09/08/2026
BERITA DALAMAN BAKIT KELANTAN
AGM BAKIT KELANTAN KALI KE-26 BERLANGSUNG DENGAN JAYANYA
KOTA BHARU, 9 Ogos 2026 – Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Badan Kebajikan dan Islam Telekom Malaysia (BAKIT) Kelantan Kali Ke-26 telah berjaya dianjurkan dengan penuh mahabbah dan lancar pada Ahad. Majlis yang berlangsung dari jam 2.30 petang hingga 5.30 petang bertempat di Bilik VC, Blok C, TM Kota Bharu ini telah menghimpunkan ahli-ahli BAKIT Kelantan.
Majlis dimulakan dengan pendaftaran pendaftaran ahli pada jam 2.30 petang sebelum tirai mesyuarat dibuka secara rasmi sejurus ketibaan En. Khairul Anuar Ismail. Pengacara majlis, En. Rashidi Bin Abd Razak, memulakan agenda dengan mengalu-alukan kehadiran para ahli, diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh En. Mohd Firdaus Bin Makhtar bagi memohon keberkatan majlis.
Yang Dipertua (YDP) BAKIT Kelantan, En. Kaslimi Bin Awang, seterusnya menyampaikan ucapan alu-aluan dan menzahirkan penghargaan atas sokongan padu para ahli sepanjang penggal pentadbiran beliau. Majlis kemudian dilanjutkan dengan sesi pembentangan laporan biro bagi tahun 2025 yang dikendalikan oleh Setiausaha BAKIT, Puan Muhaizana:
Biro Lujnah Dakwah & Agama: Dibentangkan oleh Pemangku Biro, Puan Wan Norihan.
Biro Kebajikan: Dibentangkan oleh Ketua Biro, Puan Aimi Liyana.
Biro Ekonomi: Dibentangkan oleh Ketua Biro, En. Mohd Rozee.
Biro Helwa: Dibentangkan oleh Ketua Biro, Puan Uni Azwani.
Laporan Kewangan: Dibentangkan oleh Bendahari BAKIT, Puan Roslizawati.
Sesi mesyuarat turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah yang dijalankan secara diselang-seli. Sebanyak 60 hadiah cabutan bertuah telah disediakan, termasuk dua hadiah utama berupa pakej penginapan 2 Hari 1 Malam di Grand Renai Kota Bharu dan 1 keping Gold Bar Public Gold.
Kemuncak majlis menyaksikan pembubaran Jawatankuasa Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi penggal 2024–2026. En. Kaslimi Bin Awang mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan YDP bagi penggal baharu. Hasil proses pemilihan, En. Ahmad Syakir Bin Yusof telah rasmi dilantik sebagai YDP BAKIT Kelantan yang baharu. Dalam ucapan sulungnya, En. Ahmad Syakir menzahirkan rasa syukur dan berikrar akan berusaha sebaik mungkin dalam memikul amanah serta mengemudi BAKIT Kelantan ke arah yang lebih cemerlang.
Majlis diakhiri dengan penyerahan sedikit bekalan makanan kepada semua ahli yang hadir sebelum bersurai pada jam 5.30 petang. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua ahli dan AJK yang telah menjayakan AGM Kali Ke-26 ini.