22/04/2026
KENYATAAN MEDIA | 22 APRIL 2026
ABIM KELANTAN SERU PENJAWAT AWAM PERKUKUH INTEGRITI, KEPIMPINAN JABATAN PERLU PERKASA PEMANTAUAN BERTERUSAN PERANGI RASUAH
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Kelantan menegaskan bahawa amalan rasuah, walau sekecil mana bentuknya, merupakan satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat serta bercanggah dengan prinsip keadilan dan integriti yang menjadi teras perkhidmatan awam.
Sehubungan itu, ABIM Kelantan menyeru khususnya penjawat awam di peringkat pelaksana dan lapangan agar sentiasa memelihara kejujuran dalam menjalankan tugas, menjauhi sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, serta menolak segala imbuhan tidak sah yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kerajaan.
Dalam masa yang sama, ABIM Kelantan menegaskan bahawa isu rasuah bukan hanya melibatkan satu peringkat tertentu dalam perkhidmatan awam. Ia boleh berlaku di mana-mana lapisan pentadbiran dari atasan sehingga bawahan sekiranya nilai amanah tidak dipelihara dengan serius.
Usaha membanteras rasuah mesti dipikul bersama oleh seluruh lapisan kepimpinan, termasuk pegawai kanan dan ketua jabatan, melalui :
β Pemantauan berterusan terhadap tatakelola kerja jabatan.
β Pembudayaan nilai amanah dalam kalangan anggota perkhidmatan.
β Penguatkuasaan dalaman berintegriti kepada para pegawai.
β Tindakan tegas terhadap sebarang salah laku yang menjejaskan kepercayaan rakyat.
Kepimpinan yang berintegriti bukan sahaja memastikan diri bebas daripada salah laku, tetapi juga bertanggungjawab memastikan budaya kerja yang bersih dan beretika dipraktikkan dalam jabatan masing-masing.
ABIM Kelantan yakin bahawa penjawat awam merupakan tunjang penting kestabilan pentadbiran negeri.
Justeru, pemeliharaan integriti dalam perkhidmatan awam adalah tanggungjawab bersama yang mesti diperkukuh secara berterusan.
Budaya menolak rasuah mesti bermula dari dalam sistem pentadbiran, dipimpin oleh kepimpinan yang beramanah, dan disokong oleh seluruh anggota perkhidmatan awam.
ABIM Kelantan komited untuk terus menyokong usaha memperkukuh budaya integriti selaras dengan tuntutan agama dan kepentingan rakyat serta kesejahteraan negeri.
Terima kasih.
MOHD SAIFUL ANUAR ABD HADI
YDP ABIM Negeri Kelantan