26/08/2026
19 Tahun Dalam Industri Makanan, Mahiata Kini Dinobatkan Tokoh Usahawan Wanita DUN Kuala Balah
KUALA BALAH β Selama 19 tahun berkecimpung dalam industri makanan, Mahiata binti Mohamed Zin terus membina perniagaan melalui Imamis Food Enterprise, sebuah perusahaan yang mengkhususkan kepada pengeluaran produk makanan.
Perniagaan yang ditubuhkan pada tahun 2006 itu kini mempunyai tujuh orang pekerja, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Dalam usaha mengembangkan kemahiran dan perniagaan, Mahiata turut menyertai kursus pemprosesan pelbagai jenis roti dan kek.
Bagi Mahiata, kejayaan dalam perniagaan bukan sekadar untuk meningkatkan taraf hidup sendiri, tetapi turut memberi manfaat kepada masyarakat melalui peluang pekerjaan dan membantu meningkatkan ekonomi setempat.
Perjalanan beliau dalam bidang keusahawanan juga menjadi inspirasi kepada golongan muda agar berani menceburi dunia perniagaan serta berusaha mencapai kejayaan.
Atas usaha dan sumbangan tersebut, Mahiata binti Mohamed Zin dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Wanita DUN Kuala Balah sempena Hari Sayyidatina Khadijah DUN Kuala Balah 2026.
Berkongsi nasihat kepada usahawan baharu, beliau menyeru agar jangan mudah berputus asa apabila mengalami kegagalan, kerana kegagalan merupakan sebahagian daripada proses menuju kejayaan.
Menurut beliau, usahawan perlu terus berusaha, meningkatkan ilmu dan yakin bahawa kejayaan boleh dicapai melalui usaha yang gigih dan berterusan.
Kisah Mahiata membuktikan bahawa ketekunan dalam membina perniagaan bukan sahaja membawa kejayaan kepada diri sendiri, malah mampu membuka peluang dan memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.
Disediakan oleh:
Pusat Sumber Sayyidatina Hafsah (PASIH)