15/10/2025
KENYATAAN MEDIA
SEKOLAH MENENGAH INTEGRASI TERAS ISLAM (SMITI) MALAYSIA
SMITI Malaysia menyokong Gesaan YB Afnan Hamimi bin Dato’ Taib Azamuddin, Ahli Parlimen Alor Setar
agar KPM gubal Dasar Sekolah Selamat.
Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan sokongan padu terhadap kenyataan dan gesaan YB Afnan Hamimi bin Dato’ Taib Azamuddin, Ahli Parlimen Alor Setar, dalam perbahasan di Dewan Rakyat yang mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) segera gubal "Dasar Sekolah Selamat".
SMITI Malaysia berpandangan bahawa isu keselamatan murid dan warga sekolah kini berada pada tahap yang membimbangkan, dengan pelbagai insiden melibatkan bunuh, rogol, kemalangan, buli, pergaduhan, gangguan seksual, penyalahgunaan dadah, serta ancaman fizikal dan emosi yang dilaporkan semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Sebagai institusi pendidikan Islam yang mendidik ribuan pelajar di seluruh negara, SMITI Malaysia menyokong penuh cadangan dasar tersebut dan menyeru agar KPM:
1. Menggubal dasar menyeluruh yang memberi fokus kepada keselamatan fizikal, mental, sosial dan digital pelajar.
2. Menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan sekolah yang seragam di seluruh negara, termasuk pelan tindakan kecemasan, rondaan keselamatan, dan pemantauan pihak berkuasa.
3. Memastikan latihan keselamatan berkala kepada guru, pengawal keselamatan, dan pelajar bagi menghadapi sebarang risiko atau ancaman di sekolah.
SMITI Malaysia percaya bahawa usaha memperkukuh aspek keselamatan sekolah bukan sahaja melindungi pelajar dan guru, tetapi juga mengembalikan keyakinan ibu bapa serta masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.
Cadangan SMITI Malaysia Kepada KPM Untuk Meningkatkan Tahap Keselamatan Sekolah
1. Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Sekolah (JKS)
Dianggotai oleh pentadbir sekolah, PIBG, PDRM, AADK, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wakil komuniti setempat.
Bertanggungjawab memantau keselamatan pelajar, mengesan risiko awal dan merancang program pencegahan.
2. Pemasangan Sistem Keselamatan Pintar (Smart Security System)
Kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik sekolah.
Sistem rekod masuk/keluar pelajar dan pelawat menggunakan teknologi digital.
3. Latihan Keselamatan dan Pencegahan Risiko
Program tahunan “Hari Keselamatan Sekolah” untuk pelajar dan guru.
Bengkel pertolongan cemas, kebakaran, bencana alam, serta latihan menangani kes buli dan gangguan seksual.
4. Kaunseling dan Psikologi Sekolah yang Proaktif
Penempatan kaunselor bertauliah di setiap sekolah.
Menyediakan ruang aduan selamat (safe reporting channel) bagi pelajar melaporkan insiden secara rahsia.
5. Kerjasama Strategik Antara KPM dan PDRM
Program “School Liaison Officer” diperkasakan semula agar anggota polis menjadi sahabat sekolah dalam pencegahan jenayah dan buli.
6. Pendidikan Keselamatan Dalam Kurikulum
Memasukkan elemen keselamatan fizikal, mental, dan digital dalam subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Sivik.
Mendidik pelajar tentang batas pergaulan, adab, serta tanggungjawab sosial menurut Islam.
SMITI Malaysia menegaskan bahawa keselamatan pelajar adalah keutamaan tertinggi dalam sistem pendidikan Islam dan negara. Maka, penggubalan 'Dasar Sekolah Selamat' adalah langkah penting dan mendesak untuk memastikan sekolah kembali menjadi tempat yang aman, kondusif, dan berakhlak bagi melahirkan generasi rabbani yang berilmu dan berdisiplin.
Mohd Aizat bin Zakaria
Ketua Pengarah
Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Malaysia
Tarikh: 15 Oktober 2025