22/04/2026
Memperkasa kesiapsiagaan bencana melalui kerjasama erat Bomba, BSMM dan 'Gallant Star'.
Pejabat Zon Keningau melalui Balai Bomba dan Penyelamat Keningau telah menerima kunjungan daripada rombongan Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Sabah pada 16 April 2026 yang lepas.
Rombongan yang diketuai oleh Encik Hairuddin bin Siramin ini turut disertai oleh Pengerusi 'Gallant Star' dan pegawai-pegawai BSMM Cawangan Keningau bagi menyelaras pelaksanaan program 'Community Based Disaster Risk Management' (CBDRM) di daerah ini.
Kunjungan pihak BSMM ini disambut baik dan perbincangan telah diselaras bersama wakil pihak Bomba yang terdiri daripada Ketua Balai Bomba & Penyelamat Keningau PKPgB Severinus Bin Sainkui, Pegawai Operasi BBP Keningau PBK I Evan Boby dan PBK I Hasrita (Penyelia Operasi Skuad Alpha).
Melalui mandat dana daripada NADMA, BSMM akan melaksanakan latihan khusus kepada kumpulan komuniti 'Gallant Star'.
Sebagai barisan hadapan penyelamatan, pihak Bomba sentiasa terbuka dan berbesar hati untuk berkongsi kepakaran teknikal selaku tenaga pengajar bagi membantu dan memastikan kelancaran modul latihan menepati piawaian keselamatan asas.
Penglibatan kumpulan sukarelawan tempatan seperti 'Gallant Star' dalam misi bantuan bencana dan operasi SAR di sungai berisiko tinggi sekitar Keningau sentiasa dihargai.
Sebagai contoh, penglibatan bersama mereka dalam membantu operasi SAR kakitangan Sabah Electricity di Sungai Nuntunan, Apin-Apin pada September lalu dan kes terbaru di Taman Bersatu, Keningau.
Walau bagaimanapun, penyelarasan gerak kerja adalah perkara yang paling utama.
Pihak 'Gallant Star' sentiasa mematuhi rantaian arahan dengan membuat pelaporan kepada Komander Operasi (IC) PDRM serta Timbalan IC daripada pihak Bomba.
Pembahagian sektor pencarian juga ditentukan sepenuhnya melalui Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi memastikan operasi berjalan secara teratur dan sistematik.
Bagi kami yang memerah keringat di lapangan, operasi SAR adalah misi nyawa, bukannya perlumbaan mencari gelaran 'hero' untuk dimegahkan.
Pematuhan kepada SOP dan rantaian arahan ini wujud atas satu sebab yang sangat mudah iaitu supaya penyelamat tidak bertukar menjadi mangsa akibat tindakan semberono berkonsepkan 'terjun dulu, fikir kemudian'.
Kesepakatan dan keakraban ini sentiasa utuh di lokasi kejadian, biarpun kadangkala ia mungkin agak sukar difahami oleh segelintir 'pemerhati jarak jauh' yang lebih gemar mencipta naratif perbandingan daripada memahami realiti sebenar operasi.
Latihan yang dijadualkan mencapai kemuncaknya pada majlis pelancaran dan penyerahan bantuan pada 9 Mei 2026 ini bertujuan menggabungkan kemahiran penduduk tempatan yang arif selok-belok sungai dengan prosedur operasi standard (SOP) menyelamat yang betul.
Dalam latihan dan kursus itu nanti, peserta akan didedahkan dengan modul komprehensif yang amat menekankan satu prinsip penting:
"Keselamatan penyelamat perlu diutamakan sebelum mula menyelamatkan mangsa"
Antara pengisian dan aspek asas yang akan diterapkan kepada peserta termasuklah:
- Pengenalan Keselamatan Air
- SOP Penyelamatan
- Teknik dan praktikal menyelamat di air
- Penggunaan kelengkapan keselamatan bagi
meminimakan risiko bahaya semasa operasi
seperti 'Personal Flotation Device' (PFD), 'Water
Rescue Helmet', dan 'Throw Bag'/Tali Penyelamat.
Melalui pemantapan kemahiran teknikal dan penyediaan peralatan yang lengkap, anggota 'Gallant Star' diharapkan dapat meningkatkan kecekapan serta tahap keselamatan diri semasa membantu agensi penyelamat.
Kerjasama erat ini membuktikan bahawa kesepaduan antara agensi dan komuniti adalah tunjang utama dalam mendepani sebarang kecemasan.