14/03/2026
PERKIM Wangsa Maju Sampaikan Duit Raya Kepada 100 Mualaf
KUALA LUMPUR — Pengerusi PERKIM Cawangan Wangsa Maju, Hairul Anuar, telah menyampaikan sumbangan duit raya kepada 100 orang mualaf dalam satu program kebajikan yang dianjurkan bersama PERKIM Datuk Keramat serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
Program tersebut diadakan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan kepada golongan saudara baharu, khususnya dalam membantu mereka membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dalam ucapannya, Hairul Anuar berkata program seperti ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PERKIM Wangsa Maju dalam menyantuni serta memperkukuh hubungan dengan komuniti mualaf.
Beliau menegaskan bahawa golongan mualaf memerlukan sokongan berterusan daripada masyarakat agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sebagai seorang Muslim.
“PERKIM Wangsa Maju sentiasa komited untuk terus mendekati dan membantu saudara-saudara baharu melalui pelbagai program kebajikan, pendidikan dan sokongan sosial agar mereka tidak berasa terpinggir,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Noraishah Isnin, selaku Restaurant General Manager (RGM) bagi McDonald's cawangan Sentul View dan Batu Caves atas tajaan juadah iftar yang telah menyumbang kepada kelancaran program tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua NGO, penyumbang serta sukarelawan yang bersama-sama menjayakan program berkenaan demi kesejahteraan komuniti mualaf.