Pertubuhan IKRAM Kawasan Klang

Directions

Pertubuhan IKRAM Kawasan Klang Contact information, map and directions, contact form, opening hours, services, ratings, photos, videos and announcements from Pertubuhan IKRAM Kawasan Klang, Non-Governmental Organization (NGO), Pejabat IKRAM Klang, Blok A1, Bangunan Maru, Lot 8309, Klang.

IKRAM merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang komited memartabatkan syiar Islam melalui agenda dakwah, tarbiah, pendidikan dan kebajikan, demi kesejahteraan serta pembentukan masyarakat yang maju dan sejahtera.

22/10/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Syafaat Melalui Solat Jenazah 40 Orang

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما: أَنَّهُ مَاتَ ابْنٌ لَهُ بِقُدَيْدٍ أَوْ بِعُسْفَانَ، فَقَالَ: يَا كُرَيْبُ، انْظُرْ مَا اجْتَمَعَ لَهُ مِنَ النَّاسِ. قَالَ: فَخَرَجْتُ، فَإِذَا نَاسٌ قَدِ اجْتَمَعُوا لَهُ، فَأَخْبَرْتُهُ. فَقَالَ: تَقُولُ هُمْ أَرْبَعُونَ؟ قُلْتُ: نَعَمْ. قَالَ: أَخْرِجُوهُ، فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ، فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا، لَا يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا، إِلَّا شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ.

Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa seorang anaknya meninggal dunia di Qudaid atau Usfan. Lalu beliau berkata kepada Kuraib: "Wahai Kuraib, lihatlah berapa ramai orang yang telah berkumpul untuk solat jenazahnya." Kuraib berkata: Aku pun keluar dan mendapati orang ramai telah berkumpul. Lalu aku memberitahunya. Beliau (Ibn Abbas) bertanya: "Adakah mereka berjumlah empat puluh orang?" Aku menjawab: "Ya." Lalu beliau berkata: "Bawalah jenazah itu keluar, kerana sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia, lalu empat puluh orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun berdiri menunaikan solat jenazahnya, melainkan Allah menerima syafaat mereka untuknya.'" (HR Muslim No: 1577) Status: Sahih

Pengajaran:

1. Solat jenazah dan doa orang beriman memiliki nilai yang besar kepada jenazah yang disembahyangkan kerana ia boleh menjadi syafaat. Menurut Imam al-Nawawi, maksud syafaat dalam hadis ini ialah Allah menerima doa dan permohonan keampunan yang dipanjatkan oleh mereka yang menunaikan solat jenazah.

2. Menurut Ibn Hajar, bilangan empat puluh bukan bertujuan mengehadkan rahmat Allah kepada bilangan tertentu. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa apabila sejumlah orang beriman yang ikhlas berkumpul dan mendoakan si mati, doa tersebut mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah.

3. Ibnu Batthal dalam Syarah al-Bukhari menjelaskan, yang menyebabkan si mati mendapatkan syafaat adalah kerana salah seorang dari empat puluh orang yang solat ke atas jenazah itu, ketika mendoakan jenazah tersebut, doanya dimakbulkan Allah. Semakin ramai yang mendoakan kebaikan bagi jenazah tersebut maka semakin besar kemungkinan akan mendapatkan syafaat.

4. Hadis ini menunjukkan bahawa doa dari orang yang Ikhlas, beriman dan tidak syirik, mampu menjadi sebab keampunan kepada jenazah. Maka, bergaullah dengan orang soleh semasa hidup, kerana mereka boleh memberi manfaat kepada kita walaupun selepas kita meninggal.

5. Orang yang tidak mensyirikkan Allah memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah, sehingga doa mereka untuk orang lain akan diterima Allah.

6. Islam menjadikan pengurusan jenazah dan solat jenazah sebagai tanggungjawab fardhu kifayah. Umat Islam perlu saling membantu dan mendoakan orang Islam lain yang meninggal dunia antaranya solatkan jenazah mereka, bukan hanya ahli keluarga si mati.

7. Hadis ini menegaskan bahawa solat jenazah merupakan ibadah yang sarat dengan rahmat dan syafaat. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa apabila empat puluh orang Muslim yang tidak mensyirikkan Allah SWT menunaikan solat jenazah dan mendoakan si mati, Allah menerima doa mereka sebagai syafaat untuknya.


