28/09/2023
Contoh Ikutan Terbaik Pemuda Sepanjang Zaman
Umat Islam tidak akan jemu dalam menyambut tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW. Setiap tahun kita akan menghayati makna dan kecintaan kita terhadap Rasulullah.
Bila saya perhatikan realiti masyarakat terutama pemuda pada masa ini, rata-rata mengangkat idola yang salah. Ada yang terlalu fokus dengan kehidupan artis, bermati-matian mempertahankan di media sosial. Ada juga yang meletakkan pempengaruh (influencer) sebagai contoh ikutan mereka.
Sedangkan Rasulullah contoh terbaik, terutama dikalangan pemuda. Rasulullah pada usia 12 tahun dah mula menceburi bidang perniagaan dengan didikan pak ciknya Abu Thalib. Kecekapan nabi dalam berniaga, pandai berkomunikasi bersama orang lain dengan baik, dan tidak disibukkan dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
Rasulullah mendapat gelaran Al-Amin (Amanah serta boleh dipercayai) ketika berumur 35 tahun semasa ingin meletakkan semula Hajar Aswad selepas tragedi banjir yang merosakkan Kaabah
Di sini kita lihat Rasulullah, seorang pemuda yang sayang dengan masyarakatnya, mempunyai hubungan baik dengan semua sehingga orang awam mempercayainya.
Ini antara susuk tubuh yang pemuda perlu ikuti. Cekap dalam kerjanya, tinggi budaya bermasyarakat dan menghargai masanya.
Jangan kita tertipu dengan idola yang salah (false idol), menghabiskan masa kita dengan diri sendiri kita sahaja. Keluar dan budayakan hidup bermasyarakat, ziarah & bertanya khabar.
Jadikan Rasulullah sebagai ikutan terbaik kita
Rasulullah Pencetus Ummah Fadhilah
Muhammad Firdaus Mohd Sani
Ketua Setiausaha Pemuda ISMA