24/09/2026
𝐒𝐈𝐀𝐏𝐀 𝐁𝐀𝐊𝐀𝐋 𝐏𝐑𝐄𝐒𝐈𝐃𝐄𝐍 𝐁𝐀𝐇𝐀𝐑𝐔 𝐊𝐒𝐊𝐌?
𝐊𝐒𝐊𝐌 𝐃𝐈𝐊𝐄𝐌𝐔𝐃𝐈 𝐁𝐎𝐒𝐒 𝐌𝐄𝐘 𝐀𝐓𝐀𝐔 𝐔𝐒𝐓𝐀𝐙 𝐃𝐈𝐍?
Berbaki 2 hari sahaja lagi!
Debaran semakin terasa menjelang Mesyuarat Agung Tritahunan Kesatuan Sekerja Kakitangan MAIK (KSKM) Bilangan 55 Tahun 2026.
Dua nama kini menjadi perhatian ahli-ahli KSKM bagi merebut jawatan Presiden KSKM sesi 2026–2029. Encik Yasman bin Haji Hashim @ Yasin, atau lebih dikenali sebagai Boss Mey dan Al-Fadhil Ustaz Haji Bahaudin bin Ab Razak, yang mesra disapa Ustaz Din.
Kedua-duanya hadir dengan pengalaman dan latar belakang kepimpinan yang berbeza.
Yasman tampil dengan pengalaman panjang dalam pengurusan kesatuan apabila berkhidmat sebagai Setiausaha Agung KSKM sejak 2010. Pengalaman tersebut turut disokong penglibatan di peringkat lebih tinggi melalui CUEPACS, termasuk sebagai Ahli Majlis Kongres CUEPACS serta beberapa jawatan dan peranan berkaitan perancangan, penyelidikan dan perwakilan sektor. Dari sudut pengalaman organisasi, rekod ini memberikan beliau kelebihan dari aspek kesinambungan dan pengalaman luas dalam gerakan kesatuan.
Namun, Ustaz Din bukanlah pencabar yang boleh dipandang sebelah mata. Beliau mempunyai pengalaman tersendiri. Pernah menjadi AJK KSKM bagi sesi 2020–2022, beliau kemudiannya tampil sebagai calon Presiden pada sesi 2022–2024 dan sekali lagi pada sesi 2024–2026. Lebih menarik, dalam pemilihan terdahulu ketika tiga calon bertanding, beliau memperoleh 124 undi berbanding 135 undi yang diterima calon yang memenangi jawatan Presiden, hanya berbeza 11 undi. Angka ini menunjukkan beliau pernah memperoleh sokongan yang daripada ahli. Adakah kali ini Bahaudin Al-Kayyis bakal membuat kejutan?
Menariknya, perhatian bukan sahaja tertumpu kepada pertandingan Presiden. Pemilihan Jawatankuasa Kerja KSKM kali ini turut mencuri perhatian apabila 28 calon menawarkan diri untuk merebut hanya 6 tempat berdasarkan undian tertinggi.
Lebih menarik, sekitar 80 peratus merupakan muka baharu. Ini satu perkembangan yang cukup baik kerana menunjukkan semakin ramai ahli tampil dengan hasrat untuk menyumbang tenaga, idea dan kepakaran dalam memperkukuh KSKM.
Jadi, siapa bakal menjadi pengemudi baharu KSKM?
Adakah pengalaman panjang Boss Mey akan terus mendapat kepercayaan ahli? Atau mungkinkah Ustaz Din melakukan kejutan selepas dua kali mencuba?
Jawapan atas segala ramalan hanya akan diketahui pada 26 September 2026, apabila ahli-ahli KSKM menentukan pilihan masing-masing melalui undian.
Apa pun keputusannya nanti, yang paling penting ialah mandat ahli dihormati dan perpaduan terus diperkukuhkan.
Siapa sahaja yang diberikan amanah sebagai Presiden dan barisan Jawatankuasa Kerja KSKM bagi sesi baharu, marilah kita sama-sama memberikan sokongan dan bekerjasama demi kebajikan anggota, kekuatan kesatuan dan masa depan KSKM.
Selamat memilih dan selamat mengundi.