#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor


11hb Jamadil Awal 1448H
22hb Oktober 2026

21/10/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ganjaran Solat dan Mengiringi Jenazah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ اتَّبَعَ جَنَازَةَ مُسْلِمٍ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا وَكَانَ مَعَهُ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا وَيَفْرُغَ مِنْ دَفْنِهَا فَإِنَّه يَرْجِعُ مِنْ الْأَجْرِ بِقِيرَاطَيْنِ كُلُّ قِيرَاطٍ مِثْلُ أُحُدٍ وَمَنْ صَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ رَجَعَ قَبْلَ أَنْ تُدْفَنَ فَإِنَّهُ يَرْجِعُ بِقِيرَاطٍ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa mengiringi jenazah seorang muslim, dengan penuh keimanan dan mengharapkan balasan pahala daripada Allah, lalu dia terus bersamanya sehingga disolatkan jenazah dan selesai pengebumiannya, maka dia p**ang dengan membawa pahala sebanyak dua qirat, setiap satu qirat setara dengan gunung Uhud (satu pahala yang besar). Dan barang siapa yang menyembahyangkan jenazah itu kemudian p**ang sebelum dikebumikan maka dia p**ang membawa pahala sebanyak satu qirat". (HR Bukhari No: 45) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menyembahyangkan jenazah dan mengiringi sehingga dikebumikan merupakan sebahagian daripada tuntutan iman. Iman melahirkan kepedulian kepada saudara seagama ketika hidup mahupun setelah meninggal dunia.

2. Keikhlasan merupakan asas penerimaan dan kesempurnaan pahala amal. Hadir ke pengebumian hendaklah kerana iman dan ikhlas, bukan sekadar adat atau mahu dilihat orang.

3. Orang yang solat jenazah kerana iman dan keikhlasan mengharap ganjaran Allah, akan mendapat ganjaran pahala satu qirat iaitu seumpama gunung Uhud (ganjaran pahala yang besar).

4. Orang yang solat dan mengiringi jenazah sehingga selesai pengebumian kerana iman dan keikhlasan, akan mendapat ganjaran yang lebih besar iaitu dua qirat (pahala seumpama dua gunung Uhud).

5. Jangan terlalu cepat meninggalkan pengebumian tanpa keperluan. Jika keadaan mengizinkan, hadis ini mendorong kita untuk terus bersama sehingga selesai pengebumian.

6. Menghadiri jenazah merupakan manifestasi ukhuwah. Persaudaraan Islam bukan hanya ketika makan bersama, bermesyuarat atau bergembira bersama, tetapi juga ketika saudara kita meninggalkan dunia.

7. Mengiringi jenazah melembutkan hati dan mengingatkan kematian. Hari ini kita mengiringi orang lain; suatu hari nanti orang lain p**a akan mengiringi kita.

8. Hadis ini menunjukkan keluasan rahmat dan kemurahan Allah. Allah memberikan ganjaran yang sangat besar bagi amalan yang dilakukan dengan ikhlas.

9. Hadis ini mendidik kita supaya memanfaatkan peluang amal. Kadang-kadang peluang memperoleh pahala besar berada dalam perkara yang kelihatan sederhana tetapi kita abaikan.


#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor


10hb Jamadil Awal 1448H
21hb Oktober 2026

20/10/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berwasiat Suatu Keperluan

عَنْ سَعْدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهِ يَعُودُهُ وَهُوَ مَرِيضٌ وَهُوَ بِمَكَّةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ خَشِيتُ أَنْ أَمُوتَ بِالْأَرْضِ الَّتِي هَاجَرْتُ مِنْهَا كَمَا مَاتَ سَعْدُ ابْنُ خَوْلَةَ فَادْعُ اللَّهَ أَنْ يَشْفِيَنِي قَالَ اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي مَالًا كَثِيرًا وَلَيْسَ لِي وَارِثٌ إِلَّا ابْنَةً أَفَأُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ قَالَ لَا قَالَ أَفَأُوصِي بِثُلُثَيْهِ قَالَ لَا قَالَ أَفَأُوصِي بِنِصْفِهِ قَالَ لَا قَالَ أَفَأُوصِي بِالثُّلُثِ قَالَ الثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ إِنَّ نَفَقَتَكَ مِنْ مَالِكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِنَّ نَفَقَتَكَ عَلَى عِيَالِكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِنَّ نَفَقَتَكَ عَلَى أَهْلِكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِنَّكَ أَنْ تَدَعَ أَهْلَكَ بِعَيْشٍ أَوْ قَالَ بِخَيْرٍ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ

