05/03/2026
Persidangan Saintifik Tahunan IMAM ke-26
dengan tema “Fatwa Perubatan: Menangani Cabaran Global, Memenuhi Keperluan Tempatan” menghimpunkan pakar perubatan, ilmuwan Islam dan penggubal fatwa bagi membincangkan isu-isu perubatan kontemporari melalui lensa fiqh, maqasid syariah dan etika perubatan. Persidangan ini menekankan keperluan pendekatan yang seimbang antara kemajuan sains perubatan dan prinsip syariah, khususnya dalam membuat keputusan klinikal dan pengeluaran fatwa yang berteraskan maslahah, realiti
semasa dan kebijaksanaan.
Program ini merangkumi sesi plenari, simposium tematik dan syarahan peringatan yang membincangkan pelbagai isu kritikal termasuk perubatan reproduktif, kesihatan awam, penyusuan dan imunisasi, rawatan semasa Ramadan, estetik dan anti-penuaan, serta
pengurusan akhir hayat dan kematian. Perbincangan interdisiplin ini menampilkan pandangan praktikal daripada pengamal perubatan serta analisis fiqh oleh cendekiawan agama, bagi memastikan kefahaman hukum dan etika dapat diaplikasikan secara realistik dalam amalan kesihatan masa kini.
Tuntasnya, persidangan ini diharapkan berfungsi sebagai platform strategik untuk memperkukuh
kolaborasi antara profesion perubatan dan institusi fatwa, serta membina kefahaman bersama
dalam menangani cabaran perubatan moden.
Persidangan ini diharapkan dapat
menyumbang kepada pembangunan fiqh dan perubatan yang dinamik, berdaya respons dan
berorientasikan rahmah, seterusnya meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan berlandaskan
nilai Islam demi kesejahteraan ummah.
https://asc.imamalaysia.org/