PenaWan

Directions Website Contact the organization

PenaWan Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional, berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Persatuan Malaysia

Berminat daftar ahli? https://tinyurl.com/daftarpenawan

PenaWan

MATLAMAT PENUBUHAN

Menjadi platform penulis isu-isu wanita untuk mengenengahkan isu-isu wanita dalam masyarakat. Membela isu-isu wanita melalui penulisan berlandaskan keadilan sosial, kesaksamaan ekonomi dan kesedaran Islam. Membangunkan dan membina takungan penulis-penulis muda. Membina jaringan dengan penulis-penulis pakar. Memberi peluang kepada ahli menjalankan aktiviti sosial dan pelajaran. Menggalakkan persefahaman dan persahabatan antara penulis tanpa mengira kaum dan keturunan. MISI

Memperkasa dan membela isu-isu wanita melalui penulisan dengan membuat jaringan strategik dan membina takungan penulis bagi mempengaruhi pandangan massa dalam membentuk generasi yang harmoni. VISI

Menjadi NGO yang:
Menerajui Isu-Isu Pemerkasaan dan Pembelaan Wanita

[Ucapan]PENAWAN mengucapkan 'Selamat Hari Malaysia' kepada semua. Sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini, 16 Septe...
16/09/2026

[Ucapan]

PENAWAN mengucapkan 'Selamat Hari Malaysia' kepada semua.

Sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini, 16 September 2026, marilah kita rakyat Malaysia yang berbilang bangsa berusaha membina sebuah Malaysia yang bersatu padu, aman, inklusif dan makmur.

Perbezaan kaum, agama, budaya dan latar belakang tidak seharusnya menjadi faktor untuk tidak memajukan negara kita.

[Sudut Karya]HORMATI GURUPagi Sabtu itu, matahari memancarkan cahayanya seperti biasa. Sofea menyisir rambut Aina di rua...
15/09/2026

[Sudut Karya]

HORMATI GURU

Pagi Sabtu itu, matahari memancarkan cahayanya seperti biasa. Sofea menyisir rambut Aina di ruang tamu sebelum menghantarnya ke kelas mengaji. Di atas meja kecil berhampiran pintu, sudah tersedia beg mengaji, botol air dan sebuah buku Iqra’ yang dibalut dengan kemas.

“Semua dah ada?” tanya Sofea.

Aina membuka begnya lalu mengangguk.

“Pensel?”

“Ada.”

“Sapu tangan?”

“Ada.”

“Buku Iqra’?”

Aina mengangkat buku itu sambil tersenyum.

“Ini pun ada.”

Sofea tersenyum puas.

“Bagus.”

Tidak lama kemudian, mereka tiba di rumah Ustazah Maryam yang mengadakan kelas mengaji di ruang tamu rumahnya. Beberapa orang murid sudah pun duduk di atas tikar sambil menunggu kelas bermula.

Aina berlari anak ke arah pintu. Sebaik sahaja melihat Ustazah Maryam keluar dari dapur, dia terus bersuara.

“Ustazah!”

Sofea menyentuh perlahan bahu anaknya. Anak kecil itu menoleh.

“Ya, mak?”

“Apa yang kita buat kalau jumpa ustazah atau cikgu?”

Aina berfikir seketika. Kemudian, dia tersenyum malu.

“Oh ...”

Dia berjalan ke hadapan Ustazah Maryam.

“Assalamualaikum, ustazah.”

“Waalaikumussalam, Aina.”

Aina menghulurkan tangan. Ustazah Maryam menyambut tangan Aina dengan senyuman sebelum anak kecil itu mencium tangan gurunya.

“Alhamdulillah. Rajinnya Aina datang mengaji hari ini.”

Aina hanya tersenyum.

Sofea memerhati dari belakang. Dia tidak memarahi Aina kerana terlupa memberi salam. Anak kecil memang mudah terlupa. Yang penting, dia dibimbing bagi membiasakan adab yang baik.

Sebelum kelas bermula, semua murid duduk membentuk separuh bulatan. Ustazah Maryam membuka kelas dengan bacaan doa. Ketika ustazah menerangkan huruf hijaiyah, seorang rakan Aina berbisik mengajaknya bermain.

“Aina ... tengok ini.”

Rakannya menunjukkan pemadam berbentuk kartun. Aina hampir menyambutnya. Dia teringat kata-kata ibunya.

“Kalau cikgu sedang bercakap, kita dengar dahulu.”