Daripada Saad RA, bahawa Rasulullah SAW datang menziarahinya ketika dia sedang sakit di Makkah. Kemudian Saad berkata; "Wahai Rasulullah, aku bimbang akan meninggal dunia di bumi yang telah aku berhijrah daripadanya, sebagaimana Saad bin Khaulah meninggal dunia. Maka berdoalah kepada Allah supaya menyembuhkan aku." Baginda berdoa: "ALLAHUMMA ASYFI SA'DAN, ALLAHUMMA ASYFI SA'DAN, ALLAHUMMA ASYFI SA'DAN (Ya Allah sembuhkanlah Saad, ya Allah sembuhkanlah Saad, ya Allah sembuhkanlah Saad) " kemudian Saad berkata; "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta yang banyak dan aku tidak mempunyai waris kecuali seorang anak Perempuan. Bolehkah aku mewaisatkan seluruh hartaku untuknya?" Baginda menjawab; "Tidak" Saad bertanya lagi; "Atau aku wasiatkan dua pertiganya?" Baginda menjawab; "Tidak" Saad bertanya lagi; "Atau aku wasiatkan separuh?" Baginda menjawab; "Tidak" Saad bertanya lagi; "Atau aku wasiatkan sepertiganya?" Rasulullah SAW menjawab; "Ya, sepertiga, dan sepertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya nafkah yang engkau keluarkan daripada hartamu adalah sedekah bagimu. Nafkahmu kepada anak-anakmu adalah sedekah bagimu. Nafkahmu kepada keluargamu adalah sedekah bagimu. Dan sesungguhnya engkau meninggalkan keluargamu dalam keadaan berkecukupan adalah lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka meminta-minta kepada manusia.” (HR Ahmad No: 1363) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menziarahi orang sakit ialah sunnah Rasulullah SAW. Ziarah menunjukkan kasih sayang dan kepedulian terhadap saudara yang sedang diuji.

2. Kita dianjurkan ketika menziarahi orang yang sakit, mendoakan kesembuhan. Antara doa mudah (dengan disebut namanya dihujung doa itu);

اللَّهُمَّ اشْفِ

3. Antara adab dan tuntutan kepada orang yang sakit ialah membuat wasiat.

4. Wasiat harta hendaklah dibuat mengikut ketetapan syarak iaitu tidak melebihi sepertiga.

5. Dua pertiga daripada harta yang dimiliki boleh ditinggalkan sebagai harta faraid kepada ahli keluarga.

6. Nafkah kepada keluarga boleh menjadi sedekah dan ibadah. Sesuatu yang kelihatan seperti urusan rutin keluarga boleh mendapat pahala apabila dilakukan dengan niat kerana Allah.

7. Menjaga kebajikan waris merupakan suatu kebaikan. Meninggalkan harta yang mencukupi kepada ahli keluarga yang ditinggalkan adalah lebih baik agar mereka tidak bergantung kepada pemberian orang lain atau menjadi peminta sedekah.

8. Islam mahu kita meninggalkan keluarga dalam keadaan bermaruah. Perancangan kewangan, nafkah, harta pusaka dan wasiat bukan sekadar urusan dunia, tetapi sebahagian daripada amanah agama.


#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor


09hb Jamadil Awal 1448H
20hb Oktober 2026

19/10/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menunaikan Tanggungjawab Muslim

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ بِعِيَادَةِ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَتَشْمِيتِ الْعَاطِسِ وَنَصْرِ الضَّعِيفِ وَعَوْنِ الْمَظْلُومِ وَإِفْشَاءِ السَّلَامِ وَإِبْرَارِ الْمُقْسِمِ وَنَهَى عَنْ الشُّرْبِ فِي الْفِضَّةِ وَنَهَانَا عَنْ تَخَتُّمِ الذَّهَبِ وَعَنْ رُكُوبِ الْمَيَاثِرِ وَعَنْ لُبْسِ الْحَرِيرِ وَالدِّيبَاجِ وَالْقَسِّيِّ وَالْإِسْتَبْرَقِ

Daripada Al Barra` bin 'Azib RA dia berkata; Rasulullah SAW memerintahkan kami dengan tujuh perkara iaitu; menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang yang bersin, menolong yang lemah, membantu orang yang dizalimi, menyebarkan salam dan menunaikan sumpah orang yang bersumpah. Baginda juga melarang minum dari bekas yang dibuat dari perak, memakai cincin emas, menaiki sekedup yang ditutupi dengan kain sutera (alas pelana mewah), memakai sutera, dibaj, Qasiy dan Istabraq (jenis kain sutera)." (HR Bukhari No: 5766) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam membina masyarakat yang saling peduli, bukan masyarakat individualistik.

