18/09/2026
Ziarah Skuad Kita Cakna (SKC) tidak sesekali memilih latar belakang, kedudukan mahupun aliran politik. Sebaliknya, tumpuan diberikan kepada kalangan mereka yang memerlukan.
Ziarah rutin secara mingguan ini telah sekian lama menjadi antara sebahagian daripada tanggungjawab dan fungsi Pusat Khidmat DUN (PKD) Bunut Payong dalam menyantuni masyarakat setempat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong, Tuan Shaari Mat Yaman bersama rombongan SKC kali ini menyantuni kediaman bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kota Bharu, Wan Norjam Wan Sulaiman, di Batu 2, Jalan Kuala Krai.
Menurut Wan Norjam, suaminya, Abdul Kadir Omar, 86, menghidap penyakit kencing manis sejak kira-kira 10 tahun lalu selain berdepan masalah jantung.
“Suami saya sudah 10 tahun menghidap kencing manis dan berdepan dengan masalah jantung.
“Selain makan ubat yang ditetapkan oleh doktor, dia juga mempunyai jadual untuk bertemu doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu,” katanya ketika ditemui.
Wan Norjam berkata, beliau sentiasa setia menemani dan menjaga suaminya itu.
Beliau yang pernah mengusahakan perniagaan penyediaan pakaian pengantin berkata, meskipun mereka kini hanya tinggal berdua di rumah berkenaan, anak-anak dan cucu-cucu mereka sentiasa mengambil berat serta datang menjenguk dari semasa ke semasa.