Aina memandang semula ke arah Ustazah Maryam. Dia menggeleng perlahan kepada rakannya.

“Nanti lepas kelas.”

Rakannya mengangguk.

Ustazah Maryam yang melihat keadaan itu hanya tersenyum. Selesai kelas, beliau menghampiri Sofea.

“Hari ini Aina sangat memberi perhatian.”

Sofea tersenyum.

“Alhamdulillah.”

Dalam perjalanan p**ang, Aina memegang tangan Sofea.

“Mak.”

“Ya?”

“Kenapa kita kena hormat guru?”

Sofea memandang anaknya sebelum menjawab dengan lembut.

“Guru mengajar kita membaca, menulis dan mengenal agama. Ilmu yang kita dapat daripada guru akan membantu kita sepanjang hidup.”

“Macam ustazah ajar Aina mengaji?”

“Ya.”

“Macam cikgu ajar Aina membaca?”

“Betul.”

Aina mengangguk perlahan.

“Kalau macam itu ... Aina nak jadi murid yang baik.”

Sofea mengusap kepala anaknya.

“Mak gembira dengar Aina cakap begitu.”

Aina menggenggam erat buku Iqra’ di tangannya. Hari itu dia belajar bahawa menghormati guru bukan sekadar mencium tangan atau memberi salam. Tetapi juga mendengar apabila guru bercakap, menjaga adab di dalam kelas dan menghargai ilmu yang disampaikan.

Adab Hari Ini
Apabila bertemu guru, mulakan dengan memberi salam dan bercakap dengan sopan. Ketika guru sedang mengajar, dengarlah dengan penuh perhatian kerana menghormati guru adalah salah satu adab yang membawa keberkatan ilmu.

Asmah Hashim

[Hebahan]Dapatkan buku 25 Tokoh Wanita Muslim Yang Menginspirasi Dunia hari ini. Kenali tokoh-tokoh wanita yang berjaya ...
14/09/2026

[Hebahan]

Dapatkan buku 25 Tokoh Wanita Muslim Yang Menginspirasi Dunia hari ini. Kenali tokoh-tokoh wanita yang berjaya membawa perubahan kepada masyarakat.

[Hebahan]Jangan lepaskan peluang untuk  memiliki buku *25 Tokoh Wanita Muslim yang Menginspirasi Dunia* terbitan PENAWAN...
13/09/2026

[Hebahan]

Jangan lepaskan peluang untuk memiliki buku *25 Tokoh Wanita Muslim yang Menginspirasi Dunia* terbitan PENAWAN dengan harga *RM42* sahaja.

Bahan bacaan yang mampu menjadi inspirasi kepada diri sendiri, keluarga juga masyarakat😇

📱Imbas kod QR untuk tempahan.

[Sudut Karya]JANGAN BERHENTI BERMIMPIPetang itu, Nurul duduk sendirian di beranda. Di halaman, anak sulungnya sedang mem...
09/09/2026

[Sudut Karya]

JANGAN BERHENTI BERMIMPI

Petang itu, Nurul duduk sendirian di beranda. Di halaman, anak sulungnya sedang membantu adiknya membasuh motosikal milik ayah mereka. Gelak tawa kedua-duanya sesekali memecah kesunyian. Di atas meja kecil di sisi, secawan teh sudah lama dingin. Nurul langsung tidak menyentuhnya.

Pandangannya kosong. Entah kali ke berapa dia membuka aplikasi media sosial di telefon bimbit. Seorang rakan lama memuat naik gambar menerima ijazah sarjana. Seorang lagi berkongsi kejayaan membuka cawangan perniagaan baharu. Tidak lama kemudian, muncul p**a gambar seorang sahabat yang baru dilantik sebagai pensyarah kanan.

Nurul menghela nafas perlahan. Jarinya terus menatal skrin. Semakin lama dilihat, semakin berat dadanya terasa.

“Kalaulah aku sambung belajar dulu ...”

Bisikan itu kembali singgah. Usianya sudah mencecah 40 tahun. Setiap hari, kehidupannya hampir sama. Bangun sebelum subuh, menyediakan sarapan, menghantar anak ke sekolah, mengemas rumah, memasak, dan membantu suami mengurus tempahan perniagaan kecil mereka. Kesibukan itu tidak pernah dipersoalkannya.

Sejak kebelakangan ini, satu persoalan sering muncul. Adakah hidupku akan kekal begini?

