19/03/2026
• NISA’ SMALL KINDNESS (NSK) I LOVE SCHOOL 2026 •
Alhamdulillah dengan izinNya, Nisa’ Pandan dengan kerjasama Surau An-Nur, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Pertubuhan Sahabat Pendidik Islam Selangor (PENSEL), Persatuan Prihatin Pandan (Prihatin Pandan) dan Pertubuhan Muslim Profesional Malaysia (IMProf) telah berjaya mengadakan Program NSK I Love School 2026 pada 4 Januari 2026 pada pukul 9.00 hingga 11.30 pagi di Surau An-Nur, Taman Cempaka.
Program ini bertujuan meringankan bebanan beberapa keluarga terlibat dalam membuat persiapan kembali ke sekolah. Seramai 38 orang penerima yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah sekitar kawasan Pandan menerima kit barangan keperluan sekolah beserta sedikit wang tunai yang berjumlah RM 200 bagi setiap penerima.
Majlis penyampaian sumbangan dimulakan dengan ucapan oleh Tuan Hj Mohd Akib bin Othman iaitu Pengerusi Surau An-Nur. Kemudian, ucapan diikuti Dr Nur Aishah binti Mohyin (AJK Lajnah Dana Kemanusiaan PAPISMA (DAKAP) Negeri Selangor), Tuan Haji Mohd Yusof Hamzah (Timbalan Pengerusi PENSEL) dan Puan Siti Farah Binti Mohamed (Timbalan Pengerusi Prihatin Pandan).
Majlis diserikan lagi dengan slot tazkirah ringkas bertajuk “Pendidikan: Pelaburan Paling Untung di Akhirat” yang disampaikan oleh Da’i Hadhari atau Ustaz Bola.
Kami mewakili Nisa’ Pandan serta Surau An-Nur, PAPISMA, PENSEL, Prihatin Pandan dan IMProf merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang yang sudi menginfaqkan sejumlah wang ringgit dan barangan bagi menjayakan program ini. Semoga Allah membalas setiap infaq yang diberikan dengan kebaikan yang lebih baik. Amin 🤲🏻💜