ๐ต๐ฎ๐ถ๐ฒ ๐๐ต๐บ๐ฎ๐ฑ menegaskan umat Islam perlu membina โkekuatan sistem dan percantuman ummahโ bagi memastikan gerakan dakwah dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berkesan dan berimpak besar kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan kali ke-49 yang dihadiri kira-kira 60 perwakilan di Dewan Seminar Tingkat 1, Bangunan PERKIM, di sini hari ini.
Mesyuarat tahunan tersebut bukan sahaja menjadi medan memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan ahli dan aktivis dakwah, malah turut menjadi platform penting menilai pencapaian organisasi sepanjang tahun lalu serta merangka hala tuju lebih tersusun bagi memperkasakan gerakan dakwah dan kebajikan PERKIM pada masa hadapan.
Majlis dimulakan dengan sesi pendaftaran dan sarapan pagi sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh ๐ฃ๐ฒ๐ป๐ด๐ฒ๐ฟ๐๐๐ถ ๐ง๐ฒ๐๐ฎ๐ฝ, ๐๐ฎ๐ฏ๐๐น ๐๐ฏ๐ฏ๐ฎ๐ ๐๐ฏ๐ฑ๐๐น ๐๐๐ถ๐.
Suasana majlis turut diserikan dengan nyanyian lagu Negaraku, alunan Asmaul Husna dan Lagu PERKIM yang menyuntik semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air dalam kalangan hadirin.
Bacaan doa disempurnakan oleh ๐ก๐ฎ๐ถ๐ฏ ๐ฃ๐ฒ๐ป๐ด๐ฒ๐ฟ๐๐๐ถ ๐ฎ ๐ฃ๐๐ฅ๐๐๐ ๐๐ฎ๐ต๐ฎ๐ด๐ฎ๐ถ๐ฎ๐ป ๐ช๐ถ๐น๐ฎ๐๐ฎ๐ต ๐ฃ๐ฒ๐ฟ๐๐ฒ๐ธ๐๐๐๐ฎ๐ป, ๐๐ฎ๐๐๐ธ ๐๐ฎ๐ท๐ถ ๐๐ฎ๐๐ฏ๐๐น๐น๐ฎ๐ต ๐. ๐๐๐ฎ yang memohon keberkatan serta kelancaran perjalanan mesyuarat agar segala perbincangan dan keputusan yang dicapai memberi manfaat kepada umat Islam serta gerakan dakwah di negara ini.
๐ฆ๐ฒ๐๐ถ๐ฎ๐๐๐ฎ๐ต๐ฎ ๐๐ฒ๐ต๐ผ๐ฟ๐บ๐ฎ๐ ๐ฃ๐๐ฅ๐๐๐ ๐๐ฎ๐ต๐ฎ๐ด๐ถ๐ฎ๐ป ๐ช๐ถ๐น๐ฎ๐๐ฎ๐ต ๐ฃ๐ฒ๐ฟ๐๐ฒ๐ธ๐๐๐๐ฎ๐ป, ๐๐ฎ๐ท๐ถ ๐ ๐ผ๐ต๐ฎ๐บ๐ฎ๐ฑ ๐ ๐ฎ๐๐ต๐๐ฟ๐๐ฑ๐ถ ๐ฅ๐ฒ๐ท๐ฎ๐ฏ dalam ucapan aluannya mengingatkan ahli tentang kepentingan melaksanakan amanah dakwah secara istiqamah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ali โImran yang menyeru umat Islam supaya mengajak kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara makruf dan mencegah kemungkaran.
Beliau berkata perjalanan PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan sepanjang empat dekad penubuhannya sarat dengan pengalaman, cabaran dan pengorbanan dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah kepada masyarakat pelbagai latar belakang.
โTahniah kepada generasi terdahulu dan syabas kepada generasi hari ini serta generasi akan datang yang akan terus memulakan langkah dan meneruskan perjuangan dakwah ini. Semoga Allah SWT mempermudahkan perjalanan kita dan memberkati setiap usaha yang dilakukan,โ katanya.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu pelbagai program berjaya dilaksanakan hasil kerjasama antara pimpinan bahagian dan cawangan-cawangan PERKIM di seluruh Wilayah Persekutuan.
Antara program utama yang dianjurkan termasuk program Back To School bagi membantu anak-anak asnaf, sumbangan Ramadan, forum dakwah khas al-Quran, konvensyen dakwah, bengkel memperkasakan wanita, program pengurusan jenazah, program berkaitan isu murtad serta bantuan kepada saudara baharu untuk menunaikan umrah.
Selain itu, program pembangunan belia melalui retreat pembinaan dan hala tuju belia PERKIM turut dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dakwah dalam kalangan generasi muda.
Beliau turut memaklumkan bahawa PERKIM Wilayah Persekutuan diberi tanggungjawab melaksanakan program besar bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan melibatkan golongan asnaf daripada pelbagai latar belakang di sekitar ibu negara.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua petugas cawangan dan kakitangan PERKIM yang bertungkus-lumus memastikan setiap program berjalan lancar serta memenuhi objektif dakwah dan kebajikan yang digariskan organisasi.
