15/10/2026
KENYATAAN MEDIA GPMS
16 Oktober 2026
GPMS SOKONG PENANGGUHAN UASA, KESIHATAN MURID DAN KEBAJIKAN GURU MESTI DIUTAMAKAN
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyokong keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) susulan situasi jerebu yang semakin membimbangkan melanda negara.
Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dilaporkan pada 15 Oktober 2026, pemantauan di 78 fasiliti kesihatan sentinel merekodkan 7,065 kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI), 1,117 kes asma dan 334 kes konjunktivitis pada Minggu Epidemiologi ke-36 iaitu 6 hingga 12 September 2026. Bagi Minggu Epidemiologi ke-40, 4 hingga 10 Oktober 2026, sebanyak 5,613 kes URTI turut dilaporkan.
GPMS menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan murid mesti diutamakan tanpa mengabaikan kebajikan guru. KPM perlu memberikan ruang dan fleksibiliti kepada pihak sekolah serta guru untuk menyusun semula jadual UASA tanpa tekanan, arahan yang membebankan atau tuntutan pelaksanaan yang tidak munasabah.
Penangguhan ini hendaklah diuruskan secara terancang, dengan komunikasi yang jelas kepada ibu bapa dan murid serta mengambil kira keadaan sebenar di sekolah.
Murid perlu dilindungi, guru perlu dihormati dan pentaksiran perlu dilaksanakan secara adil.
FAZREEN FAUZI
Presiden GPMS