08/10/2026
CBDRM ARAU, PERLIS: MEMPERKASA KESIAPSIAGAAN KOMUNITI DAN MELINDUNGI GOLONGAN RENTAN
CBDRM Arau, Perlis, 2–3 Oktober 2026 – BBNGO telah melaksanakan Fasa 1 dan Fasa 2 Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) di Perlis sebagai langkah awal untuk memperkukuh kesiapsiagaan komuniti serta mengenal pasti keperluan penduduk dalam menghadapi risiko bencana.
Pelaksanaan bermula dengan bancian data penduduk secara rumah ke rumah pada 2–3 Oktober 2026 dengan kerjasama rakan strategik MRA Perlis, pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta JPKK/MPKK. Bancian ini melibatkan sebanyak 300 Ketua Isi Rumah (KIR) yang merangkumi penduduk di Kampung Gial, Kampung Gial Tengah, Kampung Gial Selatan, Kampung Padang Nyu, Kampung Perik, Kampung Hutan Lembah, Taman Ria Baru dan Taman Ria Lama, serta Kampung Banggol Sena, Kampung Tendut, Kampung Banggol Larak dan Kampung Banggol Bidan.
Selain mendapatkan data asas penduduk, aktiviti ini turut melibatkan pemetaan aset dan kapasiti komuniti bagi mengenal pasti sumber, kemudahan, kepakaran serta keupayaan yang terdapat dalam komuniti dan boleh digerakkan ketika menghadapi bencana.
Penekanan utama diberikan kepada golongan berkeperluan khusus dan rentan, termasuk OKU, kanak-kanak, warga emas, pesakit kronik serta kumpulan lain yang memerlukan perhatian dan bantuan khusus semasa bencana. Maklumat ini penting bagi membantu komuniti merancang tindakan awal, bantuan dan pemindahan dengan lebih teratur sekiranya berlaku bencana.
Melalui pendekatan ini, BBNGO bersama rakan strategik dan komuniti berusaha memastikan setiap penduduk dikenal pasti, khususnya mereka yang memerlukan perhatian khusus, supaya tiada golongan tercicir dalam perancangan kesiapsiagaan dan pengurusan bencana.
Program ini disokong melalui penajaan Yayasan Hasanah sebagai usaha bersama dalam memperkukuh komuniti yang lebih bersedia, responsif dan berdaya tahan terhadap bencana.
READY@COMMUNITY: Komuniti Siaga Bencana
Kenali Risiko • Bertindak Awal • Lindungi Komuniti • Bangkit Bersama