Menyentuh aspek pengurusan organisasi, beliau menyeru semua cawangan supaya lebih peka terhadap dokumentasi dan pengurusan pentadbiran termasuk pengemaskinian data ahli, penyediaan laporan tahunan serta pengurusan kewangan yang lebih sistematik dan telus.
Menurutnya, disiplin dalam pengurusan organisasi perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan sebarang kelemahan yang boleh menjejaskan reputasi pertubuhan pada masa hadapan.
Beliau turut menggesa setiap cawangan memastikan ahli yang hadir ke mesyuarat adalah ahli berdaftar dan sah di bawah PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan selain menekankan kepentingan audit kewangan khususnya bagi cawangan yang mempunyai pengurusan dana lebih besar.
โKadang-kadang kita menganggap perkara kecil seperti dokumentasi dan penyimpanan resit tidak penting, tetapi kelemahan dalam aspek ini boleh membawa implikasi besar kepada organisasi,โ katanya.
Namun, tumpuan utama mesyuarat tertumpu kepada ucaptama Datuk Mohd Nakhaie yang menyampaikan amanat penuh mendalam berkaitan cabaran umat Islam masa kini serta keperluan membina sistem dakwah yang lebih tersusun dan berkesan.
Dalam ucapan yang mendapat perhatian penuh para hadirin itu, beliau menegaskan bahawa kelemahan terbesar umat Islam pada hari ini bukan disebabkan kekurangan sumber, kepakaran atau kekayaan, sebaliknya berpunca daripada kegagalan menyatukan kekuatan yang dimiliki menjadi satu sistem yang tersusun dan bersepadu.
Beliau menggunakan istilah โkekuatan tarkibiโ yang dipetik daripada pemikiran tokoh Islam terkenal Malik Bennabi bagi menggambarkan pentingnya kekuatan penyatuan dalam kalangan umat Islam.
Menurut beliau, dunia Islam mempunyai ramai ilmuwan, pakar dan negara kaya, namun kekuatan tersebut tidak mampu digabungkan menjadi satu kuasa besar kerana kelemahan dari sudut penyusunan sistem dan kesatuan.
โKita mempunyai ramai orang baik, ramai pakar dan kekayaan yang besar, tetapi semua itu tidak bercantum menjadi satu kekuatan yang tersusun. Seolah-olah kita mempunyai tangan, kaki dan kepala tetapi tidak bercantum menjadi insan yang sempurna,โ katanya.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan umat Islam terus berada di belakang walaupun pelbagai institusi diwujudkan dan pelbagai bantuan disalurkan bagi memajukan masyarakat Islam khususnya di Malaysia.
Datuk Mohd Nakhaie turut membuat perbandingan dengan masyarakat lain yang menurutnya mempunyai sistem pengurusan ekonomi dan sosial lebih tersusun sehingga mampu bergerak secara kolektif demi kepentingan komuniti mereka.
Beliau menegaskan bahawa umat Islam perlu membina sistem pengurusan yang lebih kukuh dan teratur supaya segala sumber, kepakaran dan semangat kebajikan dapat digembleng secara optimum tanpa pembaziran.
Menurut beliau, semangat menderma dalam kalangan masyarakat Islam sememangnya tinggi, namun tanpa sistem pengurusan yang baik, usaha tersebut tidak akan memberikan impak besar kepada pembangunan umat.
โDalam dakwah, kita tidak boleh sekadar berbangga dengan jumlah orang yang bersyahadah tetapi gagal membina mereka menjadi Muslim yang benar-benar memahami Islam,โ katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa amanah dana yang disumbangkan masyarakat perlu diurus secara telus dan dimanfaatkan bagi tujuan sebenar dakwah termasuk pendidikan, bimbingan serta pembangunan saudara baharu.
Katanya, usaha dakwah tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti bersifat luaran semata-mata tetapi perlu memberi perhatian kepada pembinaan insan dan pengukuhan kefahaman Islam secara berterusan.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa PERKIM Wilayah Persekutuan memilih pendekatan sederhana dan strategik dalam melaksanakan program berdasarkan kemampuan sumber manusia dan pengurusan yang ada.
Beliau memaklumkan bahawa organisasi tersebut hanya mempunyai beberapa pegawai harian yang mengurus pelbagai tanggungjawab besar berkaitan dakwah, kebajikan dan pengurusan organisasi.
โKita tidak mahu melakukan terlalu banyak perkara di luar kemampuan sehingga amanah yang diberikan gagal dilaksanakan dengan baik,โ katanya.
Ucapan beliau turut menyentuh kepentingan sistem dalam kehidupan sebagaimana yang ditunjukkan Allah SWT melalui penciptaan alam yang teratur dan tersusun.
Menurut beliau, setiap kejayaan memerlukan perancangan dan sistem yang jelas supaya objektif yang ingin dicapai dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
Beliau juga mengingatkan ahli-ahli PERKIM supaya membezakan antara pendekatan dakwah dan pendekatan politik.