Dia menutup telefon bimbit. Belum sempat diletakkan di atas meja, bunyi mesej masuk kedengaran. Kump**an WhatsApp rakan sekolah kembali aktif.

Tahniah, Doktor Farah!

Bangga tengok kejayaan awak.

Rezeki Allah memang luas.

Nurul hanya membaca. Dia tidak membalas walau sepatah perkataan. Perlahan-lahan telefon itu diletakkan semula. Matanya beralih ke arah halaman. Anak-anaknya masih ketawa tanpa menyedari hati ibu mereka sedang bergejolak. Air matanya hampir menitis. Dia segera mengesat hujung mata.

“Buat apa menangis ...” bisiknya kepada diri sendiri.

Ketika itu, pintu pagar berbunyi. Hakimi baru p**ang. Sebaik melangkah ke beranda, dia terus menyedari perubahan pada wajah isterinya.

“Awak okey?”

Nurul segera memaksa dirinya tersenyum. “Okey.”

Hakimi duduk di sebelah Nurul. Dia sudah mengenali isterinya hampir dua puluh tahun. Senyuman itu tidak mampu menipu.

“Awak fikir apa?”

Nurul terdiam agak lama. Kemudian, dia bersuara perlahan.

“Saya rasa ... saya tak ada apa-apa yang boleh dibanggakan.”

Hakimi memandang isterinya tanpa menyampuk.

“Saya tengok kawan-kawan semua dah berjaya.”

Hakimi tidak terus menjawab. Dia membiarkan isterinya meluahkan segala yang terbuku.

“Saya tengok adik abang, walaupun dah ada anak tiga, masih sambung belajar. Kak Tipah naik pangkat. Semua orang macam sedang bergerak ke depan.”

Nurul menunduk perlahan.
“Saya p**a ...”

Ayat itu terhenti. Hakimi menarik nafas panjang.

“Nurul.”

“Ya.”

“Pada awak ... berjaya itu apa?”

Nurul terdiam. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Hakimi menunjuk perlahan ke arah halaman rumah.

“Nampak tak dua orang budak yang sedang bermain itu?”

Nurul mengangguk.

“Mereka membesar dengan penuh kasih sayang.”

Kemudian, Hakimi menunjuk ke arah rumah mereka.

“Rumah ini sentiasa terurus.”

Dia memandang tepat ke mata isterinya.

“Abang dapat keluar mencari rezeki setiap hari dengan hati yang tenang sebab abang tahu ada seorang isteri yang menjaga keluarga kita.”

Nurul menggigit bibir. Air mata akhirnya gugur.

Hakimi menggenggam lembut tangan isterinya. “Tapi ...”

Nurul memandang wajah Hakimi.

“… kalau dalam hati awak masih ada impian yang belum tercapai ...” Hakimi tersenyum. “Abang tak pernah menghalang.”

“Masih sempat ke?”

“Kenapa tak sempat?”

“Dah empat puluh tahun.”

Hakimi ketawa kecil. “Pokok yang terbaik ditanam adalah dua puluh tahun dahulu.”

Nurul mengangguk perlahan. “Pokok kedua terbaik?”

“Hari ini.”

Nurul memandang wajah suaminya. Entah mengapa, beban yang dipikul sejak sekian lama terasa lebih ringan. Dia sedar akan sesuatu. Bukan usianya yang menghalang impian. Tetapi ketakutannya memulakan langkah pertama.

Petang itu, ketika matahari semakin condong ke barat, Nurul membuat keputusan yang mengubah hidupnya. Dia tidak mahu lagi hidup dengan perkataan “kalau.” Dia mahu menggantikannya dengan perkataan “aku akan cuba.”

Asmah Hashim

[Sudut Karya]RUMAH BERSIH, HATI GEMBIRAPetang itu, ruang tamu menjadi dunia kecil milik Aina. Di atas permaidani, blok p...
02/09/2026

[Sudut Karya]

RUMAH BERSIH, HATI GEMBIRA

Petang itu, ruang tamu menjadi dunia kecil milik Aina. Di atas permaidani, blok permainan, kereta mainan dan patung arnab kesayangannya memenuhi hampir seluruh ruang. Setiap kali siap menyusun sebuah binaan, dia akan tersenyum puas sebelum mencapai mainan lain p**a. Sebuah menara tinggi berdiri di tengah-tengah ruang tamu hasil susunan tangannya sendiri.

