08/08/2026
Dr. Ibrahim Al-Hudhud kepada Pelajar Antarabangsa: Memahami Nas-Nas Syarak Tidak Boleh Bersandarkan Lafaz Semata-mata, Bahasa Arab ialah Kunci Menangani Fahaman Ekstremis
Memahami nas syarak menuntut penguasaan bahasa Arab, penelitian terhadap konteks serta bimbingan para ulama muktabar, bukan sekadar berpegang kepada makna zahir sesuatu lafaz.
Dalam usaha memperkukuh manhaj wasatiyyah Al-Azhar dalam kalangan pelajar antarabangsa serta meningkatkan kefahaman mereka terhadap isu-isu fiqh dan pemikiran Islam semasa, Pertubuhan Antarabangsa Alumni Al-Azhar telah menganjurkan sebuah bengkel ilmiah bertajuk "Menyelesaikan Kekeliruan dalam Memahami Nas-Nas Syarak", yang disampaikan oleh Prof. Dr. Ibrahim Al-Hudhud, Penasihat Ilmiah pertubuhan tersebut serta bekas Presiden Universiti Al-Azhar.
Bengkel ini disertai oleh 50 orang pelajar antarabangsa dari Nigeria, Yaman, Afghanistan, Bangladesh, Cameroon, Burkina Faso, Togo, Filipina, Algeria, Mali dan Guinea. Program ini merupakan sebahagian daripada siri bengkel ilmiah yang dianjurkan bagi melahirkan para pelajar antarabangsa sebagai duta manhaj wasatiyyah Al-Azhar di negara masing-masing.
Prof. Dr. Ibrahim Al-Hudhud menegaskan bahawa sebahagian besar penyelewengan pemikiran berpunca daripada kesalahan dalam memahami nas-nas syarak, iaitu apabila seseorang hanya berpegang kepada makna zahir lafaz tanpa memahami makna sebenar menurut bahasa Arab serta tanpa merujuk kepada tafsiran yang sahih sebagaimana difahami oleh para sahabat, tabi'in dan para imam umat Islam.
Beliau menjelaskan bahawa sebahagian kelompok telah terjerumus ke dalam fahaman tajsīm (menyerupakan Allah dengan makhluk) dengan berpegang kepada makna zahir hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa neraka akan terus berkata: "Adakah lagi tambahan?" sehingga Allah meletakkan "qadam" (kaki)-Nya ke dalamnya. Beliau menegaskan bahawa para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, khususnya daripada mazhab Asya'irah dan Maturidiyyah, sepakat menetapkan bahawa Allah SWT Maha Suci daripada menyerupai makhluk-Nya. Oleh itu, nas-nas seperti ini hendaklah difahami berdasarkan kaedah bahasa Arab serta maqasid syariah, bukan hanya berdasarkan makna literal sesuatu perkataan.
Beliau turut menerangkan bahawa satu perkataan dalam bahasa Arab boleh membawa pelbagai makna. Sebagai contoh, lafaz "qadam" bukan semata-mata bermaksud anggota badan, bahkan boleh membawa maksud sesuatu yang didahulukan atau kump**an yang terdahulu. Begitu juga, maksud neraka menjadi penuh dalam hadis tersebut ialah dengan masuknya penghuni neraka ke dalamnya, bukannya sebagai dalil untuk menetapkan anggota tubuh bagi Allah SWT. Penafsiran ini bertepatan dengan huraian para imam hadis dan tafsir, serta selaras dengan prinsip penyucian Allah SWT sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran.
Beliau seterusnya mengemukakan firman Allah SWT:
"Orang-orang Yahudi berkata: 'Tangan Allah terbelenggu.' Sebenarnya tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka dilaknat kerana apa yang mereka katakan. Bahkan kedua-dua tangan-Nya terbuka luas; Dia menafkahkan sebagaimana yang Dia kehendaki." (Surah al-Mā'idah: 64).
Beliau menjelaskan bahawa ungkapan orang Yahudi "Tangan Allah terbelenggu" bukan bertujuan menetapkan bahawa Allah mempunyai tangan dalam pengertian fizikal, sebaliknya merupakan ungkapan yang membawa maksud menuduh Allah bersifat bakhil. Hal ini membuktikan bahawa sesuatu nas perlu difahami melalui makna keseluruhan ayat dan konteksnya, bukan dengan menafsirkan setiap perkataan secara berasingan.
Beliau turut menegaskan bahawa para sahabat Rasulullah SAW tidak pernah dibelenggu oleh kekeliruan seperti ini kerana akidah mereka diasaskan atas prinsip tanzīh, iaitu menyucikan Allah SWT daripada segala sifat yang menyerupai makhluk. Oleh sebab itu mereka tidak pernah mempertikaikan nas-nas sedemikian, bahkan menerimanya dengan kefahaman yang sesuai dengan keagungan Allah SWT.
Prof. Dr. Ibrahim Al-Hudhud turut menjelaskan bahawa kejahilan terhadap kaedah bahasa Arab boleh menyebabkan salah faham terhadap sebahagian hadis Nabi SAW. Sebagai contoh, sabda Rasulullah SAW:
"Tidak boleh melakukan perjalanan secara khusus melainkan ke tiga buah masjid: Masjid al-Haram, masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjid al-Aqsa."
Beliau menerangkan bahawa maksud hadis ini ialah melakukan perjalanan bagi memperoleh kelebihan khusus yang terdapat pada ketiga-tiga masjid tersebut, bukannya larangan melakukan perjalanan ke masjid-masjid lain untuk menunaikan solat, menuntut ilmu atau tujuan-tujuan kebajikan yang lain.
Beliau juga membincangkan isu tawassul, dengan menjelaskan bahawa tawassul yang disyariatkan merangkumi bertawassul kepada Allah melalui nama-nama-Nya yang indah (al-Asmā' al-Ḥusnā), sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna, amal-amal soleh serta doa daripada orang-orang soleh yang masih hidup. Adapun tawassul melalui orang-orang soleh yang telah meninggal dunia merupakan perkara yang diperselisihkan oleh para ulama, dan perbezaan pandangan tersebut sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk mengkafirkan sesama Muslim atau menuduh mereka melakukan syirik. Beliau menegaskan bahawa menyamakan amalan tersebut dengan penyembahan berhala oleh golongan musyrikin merupakan suatu qiyas yang batil, kerana asas dan sebab kedua-duanya sama sekali berbeza.
Mengakhiri syarahannya, Prof. Dr. Ibrahim Al-Hudhud menegaskan bahawa kefahaman yang sahih terhadap al-Quran dan al-Sunnah hanya dapat dicapai melalui penguasaan ilmu bahasa Arab, berpegang kepada manhaj para ulama yang berautoriti, serta mengikuti kefahaman para sahabat dan tabi'in. Beliau turut mengingatkan bahawa membaca nas syarak secara terpisah daripada konteksnya akan melahirkan fahaman yang keras dan menyimpang, mencemarkan imej Islam serta memecahbelahkan umat. Sebaliknya, manhaj Al-Azhar sentiasa berpaksikan kefahaman yang sahih terhadap nas-nas syarak serta pemerkasaan nilai kesederhanaan (wasatiyyah), keseimbangan dan perpaduan umat Islam.
#الوسطية