MISI: Memperkuat bangsa dan bahasa Mandailing serta masyarakatnya. MATLAMAT PENUBUHAN/PEMBENTUKAN IMAMI MALAYSIA DAN IMAMI INDONESIA:
1. IMAMI Malaysia dan IMAMI Indonesia akan berusaha ke arah menjalinkan dan mempereratkan hubungan silaturahim antara masyarakat suku kaum Mandailing yang keturunannya atau dirinya lahir dan menjadi warganegara Malaysia, dengan masyarakat suku kaum Mandailing di tan
ah leluhur atau tanah asal nenek moyang di Indonesia.
2. IMAMI Malaysia dan IMAMI Indonesia akan bekerjasama dan bergandingan dalam pelbagai aspek selagi mana kerjasama yang dijalinkan itu semata-mata bertujuan memenuhi matlamat pertubuhan/perkumpulan ini dan tidak melanggar/menyalahi perlembagaan/undang-undang dasar Pertubuhan/Perkumpulan ini serta tidak melanggar mana-mana peraturan atau mana-mana undang-undang sama ada di Malaysia atau Indonesia dan tidak menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara. Secara tidak langsung, jalinan kerjasama IMAMI Malaysia dan IMAMI Indonesia hendaklah juga menjurus/memfokus kepada usaha membantu memperkuatkan hubungan kedua-dua negara dalam konteks pengukuhan persaudaraan dan kekitaan di kedua-dua pihak. IMAMI Malaysia dan IMAMI Indonesia juga mestilah tampil ke hadapan, iaitu kepada pihak kerajaan atau pemerintah untuk menjadi medium atau perantara bagi pihak masyarakat Mandailing di kedua-dua negara bagi membantu menyelesaikan segala isu berbangkit (jika ada) yang melibatkan kaum Mandailing di kedua-dua negara.
3. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat suku kaum Mandailing di Malaysia dan Indonesia iaitu di luar Sumatera, mengenai betapa pentingnya mengenali susur galur, atau akar umbi keturunan serta mengetahui sejarah penghijrahan keluarga dari Indonesia ke Tanah Melayu atau Malaysia pada zaman pra- kemerdekaan dan pasca-kemerdekaan Malaysia dan Indonesia, supaya ia dapat meningkatkan ukhuwah dan rasa persaudaraan sesama masyarakat Mandailing di kedua-dua negara.
4. Meningkatkan kesedaran masyarakat suku kaum Mandailing di Malaysia dan Indonesia mengenai keperluan mempertahan, melestarikan dan mengembang-luaskan bahasa Mandailing, kebudayaan Mandailing dan kesenian Mandailing di samping ciri-ciri khusus suku kaum Mandailing termasuk masakan, makanan, pakaian, seni bina dan seumpamanya. Dalam konteks ini, memandangkan terdapat kekurangan bahan-bahan rujukan di Malaysia berkaitan hal ini, maka IMAMI Malaysia dan IMAMI Indonesia akan bekerjasama untuk menyenaraikan keseluruhan kebudayaan, kesenian dan ciri-ciri khas atau keistimewaan yang sinonim dengan masyarakat suku kaum Mandailing, supaya ia dapat disebarluaskan kepada masyarakat suku kaum Mandailing di Malaysia, sekali gus meningkatkan jati diri mereka sebagai berketurunan suku Mandailing.
5. Selain bekerjasama atas dasar sesama suku Mandailing, kerjasama dan hubungan sesama masyarakat suku kaum Mandailing di Malaysia dan Indonesia juga hendaklah disandarkan kepada agama ISLAM, iaitu pemantapan kerjasama mengadakan program ke-Islaman dan yang berkaitan.
6. Pertubuhan ini juga akan mengadakan program-program lain yang berkaitan seperti pelatihan, pendidikan, bengkel, forum, persembahan, pertunjukan, kerjasama dengan pihak lain termasuk kerajaan atau pemerintah di Malaysia dan Indonesia dan lain-lain inisiatif atau usaha yang difikirkan wajar, munasabah dan perlu untuk membantu mencapai matlamat-matlamat yang dinyatakan di atas.