2. Ukhuwah mesti diterjemahkan kepada tindakan. Antaranya:

a. Menziarahi orang sakit
b. Mengiringi jenazah
c. Mendoakan orang yang bersin
d. Menolong orang yang lemah
e. Menolong orang yang dizalimi
f. Menyebarkan salam
g. Menunaikan sumpah atau janji

3. Islam menjaga hubungan manusia dari perkara kecil hingga perkara besar, daripada mendoakan orang yang bersin dan memberi salam, hinggalah membela orang yang dizalimi.

4. Islam menolak budaya kemewahan yang melampaui batas. Seorang mukmin tidak sepatutnya mengukur kemuliaan melalui pakaian, perhiasan dan kemewahan. Antaranya, setiap lelaki Muslim dilarang;

a. Minum dari bekas yang dibuat dari perak
b. Memakai cincin emas
c. Menaiki kenderaan yang ditutupi dengan kain sutera
d. Memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera

5. Akhlak Islam mempunyai dua dimensi: melakukan perkara yang membawa maslahat dan meninggalkan perkara yang ditegah Allah.

6. Iman mempunyai dimensi sosial. Kesolehan seseorang bukan hanya terlihat pada banyaknya ibadah peribadi, tetapi juga pada sejauh mana kewujudannya memberi manfaat kepada manusia.

7. Ukhuwah bukan sekadar kita bersama ketika senang. Ukhuwah yang sebenar terserlah apabila kita hadir ketika saudara kita sakit, lemah, dizalimi dan memerlukan pertolongan


#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor


08hb Jamadil Awal 1448H
19hb Oktober 2026

18/10/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mukmin Perlu Prihatin Kepada Masyarakat

عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فُكُّوا الْعَانِيَ يَعْنِي الْأَسِيرَ وَأَطْعِمُوا الْجَائِعَ وَعُودُوا الْمَرِيضَ

Daripada Abu Wa'il dari Abu Musa RA beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bebaskanlah orang yang ditawan, berilah makan kepada orang yang kelaparan dan ziarahlah orang yang sakit".(HR Bukhari No: 2819) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam mendidik umatnya supaya prihatin terhadap kesusahan orang lain.

2. Membantu membebaskan orang daripada kesempitan dan penderitaan merupakan manifestasi ukhuwah dan rahmah sesama manusia.

3. Memberi makan kepada orang yang lapar ialah amalan kebajikan yang sangat dituntut. Keprihatinan bukan sekadar rasa simpati, tetapi perlu diterjemahkan kepada tindakan.

4. Menziarahi orang sakit merupakan hak ukhuwah. Ziarah dapat menggembirakan pesakit, menguatkan semangatnya serta menunjukkan bahawa dia tidak dilupakan.

5. Islam mengambil berat keperluan manusia secara menyeluruh — kebebasan, keperluan fizikal dan sokongan ketika berada dalam kelemahan.

6. Ukhuwah yang sebenar terserlah ketika saudara kita dalam kesusahan. Nilai persaudaraan bukan hanya ketika senang, tetapi lebih bermakna ketika kita hadir membantu pada saat diperlukan.


#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor


07hb Jamadil Awal 1448H
18hb Oktober 2026

17/10/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ziarah Pesakit dan Iringi Jenazah

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عُودُوا الْمَرْضَى وَاتَّبِعُوا الْجَنَائِزَ تُذَكِّرُكُمْ الْآخِرَةَ

Daripada Abu Sa'id Al-Khudri RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Ziarahilah orang-orang yang sakit dan iringilah jenazah, kerana hal itu akan mengingatkan kamu kepada akhirat." (HR Ahmad No: 11020) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menziarahi orang sakit merupakan tuntutan syariat dan manifestasi ukhuwah. Ia memberikan sokongan emosi, doa dan kekuatan kepada pesakit.

2. Mengiringi jenazah merupakan hak persaudaraan serta tanggungjawab sebagai Muslim yang hidup bermasyarakat.

3. Ziarah orang sakit bukan hanya bermanfaat kepada pesakit. Ia mendidik penziarah supaya menghargai nikmat kesihatan.

4. Jenazah merupakan peringatan paling nyata tentang kefanaan dunia. Kedudukan, kekayaan dan kemasyhuran akhirnya ditinggalkan.

5. Menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah ke kubur bukan hanya mengingatkan kita tentang sakit, kematian serta akhirat malah boleh mendidik hati dan mendorong melakukan amal soleh.

6. Sakit mengingatkan bahawa kekuatan manusia akan berakhir, manakala jenazah mengingatkan bahawa kehidupan dunia sendiri akan berakhir. Mengingati akhirat akan menimbulkan keinsafan untuk bersegera melakukan amal soleh dan meninggalkan maksiat.


#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor


06hb Jamadil Awal 1448H
17hb Oktober 2026

16/10/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mukmin Yang Dikagumi

عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Daripada Shuhaib RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh mengkagumkan urusan seorang mukmin, sesungguhnya semua urusannya adalah baik baginya. Keadaan seperti itu tidak terdapat pada sesiapapun kecuali hanya orang yang beriman. Jika dia mendapat kebaikan, dia bersyukur, maka itu merupakan kebaikan baginya. Jika dia ditimpa keburukan kemudian dia bersabar, maka itu juga merupakan kebaikan baginya.” (HR Muslim No: 5318) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Mukmin yang dikagumi ialah yang sentiasa redha setiap yang berlaku keatas dirinya.

2. Imam al-Nawawi ketika menghuraikan hadis ini menjelaskan bahawa seorang Mukmin memperoleh kebaikan dalam kedua-dua keadaan: apabila menerima nikmat dia bersyukur, dan apabila ditimpa kesusahan dia bersabar.

3. Mukmin yang dikagumi ialah yang sentiasa bersyukur diatas setiap kebaikan atau nikmat yang diperolehi. Syukur itu diperlihatkan pada lima perkara:

a. Tunduk dan merendah kepada Allah, zat yang disyukuri
b. Cinta kepada Allah
c. Mengakui bahawa nikmat itu adalah pemberian Allah
d. Memuji Allah dengan lisan dan perbuatan atas limpahan nikmat tersebut
e. Tidak memanfaatkannya dalam perkara yang dibenci Allah.

4. Mukmin yang dikagumi itu ialah apabila mendapat keburukan atau musibah, dia bersabar dan redha.

5. Ibnu Qayyim menyatakan: sabar merupakan setengah dari keimanan dan setengahnya lagi adalah syukur.

6. Mengkagumkan sifat mukmin kerana dalam kesenangan dia menemui jalan kepada Allah melalui syukur, dan dalam kesusahan dia tetap menemui jalan kepada Allah melalui sabar.


#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor


05hb Jamadil Awal 1448H
16hb Oktober 2026

15/10/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Musibah Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُمَا سَمِعَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ وَصَبٍ وَلَا نَصَبٍ وَلَا سَقَمٍ وَلَا حَزَنٍ حَتَّى الْهَمِّ يُهَمُّهُ إِلَّا كُفِّرَ بِهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِ

Daripada Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah RA bahawasanya kedua-duanya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Mukmin ditimpa penyakit yang berpanjangan, keletihan, kesakitan, kesedihan, bahkan keresahan yang merunsingkannya, melainkan dengannya dihapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya. (HR Muslim No: 4670) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Musibah berbentuk penyakit, keletihan, kesedihan dan keresahan yang dilalui oleh seseorang adalah ujian daripada Allah untuk hambanya.

2. Setiap Mukmin hendaklah bersangka baik kepada Allah ketika ditimpa ujian seperti sakit, letih, sedih juga gelisah.

3. Setiap ujian berbentuk penyakit, keletihan, kesusahan, kesedihan dan keresahan yang menimpa mukmin, akan menjadi penghapus dosa-dosanya.

4. Sabar menghadapi setiap ujian juga musibah akan menambah nilai kehidupan. Musibah menjadi kaffarah (penghapus dosa), sementara sabar dan redha membawa ganjaran pahala dan peningkatan darjat.

5. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan segala jenis kesakitan dan musibah yang menimpa seorang Muslim menjadi sebab penghapusan dosa, termasuk perkara yang kecil.

6. Ujian sepatutnya mendekatkan seseorang kepada Allah. Gunakan waktu sakit untuk memperbanyakkan doa, istighfar, zikir dan muhasabah mengikut kemampuan.


