18/08/2026
KENYATAAN SEKRETARIAT HIMPUN | 18 OGOS 2026
JANGAN BERTANGGUH LAGI, PINDA DAN MANSUH AKTA DRAKONIAN
Sekretariat Himpun mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Digital, saudara Gobind Singh Deo yang juga merupakan Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Dalam kenyataan tersebut, saudara Gobind antara lain mendesak agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim (PMX) untuk mempercepatkan pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA2012) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). Sekretariat Himpun menyambut baik gesaan beliau agar PMX tidak lagi berlengah untuk mereformasi Akta-Akta ini.
Minggu lepas, pihak Sekretariat Himpun telah menghantar memorandum kepada Menteri Dalam Negeri di Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya bagi mendesak agar pindaan APA2012 ini segera dilaksanakan dan kerajaan perlu melibatkan anggota masyarakat sivil dalam proses meminda peruntukan-peruntukan yang bermasalah. Selain daripada APA2012, kami juga turut membangkitkan keperluan untuk memansuhkan akta-akta drakonian yang lain seperti Akta Hasutan 1948 dan SOSMA.
Desakan daripada anggota kabinet Kerajaan Madani ini harus diambil dengan serius oleh PMX. Sepatutnya perkara ini tidak perlu diperingatkan berkali-kali oleh masyarakat sivil, malah kini anggota kabinet sendiri telah mengeluarkan kenyataan terbuka untuk mendesak PMX melaksanakan reformasi yang sekian lama ditangguhkan sehingga ke tahun-tahun akhir pentadbiran beliau.
Tidak perlu diingatkan lagi juga bahawa ini adalah sebahagian daripada janji manifesto Pakatan Harapan sendiri untuk memansuhkan akta-akta drakonian ini. Akta-akta ini telah mendekam suara rakyat, termasuk pihak pembangkang sendiri. Rekod menunjukkan ahli-ahli politik daripada pelbagai pihak telah disiasat, didakwa dan dikenakan akta ini seperti Anwar Ibrahim sendiri, Anthony Loke Siew F**k, Hannah Yeoh, Lim Guan Eng, Adam Adli, Fahmi Fadzil, William Leong dan ramai lagi. Ini belum lagi rekod para aktivis masyarakat dan sosial seperti Fadhil Kasim, Amir Hadi, Fahmi Reza, Sevan, Azura Nasron, Maria Chin dan aktivis-aktivis yang lain.
Memansuhkan akta drakonian ini adalah satu kewajiban kepada Kerajaan Perpaduan yang di dalamnya ada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan parti-parti yang lain. Kesemua parti-parti ini perlu dipertanggungjawabkan sekiranya demokrasi kita semakin mundur ke belakang.
Dikeluarkan oleh:
1. Mandiri - Pusat Pembangunan Rakyat
2. Bersih
3. Liga Rakyat Demokratik
4. Liga Mahasiswa Malaysia
5. Gerakan Perempuan Melawan
6. Federasi Pemuda Kebangsaan
7. KLSCAH Civil Rights Committee (KLSCAH-CRC)
8. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
9. Sparc Utem
10. 马大新世代 NewGen UM
11. Ruang Lawan
12. Parti Sosialis Malaysia