“Mak, tengok!”

Sofea yang sedang mengelap meja makan menoleh sambil tersenyum.

“Wah, tingginya.”

Aina tersenyum bangga.

“Ini rumah Arnab.”

“Besarnya rumah Arnab.”

Aina ketawa kecil. Kemudian, dia menyusun beberapa buah kereta di hadapan rumah itu.

“Sini tempat letak kereta.”

Tidak lama kemudian, dia mengambil bakul kecil berisi patung-patung haiwan. Seekor demi seekor dikeluarkan. Tidak lama kemudian, hampir seluruh lantai ruang tamu dipenuhi mainan.

Sofea hanya memerhati dari jauh. Dia tidak menghalang. Dia tahu, bermain juga sebahagian daripada proses belajar seorang kanak-kanak. Selepas hampir sejam bermain, Aina mula berasa letih. Dia bangun.

“Mak, Aina nak minum.”

”Boleh.”

Aina berlari ke dapur. Mainan yang bertaburan ditinggalkan begitu sahaja. Selesai minum, dia mahu terus masuk ke bilik untuk mengambil buku mewarna. Ketika melalui ruang tamu, Sofea memanggilnya perlahan.

“Ya, mak?”

“Cuba tengok ruang tamu kita.”

Aina memandang sekeliling. Blok permainan masih bertaburan. Patung arnab terbaring di atas kusyen. Kereta mainan berada di bawah meja. Dia tersenyum nipis.

“Banyaknya.”

Sofea mengangguk.

“Siapa yang keluarkan semua mainan tadi?”

“Saya.”

“Kalau begitu, siapa yang patut simpan semula?”

Aina terdiam. Beberapa saat kemudian, dia menjawab perlahan.

“Saya juga.”

Sofea tersenyum. “Betul.”

Aina memandang semua mainannya. Dia mengeluh kecil.

“Banyak sangat ...”

Sofea menghampiri anaknya lalu duduk di atas permaidani.
“Mak tolong Aina?”
Mata Aina kembali bersinar. “Boleh?”
“Boleh.”
Aina tersenyum lebar. Dia mencapai bakul mainan. Seekor demi seekor patung dimasukkan ke dalam bakul. Sofea p**a mengutip blok permainan yang berhampiran. Mereka mengemas sambil berbual.

“Mak ...”

“Ya?”

“Kenapa semua mainan ini kena simpan balik?”

Sofea memasukkan beberapa blok mainan ke dalam bekas.

“Kalau rumah berselerak, susah kita nak berjalan, kan?”

Aina mengangguk. “Nanti terpijak mainan?”

“Ya. Mainan pun senang hilang.”

Aina segera melihat sekeliling. “Betul juga.”

Dia teringat kereta merah kesayangannya pernah hilang beberapa hari kerana terselit di bawah sofa. Selepas beberapa minit, hanya tinggal sebuah kereta kecil di bawah meja. Aina membongkok mengambilnya.

“Hah, ini yang terakhir.”

Dia memasukkannya ke dalam bakul. Kemudian, dia memandang ruang tamu. Lantai yang tadi dipenuhi mainan kini kembali kemas. Aina tersenyum puas.

“Wah ...”

“Kenapa?”

“Rumah nampak cantik.”

Sofea mengangguk. “Bersih, kan?”

“Ya.”

Sofea memegang tangan anaknya.

”Allah s**a orang yang menjaga kebersihan.”

Aina memandang sekeliling sekali lagi.

“Kalau rumah bersih, tetamu datang rasa selesa. Kita sendiri melihatnya pun rasa tenang,” ujar Sofea.

Aina mengangguk bersungguh-sungguh.

“Mulai hari ini, lepas bermain, Aina nak simpan semula semua mainan.”

Sofea membelai rambut anaknya.

“Itulah anak yang baik.”

Ketika itu, bunyi pintu pagar dibuka dari luar. Amir baru p**ang dari surau. Sebaik sahaja melangkah masuk ke rumah, dia memandang ruang tamu yang kemas.

“Wah, kemasnya ruang tamu hari ini.”

Aina terus berlari untuk mendapatkan ayahnya.

“Aina yang kemas!”

Amir tersenyum bangga.

“Alhamdulillah. Terima kasih sebab tolong mak.”

Aina tersenyum lebar. Dia rasa gembira apabila usahanya dihargai. Sofea memandang anak kecil itu dengan penuh syukur.

