19/08/2026
Rabu 19/08/2026 - 06 R. Awwal 1448H Majlis Pecah Tanah Perkuburan Islam Sungai Durian 2.0
Majlis Perasmian Dan Pecah Tanah, Tanah Perkuburan Islam Sungai Durian Fasa 2.
Projek pembelian tanah kubur ini telah bermula pada awal tahun 2020 dengan bertanya khabar tuan tanah bersebelahan tanah kubur lama Sungai Durian atau lebih dikenali dengan Kubur Ipoh yang telah berusia lebih 60 tahun dan telahpun hampir penuh.
Persetujuan daripada tuan² tanah telah diperolehi untuk dijual seluas 5.4 ekar dengan harga sebanyak RM430,000 untuk dijadikan tanah kubur baharu.
Kutipan wajib kepada setiap rumah di Mukim Sungai Durian dimulakan dengan bayaran sebanyak RM200 bagi sebuah rumah atau keluarga yang berjumlah sekitar 1,000 buah rumah.
Kutipan masih tidak mencukupi terutama dalam suasana negara dilanda Covid-19 yang akhirnya membawa kepada penyelesaian menjadikan tanah kubur ini diletakkan dibawah Masjid Ar-Rahman, Pondok Sungai Durian dengan persetujuan YBhg Dato' Dr Abu Anas Madani / Abdul Basit Abdul Rahman Pengerusi Masjid dan Pengerusi Yayasan Pondok Sungai Durian.
Pada 4 Julai 2020 kutipan derma dilancarkan oleh YBhg Dato' dan pada 7 Julai 2020 bayaran pendahuluan sebanyak RM40,000 telah dibayar kepada wakil tuan tanah serentak dengan operasi memasuki tapak dan membersih kawasan.
AlhamdulilLah, setelah 6 tahun tanah kubur ini digunakan, kini memasuki fasa kedua apabila pemilik tanah bersebelahan dengan tanah kubur yang telah dibeli pada tahun 2020 ingin menjualnya.
Maka pada hari ini, 6 Rabi'ul Awal 1448 bersamaan 19 Ogos 2026 sejumlah RM290,000 telah dibayar kepada tuan tanah.
Majlis diadakan serentak dengan perasmian dan pecah tanah yang turut dihadiri oleh wakil IPD, Pejabat Tanah, Pondok Sungai Durian, Pejabat Agama, Masjid Bandar Kuala Krai dan Bandar Guchil, Bomba dan AJK Tanah Perkuburan Islam Sungai Durian.
Terima kasih kepada semua para penderma sehingga projek Tanah Perkuburan Islam Sungai Durian ini dapat direalisasikan.
Terima kasih juga kepada YBhg Dato' atas usaha beliau sehingga berjaya mengutip dana yang mencukupi dan semua AJK yang terlibat.
Semoga Allah memberkati usaha ini dan menjadikan usaha kita dalam neraca kebaikan kita, Amin.
Catatan YB Abdul Latiff Abdul Rahman
Sumber: https://www.facebook.com/share/p/1LHsCLQSQp/