17/06/2026
🌙 Salam Maal Hijrah 1448H 🌙
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT kita dipertemukan lagi dengan lembaran baharu dalam kalendar Islam. Ketibaan 1 Muharram bukan sekadar pertukaran angka dan tahun tetapi satu peluang untuk kita bermuhasabah, memperbaiki diri dan memperbaharui hubungan dengan Allah SWT.
Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."
(Surah Ar-Ra'd: 11)
Marilah kita melangkah ke tahun baharu ini dengan azam yang lebih teguh untuk menggandakan amal ibadah, melaksanakan segala perintah Allah dengan penuh keikhlasan serta menjauhi segala perkara yang boleh mengundang kemurkaan-Nya.
Rasulullah SAW bersabda:
"Orang yang bijak ialah orang yang sentiasa bermuhasabah dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati."
(Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Tahun baharu ini juga mengajar kita untuk menundukkan nafsu yang sering mengajak kepada keburukan. Jangan biarkan kemarahan, hasad dengki, fitnah dan kebencian merosakkan diri sendiri mahupun menyakiti orang lain. Sebaliknya, tanamkan dalam hati niat yang suci, semangat yang tinggi dan azam baharu yang membawa manfaat kepada keluarga, masyarakat dan agama.
Semoga tahun 1448 Hijriah menjadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih baik, hati yang lebih dekat kepada Allah, rezeki yang lebih berkat serta kehidupan yang dipenuhi rahmat dan ketenangan.
Selamat Menyambut Awal Muharram 1448H. Semoga hijrah kita kali ini bukan sekadar pada kata-kata namun ianya benar-benar terpancar pada amal, akhlak dan kehidupan seharian.