20/03/2026
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita sekali lagi diberi peluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah melalui madrasah Ramadan yang penuh keberkatan.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh warga ISMA Bangi dan masyarakat setempat.
Semoga segala amal ibadah kita sepanjang Ramadan diterima oleh Allah SWT dan menjadi bekalan untuk kita terus istiqamah pada bulan-bulan seterusnya.
Sesungguhnya, Syawal bukanlah noktah kepada ibadah, tetapi merupakan titik permulaan amalan berterusan. Marilah kita berazam untuk terus memelihara solat berjemaah, memperbanyakkan tilawah al-Quran, bersedekah, serta menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia walaupun Ramadan telah berlalu.
Dalam kemeriahan Syawal ini juga, marilah kita memperkukuhkan ukhuwwah dan memperluaskan silaturrahim dengan bergaul mesra bersama komuniti dan masyarakat. Jadikanlah bulan Syawal sebagai medan untuk kita menyantuni jiran tetangga, rakan-rakan serta golongan yang memerlukan, agar keindahan Islam itu dapat dirasai oleh semua.
Akhir kata, semoga Aidilfitri kali ini membawa sinar kebahagiaan, keberkatan dan kekuatan untuk kita terus menjadi hamba yang taat serta menjadi masyarakat yang sentiasa m0enyumbang.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
Ustaz Zaizul Irshadi Zaman
YDP ISMA Bangi