12/05/2025
BELANSUNGKAWA
Prof. Dr. Masjuki Hassan
Pengasas Bersama Malaysian Society of Tribology (MyTribos)
Dengan penuh rasa dukacita dan kesedihan yang mendalam, Malaysian Society of Tribology (MyTribos) merakamkan ucapan takziah atas pemergian Prof. Dr. Masjuki Hassan – seorang tokoh besar, mentor, dan bapa kepada komuniti tribologi negara.
Perjalanan sejarah MyTribos bermula dengan satu pertemuan bermakna pada tahun 2005, di Universiti Malaya, hasil perkenalan yang diatur oleh seorang sahabat akademik Prof Masjuki sejak zaman pengajian mereka di United Kingdom. Dari perkenalan itu, tercetus semangat kerjasama dan cita-cita untuk membina sebuah wadah nasional bagi bidang tribologi.
Selepas menghadiri AsiaTrib di Kanazawa, Jepun pada tahun 2006, Prof Masjuki pulang dengan satu wawasan besar – penubuhan sebuah persatuan tribologi yang pada awalnya dinamakan Maltrib, kemudian dijenamakan semula kepada MyTribos. Sejak itu, beliau tidak pernah berhenti mengorak langkah, memastikan MyTribos terus berkembang sebagai platform dinamik untuk penyelidik, penggiat industri, dan akademia dalam dan luar negara.
Prof. Masjuki bukan sekadar pengasas – beliau adalah mentor, pemimpin, dan figura bapa kepada ramai di kalangan kami. Sifatnya yang tenang, bijaksana, dan selalu memberi dorongan menjadikan beliau sumber inspirasi yang tidak ternilai. Beliau percaya bahawa ilmu harus dikongsi dan diwariskan, dan kerana itu, beliau sentiasa membuka ruang kepada generasi baharu untuk terus maju dalam bidang tribologi.
Hari ini, walaupun jasadnya telah pergi, legasi Prof. Dr. Masjuki Hassan tetap hidup – dalam setiap program, penerbitan, kolaborasi dan visi yang terus dilaksanakan oleh MyTribos.
Kami mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Terima kasih Prof, atas segala sumbangan dan kasih sayang yang telah dicurahkan.
Al-Fatihah.
Mariyam Jameelah Ghazali