03/06/2026
STATISTIK PENCAPAIAN AMALQURBAN 1447H / 2026
Alhamdulillah, Program Qurban & Aqiqah AmalQurban 1447H / 2026 telah berjaya disempurnakan dengan 100% kadar penyelesaian, melibatkan seramai 3,169 peserta yang telah menunaikan ibadah qurban dan aqiqah melalui AmalQurban.
Perjalanan operasi pada tahun ini bukanlah tanpa cabaran. Pasukan lapangan yang bertugas ke Chad telah menghadapi ujian apabila dua kali gagal berlepas akibat isu penerbangan, sebelum akhirnya berjaya berangkat pada percubaan ketiga. Kelewatan tersebut menyebabkan pasukan hanya tiba di lokasi pada tengah hari Aidiladha di Chad. Namun begitu, dengan semangat dan komitmen yang tinggi, pasukan lapangan tidak pernah berputus asa serta terus berusaha memastikan amanah para peserta dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Alhamdulillah, seluruh pelaksanaan qurban dan aqiqah berjaya disempurnakan sepanjang Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik mengikut perancangan yang ditetapkan.
Daripada jumlah keseluruhan peserta, sebanyak 2,152 bahagian Qurban Lembu (67.9%), 644 ekor Qurban Kambing (20.3%), 266 bahagian Qurban Unta (8.4%), 51 bahagian Aqiqah Lembu (1.6%), 50 ekor Aqiqah Kambing (1.6%) dan 6 bahagian Qurban Kibas (0.2%) telah berjaya dilaksanakan.
Pelaksanaan ibadah ini melibatkan 8 lokasi utama, iaitu Chad, Aceh, Kemboja, Sabah, Terengganu, Selangor, Kampung Orang Asli (KOA) Perak dan Chow Kit, sekali gus memberi manfaat kepada ribuan penerima di dalam dan luar negara.
Pencapaian ini membuktikan kepercayaan berterusan masyarakat terhadap AmalQurban sebagai platform pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah yang telus, amanah dan berpengalaman sejak lebih dua dekad. Semoga segala ibadah yang telah dilaksanakan diterima oleh Allah SWT serta menjadi asbab keberkatan, rahmat dan ganjaran yang berpanjangan buat para peserta, petugas, perunding, rakan kolaborasi dan seluruh penerima manfaat.