24/07/2026
MAJLIS PENYERAHAN CADANGAN KERJA-KERJA UBAH SUAI/NAIK TARAF RUANG PEJABAT SEDIA ADA KEPADA MAKMAL KASTAM DI AKADEMI KASTAM DIRAJA MALAYSIA (AKMAL), MELAKA
Majlis Penyerahan Cadangan Kerja-Kerja Ubah Suai/Naik Taraf Ruang Pejabat Sedia Ada kepada Makmal Kastam di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL), Melaka telah disempurnakan oleh YB Datuk Zahari bin Abd Khalil, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri Melaka.
Turut hadir ialah Puan Habshah binti Ali, Timbalan Setiausaha Bahagian (Modal Insan), Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan, Kementerian Kewangan Malaysia; Tuan Wong Pun Sian, Pengarah Perkhidmatan Teknik, Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Dr. Ramlah binti Haji Muktar, Timbalan Pengarah Cawangan Klasifikasi, Tarif dan Gubalan, Pertek, Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Ir. Mahalil bin Mohtar, Jurutera Daerah Melaka Tengah selaku Pegawai Penguasa; Head of Project Team (HOPT); Head of Design Team (HODT); ketua-ketua bahagian; serta warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kerja Raya Melaka dan Jabatan Kerja Raya Daerah Melaka Tengah.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ir. Mahalil bin Mohtar, Jurutera Daerah Melaka Tengah, diikuti dengan ucapan oleh Tuan Wong Pun Sian, Pengarah Perkhidmatan Teknik, Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh YB Datuk Zahari bin Abd Khalil.
Sebagai simbolik penghargaan atas kejayaan pelaksanaan projek, YB Datuk Zahari bin Abd Khalil turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya Melaka, Jabatan Kerja Raya Daerah Melaka Tengah dan Fitras Builders (M) Sdn. Bhd. atas komitmen, kerjasama serta dedikasi yang telah diberikan sepanjang pelaksanaan projek ini.
Majlis diteruskan dengan sesi lawatan ke Makmal Kastam yang telah siap dinaik taraf. Lawatan tersebut memberi peluang kepada para dif kehormat dan jemputan meninjau sendiri kemudahan makmal yang telah siap dibangunkan bagi menyokong keperluan operasi, latihan dan pembangunan kompetensi Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Projek ini melibatkan kerja-kerja mengubah suai dan menaik taraf ruang pejabat sedia ada kepada sebuah makmal yang lebih moden, selesa dan kondusif bagi memenuhi keperluan semasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen Jabatan Kerja Raya Malaysia dalam menyediakan infrastruktur kerajaan yang berkualiti, berfungsi serta menepati keperluan pelanggan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat khususnya Jabatan Kerja Raya Melaka, Jabatan Kerja Raya Daerah Melaka Tengah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pihak kontraktor atas kerjasama erat dan komitmen tinggi sehingga projek ini berjaya disiapkan dengan jayanya.
Semoga kemudahan baharu ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkukuh keupayaan penyelidikan, latihan dan operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sekali gus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.