Katanya, gerakan dakwah perlu berteraskan kasih sayang, perpaduan dan usaha mengajak manusia kepada kebaikan tanpa dipengaruhi budaya permusuhan atau persaingan politik.
โDalam dakwah kita cerita perkara baik, mengajak kepada makruf dan mencegah mungkar. Kita bukan mencari jawatan atau kuasa,โ katanya.
Menurut beliau, PERKIM menghimpunkan ahli daripada pelbagai latar belakang dan fahaman politik, namun semua pihak perlu terus bekerjasama atas dasar ukhuwah Islamiah dan matlamat dakwah.
Beliau turut menyeru ahli-ahli PERKIM supaya memperkukuh kerjasama antara cawangan termasuk dalam aspek penganjuran program, bantuan kewangan dan penyertaan aktiviti secara bersama bagi mewujudkan komuniti dakwah yang lebih kuat dan bersatu.
Sementara itu, tayangan video aktiviti PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan dan cawangan sepanjang tahun 2025 turut dipertontonkan kepada para perwakilan bagi memberi gambaran menyeluruh tentang pelbagai program dakwah, kebajikan dan pembangunan komuniti yang telah dilaksanakan.
Mesyuarat kemudiannya diteruskan dengan pembentangan agenda rasmi termasuk pengesahan minit mesyuarat terdahulu, penerimaan laporan tahunan, pembentangan akaun berakhir 31 Disember 2025, pelantikan juruaudit bertauliah bagi tahun 2026 serta pelantikan wakil ke Mesyuarat Agung Kebangsaan.
Turut dibincangkan ialah anggaran pendapatan dan perbelanjaan bagi tahun 2027 serta beberapa perkara lain yang dikemukakan secara rasmi oleh para perwakilan.
Sesi ucapan penangguhan turut menyaksikan wakil daripada setiap cawangan termasuk Wanita Kuala Lumpur Utara, Ikhtisamiah Taman Melati, Taman Desa Setapak, Taman Cheras Utama, Pergerakan Belia, Sungai Besi, Bandar Tun Razak, Kepong Barat, ASDAF, Batu Muda, Datuk Keramat, Wanita An-Nidaaโ Putrajaya, Putra dan Jalan Rahmat berkongsi pandangan, cadangan serta perkembangan aktiviti masing-masing.
Dalam ucapan penggulungannya, Datuk Mohd Nakhaie sekali lagi menekankan kepentingan memperbaiki sistem kerja organisasi supaya setiap program dakwah dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berkesan dan memberi impak menyeluruh kepada masyarakat sasaran.
Beliau turut menjelaskan kedudukan wanita dalam struktur organisasi PERKIM serta kepentingan memahami peranan setiap cawangan mengikut perlembagaan pertubuhan.
Selain itu, beliau menggalakkan semua program dan aktiviti diwar-warkan kepada ahli supaya lebih ramai dapat terlibat dan merasai semangat kebersamaan dalam gerakan dakwah.
Menurut beliau, penglibatan aktif ahli dalam program bukan sahaja mengukuhkan hubungan silaturahim malah membantu membina sebuah komuniti Islam yang lebih mantap dan bersatu.
Beliau juga menyentuh kepentingan melahirkan pelapis kepimpinan baharu bagi meneruskan kesinambungan perjuangan PERKIM pada masa hadapan.
Dalam nada penuh rendah diri, beliau memberi bayangan kemungkinan untuk berundur daripada jawatan pengerusi pada masa akan datang bagi memberi ruang kepada generasi baharu memimpin organisasi itu.
Katanya, proses pembentukan generasi pelapis perlu diberi perhatian serius kerana perjuangan dakwah mesti diteruskan walaupun kepimpinan silih berganti.
Beliau turut berkongsi perancangannya dalam usaha membangunkan pusat pengajian Islam yang memberi penekanan kepada penguasaan bahasa Arab dan pendidikan Islam secara lebih menyeluruh khususnya kepada pelajar tahfiz.
Menurut beliau, kelemahan penguasaan bahasa Arab menjadi antara cabaran utama dalam kalangan pelajar pengajian Islam sehingga menjejaskan kefahaman ilmu secara mendalam.
Sehubungan itu, beliau berharap usaha membina sistem pendidikan yang lebih berkesan dapat melahirkan generasi ilmuwan Islam yang benar-benar memahami ilmu dan mampu memimpin masyarakat.
Mengakhiri ucapan, beliau memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang memimpin PERKIM Wilayah Persekutuan dan berharap organisasi tersebut akan terus maju di bawah kepimpinan yang lebih progresif pada masa hadapan.
โSaya berharap PERKIM terus maju atas dasar dakwah, ukhuwah dan perjuangan Islam, bukan atas kepentingan politik,โ katanya.
Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan kali ke-49 itu berakhir dengan sesi bergambar secara berami-ramai sebelum para hadirin menikmati jamuan makan tengah hari dan bersurai.