21/09/2026
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang mempermudahkan perjalanan program majlis makan malam Wawasan Ketuanan Melayu yang dianjurkan Pewaris Malaysia, bertempat di Grand Bunga Tanjung Ballroom, Kelab Shah Alam, Selangor semalam.
Program makan malam itu diadakan bertujuan menghimpun beberapa ketua-ketua NGO-NGO Melayu dan ahli bagi merapatkan saf perjuangan,memperkukuhkan ukhwah serta menggariskan hala tuju yang lebih mantap dan tersusun dalam perjuangan untuk Agama, Bangsa dan Tanahair.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan hadir sebagai tetamu jemputan kehormat pada malam itu.
Datuk Ahmad Maslan dalam ucapan perasmiannya menyeru agar bangsa Melayu menjadi bangsa usahawan agar dapat memperkukuhkan kedudukan bangsa Melayu dalam kitaran ekonomi di negara ini.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Pewaris Malaysia untuk melaksanakan kursus-kursus keushawanan digital kepada ahli-ahli bagi mempromosikan perniagaan menggunakan media sosial yang dilihat dapat memberikan kesan yang besar bagi memajukan sesebuah perniagaan yang diusahakan.
Antara ketua-ketua NGO lain yang turut hadir pada malam itu ialah Presiden PERMAS, Dato’ Ismail Awang, Yang Di-Pertua Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia, Tuan Tuah Jani Bin Dato’ Abdul Majid , Presiden Malaysian Humanitarian Organisation (MHO),Dato Hishammudin Hashim, Tuan Ismail Base, Tuan Razak Misai, Dato Nashrudin Bin Elias (Nash Lefhanded)dan lain-lain.
Pewaris Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepada semua tetamu yang hadir dan memohon maaf sekiranya terdapat sebarang cacat cela di sana sini ketika berlangsungnya program.
Tahniah juga diucapkan kepada tim sekretariat Pewaris Malaysia diketuai oleh Naib Presiden, Tuan Muhyiddeen Bin Mohamad Ali yang bertungkus lumus dalam menjayakan program makan malam ini.
“Biar Rebah, Jangan Berubah”