10/09/2026
BOLEHKAH KAMI GUNA DUIT INI?
Ingatkah lagi yang kami pernah melancarkan Tabung Iftar dan Sahur buat Madrasah Darul Quran, Ratanakiri Kemboja dan mendapat sokongan yang baik dari semua sehingga berjaya mengumpulkan RM13,050?
Baru-baru ini, kami menerima panggilan dari Ustaz Anwar yang merupakan pengurus dan tenaga pengajar di sana. Beliau memaklumkan yang sumbangan iftar dan sahur tempoh hari berbaki RM9,000.00. Terkedu kami mendengar jumlah baki tersebut dan dalam masa yang sama amat bersyukur dengan kejujuran mereka. Manakan tidak? Duit sudah di tangan dan mereka boleh belanjakan semahunya, labih-lebih lagi kita tidak meminta sebarang perincian perbelanjaan. Sudah tentulah, Perkongsian terbaharu ini mengukuhkan lagi kepercayaan kami terhadap mereka dan jelas terbukti integriti yang mereka miliki adalah tinggi. Alhamdulilah..
Ustaz Anwar bertanya, bolehkah mereka gunakan sumbangan ini untuk beberapa perkara. Pertama, untuk penyediaan makanan, pakaian dan keperluan pembelajaran pelajar asnaf yang telah mencecah 60 orang. Kedua, untuk membeli anak-anak pokok gajus. Menurut Ustaz Anwar, pengurusan madrasah bercadang untuk mengusahakan penanaman pokok gajus di sebahagian tanah sawah milik mereka yang seluas 5 hektar.
Lalu kami bertanya, "Cukupkah nanti bekalan beras untuk madrasah?". "Insya-Allah cukup. Kalau tak mencukupi, kami akan beli padi yang masih bertangkai. Kami akan proses sendiri dengan mesin padi milik madrasah. Mungkin dalam tempoh 3 tahun sementara menunggu pokok gajus keluarkan hasil, agak susah sikit tapi tak mengapa sebab dah biasa susah." Jawab Ustaz Anwar sambil ketawa kecil.
" Berapa banyak hasilnya?". Soalan itu terus diajukan. Ustaz Anwar menjawab, " Dalam 3 tahun, 3 hektar tanaman gajus untung bersih boleh dapat lebih kurang RM10,000.00 setahun. Dalam 5 tahun, untung bersihnya lebih kurang RM21,000.00. Insya-Allah.. jika begini hasilnya, kami boleh tampung keperluan asas para pelajar dan sedikit bil utiliti. Jika ada rezeki, ladang ini boleh diperbesarkan lagi di masa akan datang untuk menampung lain-lain perbelanjaan. Insya-Allah."
Melihat semangat dan keyakinan mereka, ditambah dengan ketelusan dan ketulusan hati yang mereka miliki. Mana mungkin hasrat untuk menjayakan perubahan ini ditolak. Lantas kami bersetuju bagi pihak para penyumbang (maaf kerana tidak meminta keizinan terlebih dahulu).
Baki sumbangan yang dimaklumi adalah RM9,000.00. Dalam perbincangan selanjutnya, RM3,000.00 digunakan untuk keperluan para pelajar dan RM4,000.00 adalah untuk penanaman pokok gajus di tanah seluas 3 hektar. Selebihnya, RM2,000.00 telah dicadangkan untuk menampung kos penternakan ayam kampung yang tabungnya telah dilancarkan pada 6 April 2026 sehingga 15 Mei 2026.
Untuk makluman, projek ini terpaksa ditunda kerana kutipannya adalah sebanyak RM4,093.00, sedangkan jumlah sasaran sebenar adalah RM53,130.00. Sedikit masa lagi, tabung ini akan dilancarkan kembali. Semoga perancangan bagi menjana pendapatan jangka masa pendek buat madrasah ini masih mendapat sokongan semua. Insya-Allah.