29/08/2026
MAJLIS MAULID AKBAR PERMATANG PAUH: MENYEMAI CINTA KEPADA RASULULLAH SAW, MEMPERKUKUH AKHLAK DAN UKHUWAH
28 Ogos 2026, Permatang Pauh - Suasana penuh syahdu dan meriah menyelubungi Majlis Maulid Akbar Permatang Pauh apabila masyarakat setempat dan ahli kariah berhimpun dalam satu majlis yang dipenuhi alunan selawat, nasyid serta tausiah sebagai tanda kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah itu turut menampilkan tausiah khas daripada para alim ulama, iaitu Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman, Pengasas Pondok Sungai Jagung, Pendang, Kedah, Tuan Guru Syeikh Abdul Rahim Pendang serta Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan dan Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Tuan Guru Syeikh Haji Wazir Che Awang Al-Makki.
Tausiah yang disampaikan mengajak para hadirin untuk terus menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan mencontohi akhlak mulia baginda dalam kehidupan seharian. Pesanan turut diberikan agar umat Islam membina hubungan yang penuh kasih sayang, mengelakkan perbuatan memaki hamun dan mencerca, serta sentiasa mengasihi saudara seagama sebagaimana mereka mengasihi diri sendiri.
Dalam membina sebuah negara yang maju, kemajuan tidak seharusnya hanya diukur melalui kekuatan ekonomi dan pembangunan fizikal. Sebaliknya, ia perlu disertai dengan kekuatan akidah, kesuburan ilmu dan kemuliaan akhlak masyarakat.
Perkara ini selari dengan amanat Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim:
“Dalam membina Malaysia MADANI, kita mahu negara terus maju dan berdaya saing, namun pada masa yang sama tidak kehilangan akar nilai yang menjadi tunjang kehidupan kita.”
Majlis Maulid Akbar ini menjadi ruang untuk menghidupkan kembali nilai-nilai tersebut melalui penghayatan sirah, kecintaan kepada Rasulullah SAW dan pengamalan akhlak baginda dalam kehidupan bermasyarakat.
Selawat yang dialunkan pada malam ini diharapkan tidak sekadar menjadi gema di bibir, tetapi diterjemahkan melalui tindakan dengan menyantuni mereka yang memerlukan, merapatkan hubungan yang renggang, memuliakan ilmu, memperkukuh ukhuwah dan berdiri bersama nilai keadilan.
Bagi Yayasan Taqwa MAIWP, penganjuran program seperti ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyokong pembinaan masyarakat yang bukan sahaja sejahtera dari sudut kebajikan dan kehidupan, malah kukuh dari aspek ilmu, akhlak, spiritual dan nilai kemasyarakatan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), YBhg. Datuk Is. Mohd Nizam bin Haji Yahya, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Dr. Haji Mohd Ajib bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, YBrs. Dr. Mohd Faridh Hafez bin Mhd Omar serta Ketua-ketua Agensi di JPM.
Diharapkan Majlis Maulid Akbar Permatang Pauh ini terus menjadi wadah yang menyatukan masyarakat, menyemai kecintaan kepada Rasulullah SAW serta melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan saling menghormati.
Semoga kecintaan kepada Rasulullah SAW yang dizahirkan melalui selawat dan majlis ilmu pada malam ini terus hidup dalam hati dan diterjemahkan dalam setiap langkah kehidupan.