24/05/2026
PROGRAM HARI KELUARGA & SUKANEKA BERSAMA WARGA RUMAH KEBAJIKAN RITA DAN MASYARAKAT PEKAN KAPAR
Pada 24 Mei 2026, telah berlangsung Program Hari Keluarga dan Sukaneka Bersama Warga Rumah Kebajikan Rita dan Masyarakat Pekan Kapar dengan kerjasama APPGM-SDG dan Yayasan Hasanah, yang dianjurkan oleh Kejiranan KRT Taman Damai Kapar bersama Rumah Kebajikan Rita.
Program yang bertemakan “Menyantuni dan Membina Kasih Insani” ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga rumah kebajikan, penduduk setempat serta masyarakat pelbagai kaum di kawasan Kapar. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program, antaranya acara sukaneka yang melibatkan warga rumah kebajikan, penduduk Taman Damai serta para hadirin daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Selain itu, program turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma, sesi lawatan mesra serta penyampaian bantuan keperluan asas kepada penghuni Rumah Kebajikan Rita sebagai tanda keprihatinan dan sokongan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.
Majlis ini telah dihadiri oleh Wakil Ahli Parlimen Kapar, Tuan Haji Basri, serta YB Ustaz Najhan Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa. Turut hadir ialah Ketua Balai Polis Kapar Tuan Shree Balan, Haji Mat Isa, Mantan Penghulu Mukim Kapar, para pengerusi KRT termasuk KRT Taman Sri Wangi, KRT Taman Intan Jaya, KRT Taman Sentosa Kapar, KRT/SRS Taman Bukit Kapar, serta barisan pemimpin masyarakat dan penduduk sekitar kawasan Kapar.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat terus memupuk semangat perpaduan, kasih sayang dan sikap prihatin dalam kalangan masyarakat, di samping mengukuhkan kerjasama antara badan kebajikan, pertubuhan komuniti dan agensi yang terlibat demi kesejahteraan masyarakat setempat.