Hari ini, Aina bukan sekadar belajar mengemas mainannya sendiri. Dia belajar bahawa menjaga kebersihan rumah ialah tanggungjawab setiap ahli keluarga. Rumah yang bersih bukan sahaja sedap dipandang. Ia juga menjadikan hati lebih tenang dan selesa untuk beribadah serta berkumpul bersama keluarga.

Adab Hari Ini
Selesai bermain, simpanlah semula semua permainan di tempat asalnya. Rumah yang bersih dan kemas menjadikan semua ahli keluarga berasa selesa. Menjaga kebersihan rumah juga merupakan salah satu amalan yang baik dalam kehidupan seorang Muslim.

Asmah Hashim

[Kenyataan Media]Kenyataan Media Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional (PENAWAN) sempena Hari Kebangsaan31 Ogos 202...
30/08/2026

[Kenyataan Media]

Kenyataan Media
Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional (PENAWAN) sempena Hari Kebangsaan
31 Ogos 2026

Merdeka Bukan Sekadar Laungan, Tetapi Amanah Untuk Dipertahankan

Sempena sambutan Hari Kebangsaan, marilah kita bersama-sama menyelami makna sebenar kemerdekaan. Kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu kebangsaan atau melaungkan perkataan “Merdeka!”. Lebih daripada itu, kemerdekaan adalah amanah besar untuk kita mempertahankan perpaduan, keamanan, maruah dan masa depan negara.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menyuburkan semangat patriotisme yang hidup dalam tindakan, bukan sekadar pada sambutan tahunan. Cintailah negara dengan menghormati kepelbagaian, menjaga keharmonian, menolak perpecahan dan memainkan peranan membina masyarakat yang berilmu, berakhlak serta saling menghargai.

PENAWAN menyeru agar wanita Malaysia terus menjadi nadi pengukuh bangsa dan negara. Wanita bukan hanya penjaga keluarga, malah pendidik generasi, penggerak masyarakat dan pencetus perubahan. Suara wanita perlu diperkasakan melalui ilmu, penulisan dan keberanian menyuarakan kebenaran demi masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.

Saranan & Cadangan PENAWAN

1. Perkukuh pendidikan patriotisme dalam kalangan anak muda melalui pendekatan kreatif, bukan sekadar teori.
2. Perbanyakkan karya penulisan patriotik yang menyentuh jiwa dan mengangkat kisah perjuangan, perpaduan serta identiti Malaysia.
3. Berikan ruang kepada wanita dan generasi muda untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan masyarakat dan negara.
4. Gunakan media sosial secara bertanggungjawab untuk menyebarkan mesej perpaduan, menolak fitnah dan membendung budaya kebencian.
5. Hargai wira negara dan generasi terdahulu dengan meneruskan perjuangan mereka melalui sumbangan nyata mengikut kemampuan masing-masing.

Harapan kami, semangat kemerdekaan tidak hanya berkibar di langit, tetapi bersemarak dalam jiwa setiap rakyat. Jangan kita biarkan perbezaan memisahkan kita, sebaliknya jadikan kepelbagaian sebagai kekuatan.

Merdeka yang sebenar ialah apabila kita bebas daripada kebencian, berani melakukan perubahan, bersatu dalam kepelbagaian dan teguh mempertahankan tanah air tercinta.

Malaysia milik kita.
Kemerdekaannya amanah kita.
Mempertahankannya tanggungjawab bersama.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! 🇲🇾

Dr. Naza Sani
Timbalan Pengerusi PENAWAN

[Renungan]Rasulullah SAW Contoh Akhlak Terbaikحَدَّثَنِي أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْجَدَلِيُّ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ كَيْ...
28/08/2026

[Renungan]

Rasulullah SAW Contoh Akhlak Terbaik

حَدَّثَنِي أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْجَدَلِيُّ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ كَيْفَ كَانَ خُلُقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَهْلِهِ قَالَتْ كَانَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا لَمْ يَكُنْ فَاحِشًا وَلَا مُتَفَحِّشًا وَلَا سَخَّابًا بِالْأَسْوَاقِ وَلَا يُجْزِئُ بِالسَّيِّئَةِ مِثْلَهَا وَلَكِنْ يَعْفُو وَيَصْفَحُ

Telah menceritakan kepadaku Abu Abdullah Al Jadali dia berkata; Saya bertanya kepada Aisyah; "Bagaimanakah akhlak Rasulullah SAW terhadap keluarganya." Aisyah berkata; "Baginda adalah orang yang paling baik akhlaknya. Baginda tidak pernah berbuat keji, tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor, tidak meninggikan suara atau bertengkar di pasar. Baginda tidak pernah membalas kejahatan dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya), akan tetapi baginda seorang yang pemaaf dan berlapang dada." (HR Ahmad No: 24797) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW adalah orang yang paling baik akhlak terhadap keluarga dan orang lain. Kelembutan dan kasih sayang dalam keluarga adalah asas keharmonian rumah tangga.

