01/08/2026
LAPORAN BERITA RINGKAS PROGRAM PENYAMPAIAN BANTUAN PENDIDIKAN ONE-OFF
Program: Penyampaian Bantuan Pendidikan One-Off DAKAP PAPISMA
Anjuran: DAKAP PAPISMA dengan kerjasama Khidmat Sabah
Tarikh: 1 Ogos 2026 (Sabtu)
Masa: 9.30 pagi
Tempat: Masjid Nur Al Jannah, Kampung Petagas
Alhamdulillah, Program Penyampaian Bantuan Pendidikan One-Off anjuran DAKAP PAPISMA dengan kerjasama Khidmat Sabah telah berjaya dilaksanakan dengan lancar di Masjid Nur Al Jannah, Kampung Petagas.
Seramai 15 orang pelajar daripada keluarga asnaf telah menerima bantuan pendidikan secara one-off bagi membantu persiapan melanjutkan pengajian ke pelbagai institusi pengajian tinggi dan latihan kemahiran. Para penerima terdiri daripada pelajar yang akan menyambung pengajian ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti, Tingkatan Enam (STPM), Program Matrikulasi, institusi TVET, serta universiti awam dan swasta.
Bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan keluarga asnaf, khususnya dalam menampung kos awal pengajian seperti yuran pendaftaran, pembelian kelengkapan pembelajaran, pengangkutan serta keperluan asas sebelum memulakan sesi pengajian.
Program ini merupakan manifestasi keprihatinan DAKAP PAPISMA bersama Khidmat Sabah dalam memastikan anak-anak daripada golongan asnaf tidak tercicir daripada peluang melanjutkan pelajaran hanya disebabkan kekangan kewangan. Diharapkan bantuan ini menjadi suntikan semangat kepada para penerima untuk terus berusaha menimba ilmu, mencapai kecemerlangan, seterusnya mengubah taraf hidup keluarga dan menyumbang kembali kepada agama, masyarakat serta negara.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Khidmat Sabah, para pembayar zakat, sukarelawan serta semua pihak yang telah menjayakan program ini. Semoga segala sumbangan dan usaha yang diberikan menjadi amal jariah yang berterusan serta diberkati Allah SWT.
“Pendidikan adalah jalan keluar daripada kemiskinan. Semoga setiap bantuan yang dihulurkan menjadi asbab lahirnya generasi berilmu, berakhlak dan berjaya.”