28/09/2026
Pengakap Malaysia cungkil bakat ahli melalui Pertandingan Deklamasi Sajak
KUALA LUMPUR - Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) melalui Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Strategik (COMSTAR) telah menganjurkan Kemuncak Pertandingan Menulis dan Deklamasi Sajak PPM 2026 yang berlangsung di Dewan Templer, Rumah B-P, Jalan Hang J***t, semalam.
Majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Pengakap Negara, YBhg. Datuk Seri Azman Ujang.
Penganjuran pertandingan itu membuktikan bahawa Pergerakan Pengakap bukan sahaja fokus kepada pembentukan jati diri, disiplin dan kepimpinan di lapangan kemasyarakatan, malah turut menghayati serta memelihara warisan seni, bahasa dan kebudayaan bangsa.
"Pergerakan Pengakap bukan sahaja sebuah pergerakan yang membentuk jati diri, disiplin dan sifat kepimpinan di lapangan kemasyarakatan, malah terus membuktikan bahawa Pengakap juga menghayati warisan seni, bahasa, dan kebudayaan bangsa melalui penganjuran pertandingan seumpama ini," kata Azman dalam ucapan perasmiannya.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan pentingnya peranan sastera dan bahasa dalam membentuk perwatakan generasi muda.
"Sajak bukan sekadar bait-bait kata yang indah ditutur atau dinukilkan, tetapi ia merupakan luahan rasa, pancaran pemikiran yang tajam serta cermin kepada watak dan jiwa sesebuah bangsa.
"Melalui puitisnya bait kata, kita dapat menyemai nilai-nilai kasih sayang, cinta akan tanah air serta semangat persaudaraan yang kukuh—nilai yang selari dengan Prinsip Pertubuhan Pengakap," tambah beliau.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pesuruhjaya COMSTAR PPM, Encik Mohamad Letfee bin Ahmad, barisan panel juri yang diketuai oleh Kepten (B) Prof. Emeritus Dato' Dr. Hashim bin Yaacob TLDM, para guru, ibu bapa serta 15 orang finalis yang meraikan pertandingan berkenaan.
Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kedah, Encik Ahmad bin Din. - COMSTAR