16/10/2026
LARANGAN MEMUNGUT ZAKAT TANPA TAULIAH DI NEGERI SABAH
Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) ingin menegaskan bahawa mana-mana individu, kumpulan, pertubuhan atau organisasi adalah DILARANG SAMA SEKALI menjalankan aktiviti pemungutan zakat dan fitrah di seluruh Negeri Sabah tanpa pelantikan atau kebenaran yang sah daripada Majlis Ugama Islam Sabah.
Berdasarkan Seksyen 67, Enakmen Zakat dan Fitrah Negeri Sabah No. 6 Tahun 1993, mana-mana pihak yang melakukan pemungutan zakat tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, apabila disabitkan kesalahan.
UMAT ISLAM DI NEGERI SABAH DINASIHATI AGAR SENTIASA BERWASPADA. Jangan mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang mendakwa sebagai wakil atau ejen kutipan zakat tanpa bukti pelantikan yang sah.
✅ Pastikan individu atau pihak yang menerima zakat mempunyai surat pelantikan atau kebenaran rasmi daripada MUIS.
✅ Semak kesahihan pihak yang menjalankan kutipan sebelum membuat sebarang pembayaran zakat.
✅ Elakkan menyerahkan wang zakat kepada individu atau kumpulan yang meragukan.
MUIS tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pemungutan zakat tanpa kebenaran yang sah.
Marilah kita bersama-sama memelihara kesucian ibadah zakat, menjaga amanah umat Islam dan memastikan setiap sumbangan zakat disalurkan melalui saluran yang sah demi kebajikan golongan asnaf.