2. Rasulullah SAW tidak pernah melakukan perbuatan buruk dan keji seperti perbuatan kasar kepada orang lain.

3. Rasulullah SAW tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor, bertengkar serta tidak terjerit-jerit di pasar (shoping kompleks) atau di mana sahaja.

4. Al-Qadi Iyad menjelaskan bahawa sifat ini menunjukkan kewibawaan Rasulullah SAW. Baginda tidak mencari perhatian dengan suara yang kuat atau pertengkaran, sebaliknya dihormati kerana akhlak dan kebijaksanaan Baginda.

5. Antara akhlak terpuji Rasulullah SAW ialah tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya).

6. Rasulullah SAW adalah seorang yang pemaaf dan berlapang dada terhadap orang lain. Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menegaskan bahawa sifat Baginda ini menunjukkan keutamaan memberi maaf kerana ia lebih membawa kepada kasih sayang dan keberkatan.

7. Ibn Rajab menjelaskan bahawa sifat memaafkan Rasulullah SAW bukan kerana kelemahan, tetapi kerana kekuatan jiwa. Baginda memaafkan apabila hak peribadi Baginda dizalimi, namun apabila hukum Allah dicabuli, Baginda tetap tegas menegakkan keadilan.

8. Hadis ini mengajar bahawa ukuran sebenar kemuliaan akhlak bukanlah bagaimana seseorang berinteraksi dengan orang luar, tetapi bagaimana dia melayan ahli keluarganya, pekerjanya dan orang yang berada di bawah tanggungannya. Rasulullah SAW membuktikan bahawa kelembutan bukan tanda kelemahan, bahkan ia adalah kekuatan yang mampu membina keluarga yang bahagia, masyarakat yang harmoni dan umat yang saling menghormati.

9. Berusahalah kita mencontohi Rasulullah SAW dengan tidak mengeluarkan kata-kata kotor, terjerit-jerit dimana sahaja kita berada termasuk dalam bentuk tulisan di media sosial. Jadilah kita orang yang pemaaf.

[Hebahan]Jom dapatkan naskhah buku 25 Tokoh Wanita Muslim hari ini
26/08/2026

[Hebahan]

Jom dapatkan naskhah buku 25 Tokoh Wanita Muslim hari ini

[Kenyataan Media]Kenyataan Media Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional (PENAWAN) sempena Maulidur Rasul saw 2026.Bi...
24/08/2026

[Kenyataan Media]

Kenyataan Media Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional (PENAWAN) sempena Maulidur Rasul saw 2026.

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum WBT.

Syukur ke hadrat ilahi dengan limpah kurnia-Nya, kita telah sampai ke tarikh 12 Rabiul Awal mengikut kalendar Hijrah, menandakan sambutan Hari Maulidur Rasul yang diraikan di seluruh Malaysia.

Umat manusia yang beragama Islam khususnya sungguh beruntung dapat mengenali, meneladani dan menelusuri sejarah seorang sosok agung yang digelar Rasulullah, kekasih Allah ini. Tiada manusia yang susur galur keluarganya, peribadinya, adab dan akhlaknya, kepimpinannya; dari saat dia lahir hingga wafat, dari sekecil-kecil cara dia makan dan tidur, hingga bagaimana dia merancang strategi dakwah dan peperangan, semuanya direkodkan dengan penuh hati-hati dan terperinci oleh periwayat-periwayat hadis. Akhirnya hadis-hadis dan sejarah itu pun sampai kepada kita hari ini untuk diambil pengajaran dan contoh teladan, malah lebih daripada itu, kita dijanjikan ganjaran pahala dengan mengikuti dan menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW.