#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor


04hb Jamadil Awal 1448H
15hb Oktober 2026

14/10/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berziarah Mendapat Doa Para Malaikat

عن علي بن أبي طالب قال‏:‏ قال رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏:‏ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَعُودُ مُسْلِمًا غُدْوَةً إِلَّا صَلَّى عَلَيْهِ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ حَتَّى يُمْسِيَ وَإِنْ عَادَهُ عَشِيَّةً إِلَّا صَلَّى عَلَيْهِ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ حَتَّى يُصْبِحَ وَكَانَ لَهُ خَرِيفٌ فِي الْجَنَّةِ

Daripada ‘Ali bin Abi Talib RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim menziarahi seorang Muslim yang sakit pada waktu pagi, melainkan tujuh puluh ribu malaikat mendoakannya sehingga petang. Jika dia menziarahinya pada waktu petang, tujuh puluh ribu malaikat mendoakannya sehingga pagi. Dan baginya satu kharīf (buah-buahan yang dipetik) di dalam syurga.” (HR Tirmizi No: 891) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara hikmah dituntut saling berziarah adalah untuk mengeratkan lagi ikatan persaudaraan sesama muslim.

2. Menziarahi orang sakit merupakan sunnah yang mempunyai ganjaran sangat besar.

3. Orang yang menziarahi saudaranya yang sakit akan didoakan oleh 70,000 malaikat.

4. Jika ia menziarahi sebelah pagi, para malaikat akan mendoakan kebaikan dan keampunan padanya hingga ke petang. Jika ia menziarahi sebelah petang, para malaikat akan mendoakan kebaikan dan keampunan untuknya sehingga pagi keesokan harinya.

5. Orang yang menziarahi dijanjikan ganjaran syurga. Ungkapan خَرِيفٌ فِي الْجَنَّةِ menggambarkan hasil dan buah-buahan syurga yang disediakan kepadanya sebagai ganjaran.

6. Menziarahi orang sakit menghimpunkan pelbagai nilai antaranya mengeratkan ukhuwah, menyuburkan kasih sayang, mengambil berat, memberi sokongan, mengembirakan hati serta mendoakan.


#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor


03hb Jamadil Awal 1448H
14hb Oktober 2026

13/10/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ganjaran Ziarah Orang Sakit

عن أبو هريرة رضي الله عنه، قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ مَنْ عَادَ مَرِيضًا ، نَادَى مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ : طِبْتَ ، وَطَابَ مَمْشَاكَ ، وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الْجَنَّةِ مَنْزِلاً

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka ada penyeru (malaikat) dari langit menyerunya: ‘Semoga engkau memperoleh kebaikan, baiklah perjalananmu, dan semoga engkau mendapat suatu tempat tinggal di dalam syurga.’” (HR Tirmizi No: 2008) Status Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Menziarahi orang sakit merupakan sunnah yang sangat dituntut dan termasuk hak persaudaraan sesama Muslim.

2. Ziarah orang sakit mempunyai ganjaran dunia dan akhirat. Penziarah didoakan Malaikat dengan kebaikan dan diberikan khabar gembira tentang syurga.

3. Perjalanan untuk menziarahi orang sakit juga bernilai ibadah dan mendapat keberkatan dengan didoakan kebaikan oleh Malaikat.

4. Islam membina masyarakat yang saling mengambil berat. Seorang Mukmin tidak membiarkan saudaranya menghadapi sakit dan kesusahan bersendirian. Ziarah menguatkan ukhuwah. Beberapa minit bersama pesakit mungkin kelihatan kecil bagi kita, tetapi besar nilainya di sisi Allah SWT.

5. Ukhuwah tidak hanya dibuktikan ketika semuanya berada dalam keadaan senang. Nilainya lebih terasa apabila seorang sahabat sedang lemah, sakit dan memerlukan sokongan. Ada kalanya pesakit tidak memerlukan hadiah yang mahal; kehadiran sahabat sudah cukup untuk membuatkannya merasakan bahawa dia masih diingati.

6. Doa merupakan hadiah terbaik kepada orang sakit. Selain membawa buah tangan, bawalah juga doa dan kata-kata yang memberikan harapan.

7. Jagalah adab ketika menziarahi pesakit antaranya, tidak ziarah terlalu lama, tidak terlalu banyak bertanya, berikan harapan serta doakan pesakit.


#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor


02hb Jamadil Awal 1448H
13hb Oktober 2026

Address

Pejabat IKRAM Klang, Blok A1, Bangunan Maru, Lot 8309
Klang
42100

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Pertubuhan IKRAM Kawasan Klang posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share