07/11/2023
KETUA WANITA PERKIM BERKENAN TERIMA KUNJUNGAN PERKIM CAWANGAN SRI AMAN
oleh: SRZ
Ketua Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YTM Tunku Puan Sri Dato’ Seri Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah berkenan dan mengalu-alukan ketika menerima kehadiran lawatan Jejak Ilmu 10 ahli PERKIM Cawangan Sri Aman bertempat di Bilik Mesyuarat Tingkat 4, Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah pada pagi Selasa.
Tunku Noor Hayati dalam ucapannya berkata, beliau berterima kasih dan bersyukur kerana dapat dipertemukan dalam majlis yang dirahmati Allah SWT di mana sebelum itu pertemuan secara atas talian berikutan cawangan tersebut berada di Sarawak.
Jelasnya, semoga Allah SWT merapatkan lagi jurang di antara Wanita PERKIM Kebangsaan dengan PERKIM Cawangan Sri Aman sekali gus merahmati silaturahim dengan terbinanya ukhuwah Islamiyyah di antara kita.
Menurut Tunku Noor Hayati lagi, pakaian batik rasmi berwarna hijau dan putih yang diperagakan membakar lagi semangat Wanita PERKIM dalam meneruskan usaha dakwah dan kebajikan.
Tambahnya, walaupun dakwah tidak sebanyak kita usahakan, tetapi sedikit sebanyak menjadi pembuka kepada generasi yang akan datang untuk memeluk Islam serta memahami agama yang syumul ini.
Tunku Noor Hayati turut menyampaikan salam hormat daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor kerana tidak dapat hadir disebabkan mempunyai tugasan di luar.
Menurutnya lagi, terdapat banyak masalah yang dilihat oleh pendakwah-pendakwah wanita PERKIM di seluruh negara.
Kini tiba masanya kita mengambil inisiatif untuk merekodkan dan mengambil data secara peribadi mereka yang menghadapi pelbagai masalah yang berlainan disebabkan oleh faktor sosio ekonomi serta budaya setempat.
Ia juga bersesuaian dengan matlamat dalam meramaikan lagi saudara-saudara seIslam, ia seharusnya dimulakan dengan menangani serta mempelajari kehidupan masyarakat mualaf serta memberi pencerahan kepada mereka dalam kes-kes murtad atau kehidupan yang menyalahi akidah Islam.
Data-data yang direkodkan ini akan dimajukan kepada jabatan berkaitan seperti Majlis Agama Negeri-Negeri, Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (JPWKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agama, syariah dan juga jabatan-jabatan yang lain untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Pengerusi PERKIM Cawangan Sri Aman, Puan Hajah Dayang Meriana Haji Awang Yusop dalam ucapannya berterima kasih kerana menerima kunjungan kami seramai 10 orang dari Sri Aman, Sarawak.
Kunjungan yang dinamakan jejak ilmu kerana kami ingin mempelajari kaedah atau usaha PERKIM yang dijalankan di Semenanjung Malaysia di mana lawatan hari pertama kami melawat ke PERKIM Cawangan Klang dengan melihat sendiri perniagaan yang dijalankan di Restoran PERKIM Cawangan Klang serta mereka mengadakan infak makanan percuma dan pengurusan pejabat cawangan di Masjid Jamek Ar-Rahimah Klang.
Selain itu, kunjungan itu dapat mewujudkan hubungan yang lebih akrab di antara PERKIM Cawangan Sri Aman dengan Wanita PERKIM Kebangsaan dan bertukar-tukar pandangan serta idea bagi menggarap usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada mualaf di PERKIM Cawangan Sri Aman khususnya.
Kunjungan dua hala tersebut memberi input-input yang segar bagi merancang serta menjalankan program serta aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada saudara baharu.
Jelas Dayang Meriana lagi, kami akan bekerjasama dengan semua pihak sama ada agensi kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan yang memberikan kekuatan kepada kami dalam menggerakkan aktiviti dan program dakwah selaras dengan agenda kerajaan serta misi atau visi sejajar dengan objektif PERKIM dalam kebajikan, pendidikan serta kerjasama kepada saudara baharu.
Diharap pertemuan tersebut dapat mempergiatkan lagi program dan aktiviti kolaborasi di antara Wanita PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Cawangan Sri Aman.
PERKIM Cawangan Sri Aman turut diberi kesempatan melawat ke dalam kawasan Ibu Pejabat PERKIM di Bilik Pengislaman, Unit Dakwah dan Pembangunan Insan, Unit Pentadbiran, Pejabat Wanita PERKIM Kebangsaan, Perpustakaan Mini PERKIM dan Dataran Dakwah.
Di akhir majlis, Tunku Noor Hayati berkenan menyampaikan cenderahati plak PERKIM dan sebuah buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Dayang Meriana manakala Dayang Meriana turut menyampaikan cenderahati balas iaitu plak PERKIM Sri Aman kepada Tunku Noor Hayati.
Turut hadir ialah pimpinan Wanita PERKIM Kebangsaan iaitu Bendahari Kehormat, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf; Ahli Majlis, YBhg Datin Hajah Mawanchik Che Jais; YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Pegawai Wanita PERKIM Kebangsaan, Fatin Hamizah Ismail; Pegawai Perhubungan Awam Dalam dan Luar Negara PERKIM Kebangsaan, Safiyya Nur Sakeena Sallehuddin; Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan serta Setiausaha Kehormat PERKIM Cawangan Sri Aman, Khadijah Abdullah.