Kita sering mendengar dan belajar tentang sejarah dakwah Rasulullah SAW di Mekah dan Madinah selama 23 tahun. Sejak di bangku sekolah lagi, silibus subjek Pendidikan Agama Islam merangkumi pembelajaran kronologi sirah Rasulullah SAW bermula dari Baginda lahir, hinggalah kepada kewafatannya.

Namun Rasulullah SAW juga merupakan teladan tertinggi dalam memuliakan dan mengangkat martabat golongan wanita. Baginda sesekali tidak pernah meminggirkan peranan kaum wanita sebagai 'pelengkap di belakang tabir' semata-mata. Sebaliknya, Rasulullah SAW mendidik, memuliakan, dan membuka ruang seluas-luasnya buat golongan wanita untuk menyumbangkan kepakaran serta potensi diri demi kelangsungan dakwah Islamiah dan pemerkasaan ummah.

Baginda Rasulullah SAW sesekali tidak pernah meminggirkan peranan kaum hawa hanya sebagai pelengkap di belakang tabir. Sebaliknya, insan agung ini sentiasa mendidik, mengangkat martabat, serta membuka peluang yang cukup luas buat golongan wanita untuk menyumbangkan kepakaran serta potensi diri masing-masing demi kelangsungan dakwah Islamiah dan pemerkasaan ummah.

Antara tokoh wanita zaman Rasulullah dan bagaimana Rasulullah SAW memanfaatkan potensi mereka untuk kelangsungan dakwah:

Khadijah Binti Khuwailid RA.
Isteri pertama Baginda yang telah menyumbang kepada dakwah dari segi kewangan dan sokongan mental. Rasulullah SAW menerima nasihat Khadijah ketika awal penerimaan wahyu, memanfaatkan keteguhan moralnya untuk menenangkan fikiran Baginda, serta menyalurkan kekayaan Khadijah untuk membiayai pergerakan dakwah awal di Mekah.

Aisyah Binti Abu Bakar RA.
Isteri Baginda yang juga seorang tokoh intelektual, banyak meriwayatkan hadis dan pakar hukum fikah Islam. Rasulullah SAW mendidik Aisyah secara langsung dalam hal keilmuan dan menggalakkan sahabat merujuk kepadanya. Aisyah meriwayatkan ribuan hadis yang menjadi asas perundangan Islam, khususnya mengenai urusan rumah tangga dan wanita.

Nusaybah binti Ka'ab RA (Ummu Amarah). Dalam Perang Uhud, Rasulullah SAW memuji keberaniannya dan mengiktiraf peranan wanita di medan tempur bukan sekadar sebagai sokongan, malah sebagai benteng pertahanan utama.

Asma’ Binti Abu Bakar.
Anak kepada sahabat karib Rasulullah SAW, perancang logistik sewaktu peristiwa Hijrah. Rasulullah SAW mempercayai Asma' untuk menguruskan bekalan makanan dan rahsia laluan pergerakan ke Gua Thawr, menjadikan beliau tonggak kejayaan misi strategik Islam.

Wanita menjadi tonggak kelangsungan dan keberkesanan dakwah Islam sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Daripada Rasulullah kita belajar bahawa kelembutan semula jadi kaum wanita tidak menjadi penghalang untuk mereka berada di barisan hadapan, cemerlang dalam bidang kepakaran masing-masing dan Islam sentiasa mengiktiraf kepelbagaian bakat tanpa mengira jantina.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul ini, PENAWAN dengan besar hati ingin mengajak segenap rakyat Malaysia untuk:

Menghayati dan mencontohi Rasulullah SAW dalam membangun dan memanfaatkan potensi kaum wanita baik dalam konteks berkeluarga mahupun dalam bidang profesional seperti di tempat kerja atau dalam sesebuah organisasi.

Menyeru kaum wanita untuk saling memberdaya, memperkasa dan menyokong satu sama lain supaya setiap potensi yang ada dalam diri kita mampu digilap dan dimanfaatkan untuk kebaikan ummah seperti wanita-wanita hebat pada zaman Rasulullah SAW.

Menghentikan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita dan memberi pengiktirafan dan peluang yang adil dari segi kepimpinan, ekonomi dan sosial.

Akhir kata, PENAWAN ingin mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga keagungan akhlak Rasulullah SAW terus menjadi panduan dalam kita membina masyarakat yang madani dan harmoni.

Address

No 22A Jalan Bandar 3, , Taman Melawati
Kuala Lumpur
53100

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when PenaWan posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Organization

Send a message to PenaWan:

Shortcuts

Sponsored

Share